Friday, July 8, 2011

Kelayakan Olimpik 2012: Malaysia tak gentar

MESKIPUN diundi bersama beberapa pasukan gergasi Asia, skuad Olimpik negara tidak ada memiliki perasaan gentar.

Perjuangan perlu diteruskan tanpa memikirkan kekuatan yang ada pada pasukan lawan.

“Kita tidak perlu fikirkan pasukan lain, sebaliknya kita tumpu kepada persediaan kita selain meningkatkan tahap keyakinan serta komitmen pemain”.

Itu respons jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee selepas majlis undian saingan peringkat kumpulan Kelayakan Olimpik 2012 di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil semalam.

Malaysia telah diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun, Bahrain dan Syria.

Bagi aksi pertama peringkat kumpulan itu, skuad B-22 negara bakal berdepan Jepun di tempat lawan pada 21 September depan.

Kemudian, Malaysia akan beraksi dua perlawanan di laman sendiri menentang Syria dan Bahrain pada 23 dan 27 November.

Pada 5 Februari 2012, Malaysia akan bertandang ke tempat lawan untuk bertemu Bahrain sebelum menanti kunjungan Jepun pada 22 Februari 2012.

Aksi terakhir peringkat kumpulan menyaksikan Malaysia akan bertemu Syria di tempat lawan pada 14 Mac 2012.

"Tak banyak beza sama ada kita berada dalam Kumpulan A, B atau C. Mana-mana pun kumpulan maut bagi kita.

"Kita tak perlu fikir tentang pasukan lain, yang penting bagaimana kita siapkan pasukan kita untuk mencipta kejutan," kata Kim Swee ketika ditemui selepas majlis undian itu.

Pengendali berusia 41 tahun itu sudah mempunyai bayangan persiapan yang bakal dilakukan skuadnya bermula dengan latihan selama sebulan di Slovakia pada 23 Julai depan.

"Kita akan pulang dari Slovakia pada 28 Ogos. Kemudian 10 hari sebelum bertemu Jepun di tempat lawan, kita akan berlatih di Korea Selatan dan mengadakan aksi persahabatan dengan pasukan Olimpik mereka.

"Ia sama seperti yang kita lakukan ketika bertemu Lebanon apabila kita berlatih seminggu di Doha, Qatar.

"Perkara sama juga akan kita lakukan untuk bertemu Bahrain dan Syria di tempat lawan nanti apabila kami akan berlatih seminggu awal di mana-mana negara Timur Tengah," jelas Kim Swee.

Ditanya tentang ketiga-tiga pasukan dalam Kumpulan C itu, Kim Swee berkata: "Jepun juara Sukan Asia 2010, Bahrain pula melakukan persiapan dengan baik manakala Syria sentiasa konsisten dalam kejohanan peringkat remaja."

Susunan jadual perlawanan turut tampak memberi kelegaan kepada Malaysia apabila dua aksi selepas berakhirnya Sukan SEA 2010 iaitu pada 23 dan 27 November depan berlangsung di laman sendiri.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Hiromi Hara tidak mahu menganggap pasukannya selaku pilihan utama untuk menjuarai Kumpulan C.

"Malaysia juga kuat. Bagi kami, ini pusingan akhir dan tiada pasukan yang tidak kuat. Apa pun kami mahu memulakan cabaran dengan langkah kanan apabila bertemu Malaysia di laman sendiri," katanya ketika ditemui selepas majlis undian.

INFO:

KEPUTUSAN UNDIAN PUSINGAN AKHIR KELAYAKAN OLIMPIK 2012 - ZON ASIA

KUMPULAN A: Korea Selatan, Qatar, Arab Saudi, Oman.

KUMPULAN B: Australia, Iraq, Uzbekistan, UAE.

KUMPULAN C: Jepun, Bahrain, Syria, Malaysia.

* Juara setiap kumpulan layak automatik ke Sukan Olimpik 2012 di London manakala tiga naib juara merebut satu slot playoff menentang wakil dari Zon Afrika.

0 comments: