Farizal kawal benteng terakhir Pilihan Malaysia
TUGAS mengawal benteng terakhir skuad Pilihan Malaysia berdepan Chelsea di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini pasti digalas bekas penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias.
Penjaga gol berusia 25 tahun yang berasal dari Pahang itu merupakan dua penjaga gol yang disenaraikan jurulatih Pilihan Malaysia, Ong Kim Swee selain penjaga gol simpanan skuad Olimpik, Izham Tarmizi Roslan, 20.
Dua lagi penjaga gol Harimau Muda A iaitu Zamir Selamat dan K. Sasikumar tidak berada dalam senarai 21 pemain pilihan Kim Swee untuk aksi malam ini.
Farizal yang beraksi untuk Negeri Sembilan musim ini berkata, dia akan berusaha untuk mengembalikan sentuhan cemerlangnya ketika beraksi 180 minit menentang Manchester United pada 2009.
"Memang saya harap dapat mempamerkan persembahan terbaik bagi menghalang dan menangkis serangan pasukan lawan.
"Sebagai persiapan awal, saya sudah mengkaji corak permainan Chelsea terutama barisan serangan mereka.
"Bagi saya, Didier Drogba, Fernando Torres, Nicolas Anelka dan Florent Malouda perlu diberi lebih perhatian," katanya kepada Kosmo! selepas sesi latihan petang semalam.
Biarpun tewas 2-3 dan 0-2 kepada United pada 2009 itu, Farizal telah beraksi cemerlang pada sepenuh masa kedua-dua perlawanan.
"Insyaallah saya akan cuba ulangi persembahan baik ketika bertemu United. Harap persembahan saya kali ini menjadi.
"Saya memang mahu kembali ke skuad kebangsaan. Tapi prestasi penjaga gol sedia ada (Sharbinee Allawee Ramli, Khairul Fahmi Che Mat dan Nasril Nourdin) cukup konsisten.
"Jadi saya perlu berusaha keras dan menjadikan perlawanan menentang Chelsea ini sebagai batu loncatan," jelas Farizal.
Farizal mula diketepikan setelah mengalami kecederaan patah tulang pipi ketika sesi latihan skuad kebangsaan - lima hari menjelang aksi persahabatan menentang Korea Selatan pada 25 Julai 2010.
SKUAD 21 PEMAIN PILIHAN MALAYSIA BERTEMU CHELSEA: Farizal Marlias, Izham Tarmizi Roslan, Daudsu Jamaluddin, Affize Faisal Mamat, Norhafiz Zamani Misbah, S. Subramaniam, Amer Saidin, Zubir Azmi, Fandi Othman, Wan Zack Haikal Wan Nor, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Badhri Radzi, Shahrulnizam Mustapa, Gary Steven Robbat, Shukor Jusoh, Joseph Kalang Tie, Irfan Fazail, Hairuddin Omar, Amri Yahyah, A. Thamil Arasu, Syahrul Azwari Ibrahim.
0 comments:
Post a Comment