Monday, July 11, 2011

Safee tak beraksi lawan Arsenal


DEMI membantu Malaysia melangkah ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2014, penyerang berbisa, Safee Sali terpaksa melupakan hajat beraksi menentang Arsenal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.

Safee, 27, masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring tendon di bahagian belakang lutut yang dialaminya ketika aksi pertama pusingan pertama menentang Taiwan pada 29 Jun lalu.

Menurut Safee, dia berharap kecederaannya itu dapat pulih dengan lebih cepat bagi membolehkannya turun beraksi ketika skuad kebangsaan bertemu pula Liverpool, Sabtu ini.

Namun fokus utamanya tetap untuk dapat tampil dengan aksi terbaik ketika skuad kebangsaan bertemu Singapura pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai depan.

"Buat masa ini, saya baru pulih 70 peratus dan memang kemungkinan besar tidak dapat beraksi untuk perlawanan menentang Arsenal pada Rabu ini.

"Memang rasa kecewa tidak dapat berdepan pemain-pemain Arsenal, tetapi perlawanan yang lebih penting bagi skuad kebangsaan ialah bertemu Singapura.

"Saya tidak mahu kecederaan ini bertambah teruk semula kerana mahu betul-betul cergas menjelang pertemuan dengan Singapura," kata Safee ketika ditemui Kosmo! semalam.

Dengan ketiadaan Safee, jentera serangan skuad kebangsaan untuk membolosi gawang Arsenal yang dikawal Wojciech Szczesny bakal diketuai Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahaya.

Bagaimanapun, Safee tetap menyimpan hasrat untuk turun beraksi menentang Liverpool yang merupakan musuh tradisi pasukan kegemarannya, Manchester United.

"Mana tahu jika kecederaan saya ini pulih dengan lebih cepat, saya dapat berpeluang turun beraksi menentang Liverpool pada Sabtu ini.

"Sebelum ini pun saya hanya sekali bertemu kelab England iaitu Chelsea pada 2008 dan memang peluang keemasan seperti ini kalau boleh tidak dilepaskan," ujar pemain kelab Pelita Jaya itu.

Dalam pada itu, skuad Arsenal tiba di ibu negara pada hari ini tanpa kelibat kapten, Cesc Fabregas yang masih cedera serta penyerang Lille, Gervinho yang belum melengkapkan perpindahannya.

0 comments: