Pentas uji barisan Malaysia
BIARPUN mungkin dianggap bukan perlawanan penting bagi Arsenal, jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tetap menagih aksi terbaik dan menghiburkan daripada anak-anak buahnya.
Arsenal yang baharu seminggu menjalani latihan pramusim di London tiba di ibu negara tengah hari semalam bagi program Jelajah Asia 2011 ke Malaysia dan China.
Tatkala skuad bimbingan Arsene Wenger itu mungkin belum mencapai momentum terbaik, Rajagobal mahu menjadikan pertemuan dengan Arsenal di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok sebagai pentas menilai para pemainnya.
Ia bagi membolehkan Rajagobal mendapat bayangan kesebelasan terbaik untuk diturunkan pada aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura pada 23 dan 28 Julai ini.
"Saya cukup teruja dapat berdepan Arsenal. Begitu juga para pemain kebangsaan. Kita akan gunakan sebaik mungkin peluang ini untuk persiapan menghadapi Singapura.
"Saya harap para pemain tidak gentar berdepan Arsenal kerana inilah masa yang sesuai untuk saya menilai mana pemain yang layak untuk beraksi menentang Singapura.
"Sama seperti ketika kita bertemu Manchester United pada 2009, saya mahu pemain beraksi lebih baik daripada itu dan menghiburkan para penyokong," kata Rajagobal pada sidang media di Hotel Saujana, Subang petang semalam.
Pada Julai 2009, skuad kebangsaan yang ketika itu baru tiga bulan dibimbing Rajagobal tewas tipis 2-3 kepada United pada aksi pertama dan tewas 0-2 pada aksi kedua.
Kali terakhir Arsenal berkunjung ke Malaysia adalah pada 1999 yang mana mereka menewaskan skuad kebangsaan 2-0 hasil jaringan Nicolas Anelka dan Emmanueal Petit.
Rajagobal turut mengesahkan bahawa penyerang utama skuad kebangsaan, Safee Sali tidak akan beraksi malam esok kerana belum pulih sepenuhnya tetapi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sedia untuk diturunkan selepas pulih dari- pada kecederaan bahu.
0 comments:
Post a Comment