Friday, July 8, 2011

Rajagobal hairan helah Singapura

“SAYA pun rasa hairan. Sebelum ini mereka (Singapura) sudah menggugurkan ramai pemainnya selepas gagal pada Piala Suzuki AFF 2010.

“Tapi selepas undian Kelayakan Piala Dunia 2014, mereka berasa yakin akan bertemu Malaysia dan kembali menyenaraikan pemain-pemain senior ini.”

Demikian komen jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tentang senarai 25 pemain Singapura yang diumumkan kelmarin bagi menghadapi Malaysia pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai depan.

Selepas gagal melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) telah bertindak membubarkan skuad kebangsaannya dan mahu membina skuad baru.

Namun berdasarkan senarai 25 pemain yang dikeluarkan FAS kelmarin, hanya 12 pemain merupakan muka baru manakala baki 13 lagi pemain adalah dari skuad Piala Suzuki AFF 2010 termasuk tonggak utama seperti Lionel Lewis, Daniel Bennett, Mustafic Fahrudin dan Aleksandar Duric.

“Jadi saya tak rasa terkejut apabila Singapura panggil semula tonggak utama mereka. Cuma kita akan buat persiapan kita sendiri selepas menghadapi kesukaran untuk mengatasi Taiwan.

“Kita akan gunakan segala kelebihan yang pemain kita miliki walaupun tahu Singapura masih dibarisi pemain-pemain berpengalaman. Kita akan cuba terbaik untuk layak ke pusingan ketiga,” kata Rajagobal ketika ditemui Kosmo! di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Seramai 20 pelatih skuad kebangsaan kembali menjalani latihan pertama petang semalam selepas mereka selesai tugasan bersama skuad negeri pada aksi terakhir Liga Super malam kelmarin.

Enam pemain Kelantan - Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha, Farisham Ismail, Rizal Fahmi Ab. Rosid, S. Chanthuru dan Shakir Shaari bagaimanapun tidak dapat berlatih petang semalam setelah penerbangan mereka dari Kota Kinabalu mengalami kelewatan.

Sementara itu, Rajagobal mengesahkan bahawa beliau akan mengekalkan barisan 26 pelatih sedia ada untuk persiapan menghadapi Singapura termasuk bagi aksi persahabatan menentang Arsenal pada Rabu depan dan Liverpool pada 16 Julai.

“Jika ada keperluan seperti berlaku kecederaan, saya akan panggil mana-mana pemain yang berada dalam senarai 68 pemain yang telah kita daftar.

“Safee Sali masih belum pulih 100 peratus dan hanya menjalani latihan ringan pada hari ini (semalam). Tapi saya akan pantau perkembangannya dengan fisioterapis pasukan,” jelasnya.

Selain 23 pemain yang dibawa ke Taipei, tiga pemain yang digugurkan sebelum ini tersenarai kembali iaitu Azmi Muslim, Shahrizal Saad dan Rizal Fahmi.

Manakala empat pemain lagi tidak dipanggil semula untuk kem latihan kali ini iaitu Syed Adney Syed Hussein, Hisyamuddin Shaari, Yong Kuong Yong dan K. Sasikumar.

0 comments: