Saturday, July 9, 2011

Dua pemain berlatih dengan MU

DUA pemain kebangsaan serta seorang jurulatih bakal menikmati pengalaman menyertai sesi latihan pasukan juara Liga Perdana England, Manchester United.

Program tersebut akan dibawakan khas oleh penaja baru skuad bola sepak kebangsaan, Telekom Malaysia Berhad (TM) yang juga merupakan antara rakan penaja United.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, ia adalah satu peluang keemasan yang pastinya tidak boleh dilepaskan oleh para pemain kebangsaan.

“Kita akan hantar dua pemain kebangsaan dan seorang jurulatih untuk sesi latihan tersebut sama ada di Manchester atau Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) iaitu pada musim depan. Tarikhnya serta tempoh masa latihan belum ditetapkan.

“Tapi ia bukanlah tempoh latihan untuk jangka panjang. Hanya untuk para pemain merasai pengalaman berlatih bersama skuad United. Tentang pemain terpilih, kita akan bincang dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan skuad kebangsaan oleh TM.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi TM, Datuk Dr. Halim Shafie serta Naib Presiden FAM yang juga pengurus skuad kebangsaan, Datuk Subahan Kamal.

Selain itu, Zamzamzairani memberitahu, pihaknya turut membawa beberapa legenda bola sepak United ke negara ini bagi memberi latihan kepada para pemain skuad kebangsaan.

Pada April 2008, dua pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar dan Bunyamin Umar pernah dihantar berlatih selama dua minggu bersama Chelsea iaitu dua kali sesi bersama skuad senior manakala selebihnya bersama skuad simpanan kelab itu.

0 comments: