Malaysia 3 Liverpool 6
SKUAD bola sepak kebangsaan tewas 3-6 kepada Liverpool pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam.
Begitupun, aksi melawan anak-anak buah Datuk K. Rajagobal itu wajar dipuji apabila mereka tampil lebih agresif berbanding ketika tewas 0-4 kepada Arsenal pada Rabu lalu.
Keenam-enam gol Liverpool dijaringkan oleh Charlie Adam, David Ngog (2), Maxi Rodriguez (2) dan Dirk Kuyt.
Manakala skuad kebangsaan membalas tiga gol menerusi kapten, Safiq Rahim dan dua jaringan penyerang sensasi, Safee Sali.
Rajagobal melakukan empat perubahan pada kesebelasan utamanya dengan menyenaraikan Sharbinee Allawee Ramli, Muslim Ahmad, Baddrol Bakhtiar dan Abdul Hadi Yahaya.
Liverpool pula yang dikemudikan oleh penolong pengurusnya, Steve Clarke selepas Kenny Dalglish terpaksa pulang awal ke England, membuat enam perubahan berbanding kesebelasan ketika menewaskan Guangdong Sunray Cave 4-3.
Kedudukan babak pertama terikat 1-1 setelah sepakan penalti Adam pada minit ke-25 berpunca Andy Carroll dijatuhkan Asraruddin Putra Omar berjaya dipadam oleh sepakan percuma cantik Safiq yang menewaskan Brad Jones minit ke-42.
Skuad kebangsaan bermula baik pada babak kedua tetapi kelalaian benteng pertahanan membenarkan Ngog mudah meledak dua gol pada minit ke-67 dan ke-68 menewaskan penjaga gol gantian, Khairul Fahmi Che Mat.
Ketinggalan 1-3, Rajagobal memasukkan Safee pada minit ke-69 dan percaturan itu ternyata berhasil apabila penyerang Pelita Jaya itu berjaya meledak dua gol.
Terdahulu Liverpool berjaya menambah gol keempat menerusi sentuhan Rodriguez pada minit ke-74.
Bagaimanapun semangat para pemain negara kembali melonjak apabila Safee menjaringkan gol kedua pada minit ke-78.
Ia berpunca daripada kegagalan penjaga gol gantian Liverpool, Martin Hansen menangkap kemas bola rembatan Amirulhadi Zainal.
Tiga minit kemudian, Safee merapatkan kedudukan 3-4 apabila pantas menyudahkan hantaran leret Rizal Fahmi Ab. Rosid untuk menewaskan Hansen buat kali kedua.
Namun harapan untuk melihat Harimau Malaya bangkit menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila kelekaan barisan pertahanan sekali lagi dihukum pada masa kecederaan.
Rodriguez menjaringkan gol kelima Liverpool pada minit ke-90, manakala Dirk Kuyt melengkapkan gol keenam minit ke-93.
MALAYSIA: Sharbinee Allawee Ramli (Khairul Fahmi Che Mat 45), Mahali Jasuli (Helmi Remeli 45), Fadhli Shas (Rizal Fahmi Ab. Rosid 68), Muslim Ahmad (Farisham Ismail 71), Asraruddin Putra Omar (Azmi Muslim 45), Baddrol Bakhtiar (S. Chanthuru 45) (Amirulhadi Zainal 76), Amar Rohidan (K. Gurusamy 40) (Shakir Shaari 76), Safiq Rahim (c) (Ismail Faruqi Ashari 62), S. Kunanlan (Ashari Samsudin 45), Ahmad Fakri Saarani (Shahrizal Saad 62), Abdul Hadi Yahaya (Izzaq Faris Ramlan 38) (Safee Sali 68).
LIVERPOOL: Brad Jones (Peter Gulacsi 45) (Martin Hansen 69), Jonathon Flanagan (Martin Kelly 45), Daniel Agger (Sotirios Kyrgiakos 45), Jamie Carragher (c) (Dany Wilson 45), Jack Robinson (Emiliano Insua 45), Raul Meireles (Dirk Kuyt 45), Jay Spearing (Christian Poulsen 45), Conor Coady (Jonjo Shelvey 45), Charlie Adam (Alberto Aqualini 45), Joe Cole (Maxi Rodriguez 45), Andy Carroll (David Ngog 45).
Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamed
0 comments:
Post a Comment