Thursday, July 7, 2011

Lima ‘import’ taruhan Singapura

SINGAPURA mempertaruhkan lima pemain ‘import’ dalam misi mereka menyekat kemaraan Malaysia pada saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014.

Jurulatih, Radojko Avramovic menyenaraikan lima pemain 'import' dalam skuad kendaliannya itu yang terdiri daripada 25 pemain.

Antara import yang menjadi sandaran mereka ialah dua pemain dari China, Qiu Li dan Shi Jiayi serta Daniel Bennett (England), Mustafic Fahrudin (Serbia) dan Aleksandar Duric (Bosnia) yang kesemuanya telah diberi kerakyatan Singapura.

Avramovic bagaimanapun tidak menyenaraikan dua lagi pemain dari Nigeria iaitu Agu Casmir dan Precious Emuejeraye yang beraksi pada Piala Suzuki AFF 2010.

Senarai 25 pemain Singapura bagi menghadapi Malaysia di Stadium Jalan Besar pada 23 Julai dan Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Julai itu dikeluarkan di laman web www.fas.org.sg semalam.

Antara sembilan pemain Piala Suzuki AFF 2010 yang digugurkan ialah Baihakki Khaizan, Noh Alam Shah dan Noh Rahman manakala Hassan Sunny dan Khairul Amri Kamal mengalami kecederaan.

Justeru seramai 12 pemain baru dipanggil kali ini bagi membantu baki 13 pemain Piala Suzuki AFF 2010 lain yang dikekalkan.

Antara muka baru ialah Ismail Yunos, Shaiful Esah, Hamqaamal Shah Hamzah, Hariss Harun, Andrew Tan dan Khairul Nizam Kamal.

"Ini merupakan 25 pemain terbaik yang kami ada. Saya tidak akan panggil pemain lain kerana tiada masa lagi untuk membuat eksperimen. Harap tiada masalah kecederaan," kata Avramovic.

Selepas menewaskan Maldives 4-0 pada 7 Jun lalu dan Etoile FC 2-1 pada 30 Jun lalu, skuad Singapura bakal mengharungi aksi persahabatan terakhir menentang Laos pada 18 Julai.

Manakala skuad negara kendalian Datuk K. Rajagobal akan kembali berkumpul di Wisma FAM, Kelana Jaya petang ini sebagai persediaan menghadapi Arsenal pada Rabu depan dan Liverpool (16 Julai) sebelum berkunjung ke Kota Singa.

INFO:
SENARAI 25 PEMAIN SINGAPURA:

PENJAGA GOL: Lionel Lewis (29), Ridhuan Barudin (24), Izwan Mahbud (21).

PERTAHANAN: Daniel Bennett (33), Juma'at Jantan (27), Ismail Yunos (25), Shaiful Esah (25), Hamqaamal Shah Hamzah (25), Afiq Yunos (21), Safuwan Baharudin (20), Delwinder Singh (19).

TENGAH: Mustafic Fahrudin (30), Shi Jiayi (28), Shahril Ishak (27), Shukor Zailan (26), Isa Halim (25), Shahdan Sulaiman (23), Ruzaini Zainal (23), Hariss Harun (21).

PENYERANG: Aleksandar Duric (41), Qiu Li (30), Fazrul Nawaz (26), Erwan Gunawan (24), Andrew Tan (24), Khairul Nizam Kamal (20).

(Usia pemain dalam kurungan)

0 comments: