Saturday, July 9, 2011

TM taja Harimau Malaya

SKUAD bola sepak kebangsaan mendapat suntikan terbesar apabila mendapat tajaan mencecah RM27.8 juta daripada Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk tempoh empat tahun sehingga 30 Jun 2015.

Penajaan tahunan berjumlah RM6 juta untuk tahun pertama disusuli kenaikan 10 peratus untuk setiap tahun berikutnya itu membolehkan logo TM dipaparkan pada jersi latihan serta pelbagai barangan sukan, peralatan latihan dan pakaian rasmi skuad kebangsaan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, penajaan tersebut merupakan satu sejarah baru dalam memasarkan skuad kebangsaan sebagai satu produk.

“TM akan menyalurkan peruntukan pertama pada 15 Julai ini. Malah insentif tambahan sebanyak RM1 juta juga akan diberi andai skuad kebangsaan muncul juara pada kejohanan di rantau ini (Piala Suzuki AFF).

“Tapi saya harap insentif kemenangan ini turut diberikan kepada skuad B-23 jika menjuarai Sukan SEA atau Sukan Asia kerana skuad kebangsaan hanya bersaing pada Piala Suzuki AFF, dua tahun sekali.

“Selain itu, TM juga akan menaja RM150,000 setahun untuk kelengkapan pakaian para pemain kebangsaan. Ini sudah cukup bagus untuk permulaan,” kata Tengku Abdullah pada majlis menandatangani perjanjian itu di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Namun bagi Tengku Abdullah, jumlah penajaan itu masih terlalu rendah jika hendak dibandingkan dengan perbelanjaan tahunan skuad kebangsaan Jepun berjumlah AS$40 juta (RM120 juta).

“Kalau nak berjaya seperti Jepun, kita perlu mempunyai dana yang cukup untuk program pembangunan dan skuad kebangsaan. Jadi harap TM dapat merealisasikan harapan itu pada masa akan datang,” jelasnya.

Bagi memastikan wang penajaan TM itu digunakan dengan betul, Tengku Abdullah mahu FAM menubuhkan satu unit khas supaya akaun skuad kebangsaan dapat diasingkan.

“Saya mahu diwujudkan satu unit khas untuk memantau pentadbiran skuad kebangsaan ini dalam semua aspek termasuk latihan gaji, staf dan pemasaran. Saya mahu ia diuruskan secara profesional,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah mencadangkan supaya diwujudkan yayasan bekas pemain bola sepak dalam masa terdekat ini bagi menjaga kebajikan para pemain yang pernah beraksi untuk skuad kebangsaan.

0 comments: