Friday, July 22, 2011

Pilihan Malaysia 0 Chelsea 1


SKUAD Pilihan Malaysia sekadar tewas 0-1 kepada Chelsea pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi yang disaksikan 84,980 penonton.

Itupun jaringan tunggal tersebut menerusi gol kontroversi Didier Drogba pada minit ke-78.

Sepakan percuma Drogba melencong terkena tiang gol sebelum melantun belakang badan penjaga gol gantian Pilihan Malaysia, Izham Tarmizi Roslan dan bola ditangkap di atas garisan gol.

Namun penjaga garisan, Basith Abd. Hamid mengangkat benderanya tanda jaringan disahkan sekali gus mendorong pengadil perlawanan, Subkhiddin Mohd. Salleh membenarkan gol tersebut.

Ulang tayang video jelas menunjukkan bola belum melepasi garisan gol.

Terdahulu, Ong Kim Swee yang diberi tugas mengendalikan skuad Pilihan Malaysia meletakkan sembilan pemain senior dalam kesebelasan utamanya dibantu dua pemain skuad Olimpik, Zubir Azmi dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas pula mempertaruhkan beberapa pemain bintang antaranya Frank Lampard, Fernando Torres, Florent Malouda, Salomon Kalou dan Yossi Benayoun pada aksi babak pertama.

Namun beberapa peluang terhidang gagal disudahkan dengan baik pemain-pemain Chelsea sambil penjaga gol Pilihan Malaysia, Farizal Marlias turut beraksi cemerlang menyelamatkan gawangnya.

Kim Swee melakukan dua pertukaran pada babak pertama memasukkan Fandi Othman menggantikan Daudsu Jamaluddin untuk posisi bek kanan pada minit ke-33 dan memasukkan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menggantikan Wan Zack Haikal Wan Nor yang cedera di posisi sayap kanan pada minit ke-38.

Chelsea pula hanya melakukan satu pertukaran iaitu memasukkan Patrick Van Aanholt menggantikan Ryan Bertrand pada minit ke-37.

Bersambung babak kedua, Chelsea memasukkan sekali gus 11 pemain baru termasuk John Terry, Ashley Cole, John Obi Mikel, Nicolas Anelka dan Didier Drogba manakala tiada pertukaran buat Pilihan Malaysia.

Hanya bermula minit ke-52, Kim Swee melakukan beberapa pertukaran berturut dengan memasukkan pemain-pemain skuad Olimpik iaitu Gary Steven Robbat, Irfan Fazail, Syahrul Azwari Ibrahim dan A. Thamil Arasu bagi memberi kesegaran.

Pada minit ke-67, Syahrul Azwari melakukan larian deras ke dalam kotak penalti selepas menerima lorongan Irfan tetapi rembatannya sedikit tinggi melepasi gawang Chelsea.

Farizal pula membuktikan dirinya masih layak untuk bergelar penjaga gol kebangsaan apabila menyelamatkan lagi beberapa percubaan berbahaya Chelsea pada babak kedua.

Namun Kim Swee membuat tindakan berani dengan mengeluarkan Farizal, 25, pada minit ke-71 bagi memberi pengalaman kepada penjaga gol skuad Olimpik negara, Izham Tarmizi, 20.

Hanya enam minit gawang Izham Tarmizi berjaya dipertahankan sebelum Drogba menjaringkan gol kemenangan Chelsea pada minit ke-78 biarpun pada hakikatnya bola belum melepasi garisan gol.

Pada minit ke-84, Pilihan Malaysia berpeluang menyamakan kedudukan tetapi percubaan Thamil Arasu yang hanya berdepan Ross Turnbull selepas menerima lorongan cantik Irfan sekadar sipi ke sebelah kiri pintu gol Chelsea.

Daripada 21 pemain Pilihan Malaysia, hanya pemain pertahanan tengah, S. Subramaniam beraksi sepenuh masa dengan pemain Kelantan itu tampil dengan aksi cukup tenang dan kemas.

Barisan 12 pemain skuad Olimpik itu bersama-sama 11 lagi pemain yang tidak disenaraikan malam tadi akan berlepas ke Slovakia pada awal pagi Sabtu ini untuk siri latihan dan perlawanan persahabatan selama sebulan sebagai persiapan menghadapi pusingan akhir Kelayakan Olimpik Zon Asia yang akan bermula 21 September depan.

PILIHAN MALAYSIA: Farizal Marlias (Izham Tarmizi Roslan 71) Daudsu Jamaluddin (Fandi Othman 33), Norhafiz Zamani Misbah (c) (Amer Saidin 77), S. Subramaniam, Zubir Azmi (Affize Faisal Mamat 88), Wan Zack Haikal Wan Nor (Wan Zaharulnizam Wan Zakaria 38), Shahrulnizam Mustapa (Shukor Jusoh 82), Badhri Radzi (Gary Steven Robbat 52), Joseph Kalang Tie (Syahrul Azwari Ibrahim 57), Amri Yahyah (A. Thamil Arasu 64), Hairuddin Omar (Irfan Fazail 52).

CHELSEA: Henrique Hilario (Ross Turnbull 45), Jose Bosingwa (Paulo Ferreira 45), Branislav Ivanovic (John Terry 45), Slobodan Rajkovic (Nathaniel Chalobah 45), Ryan Bertrand (Patrick Van Aanholt 37) (Ashley Cole 45), Yossi Benayoun (Daniel Sturridge 45), Joshua McEachran (Billy Clifford 45), Frank Lampard (c) (John Obi Mikel 45), Salomon Kalou (Yury Zhirkov 45), Florent Malouda (Nicolas Anelka 45), Fernando Torres (Didier Drogba 45).

Pengadil: Subkhiddin Mohd Salleh.





0 comments: