Tuesday, July 19, 2011

Hairuddin diberi kepercayaan


PENYERANG Negeri Sembilan, Hairuddin Omar bakal diberi kepercayaan mengetuai jentera serangan skuad Pilihan Malaysia yang akan menentang kelab Liga Perdana England, Chelsea di Stadium Nasional, Bukit Jalil Khamis ini.

Biarpun menjadi pemain paling veteran dalam skuad gabungan pemain skuad Olimpik negara dan 'bintang' senior Liga Super itu, sumbangan Hairuddin masih ditagih untuk menembusi gawang Chelsea yang dikawal Petr Cech, Ross Turnbull atau Henrique Hilario.

Dari segi usia, Hairuddin kini sudah mencecah 32 tahun, hanya dua tahun lebih muda daripada pengurus Chelsea, Andre Villas- Boas.

Namun pemain kelahiran Setiu, Terengganu itu mempunyai sejarah unik apabila muncul satu-satu- nya pemain Malaysia yang pernah menembusi gawang Chelsea ketika skuad negara tewas 1-4 pada 2003.

Menurut jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee yang diberi tugas mengendalikan skuad Pilihan Malaysia itu, khidmat Hairuddin akan digunakan untuk merobek kubu Chelsea pada aksi Khamis ini.

"Bagi posisi serangan, saya akan meletakkan sama ada Hairuddin atau dua lagi penyerang skuad Olimpik negara iaitu A. Thamil Arasu dan Syahrul Azwari Ibra- him.

"Selain sembilan pemain senior yang sedang menjalani latihan bersama kami ketika ini, saya mungkin akan menyenaraikan pemain skuad kebangsaan yang tidak terpilih dalam senarai 23 pemain terakhir untuk menentang Singapura.

"Daripada senarai pelatih yang ada ketika ini, saya hanya akan menyenaraikan 20 atau 21 pemain saja untuk perlawanan menentang Chelsea ini," katanya ketika ditemui selepas sidang media di Hotel One World, Bandar Utama, Damansara petang semalam.

Selain Hairuddin, lapan pemain senior lain yang turut disenaraikan dalam skuad kendalian Kim Swee itu adalah Norhafiz Zamani Misbah, Amri Yahyah, Badhri Radzi, Daudsu Jamaluddin, S. Subramaniam, Shahrulnizam Mustapa, Joseph Kalang Tie serta penjaga gol, Farizal Marlias.

Mereka bakal digabung bersama beberapa lagi tonggak utama skuad Olimpik negara seperti Irfan Fazail, Gary Steven Robbat, Wan Zack Haikal Wan Nor, Fandi Othman dan Zubir Azmi.

"Saya akan memberi peluang kepada semua pemain beraksi. Bagi pemain skuad Olimpik, ini peluang buat mereka menimba pengalaman selepas berhempas pulas layak ke pusingan akhir Kela- yakan Zon Asia.

"Bagi pemain senior pula, saya berharap mereka dapat mempamerkan persembahan terbaik kerana terdapat dua atau tiga pemain yang saya rasa masih layak diserapkan ke skuad kebangsaan," jelas Kim Swee.

Dalam pada itu, Kim Swee turut memberitahu bahawa para pemain skuad Olimpik negara akan berlepas ke Slovakia, Sabtu ini.

0 comments: