Ismail Faruqi jadi senjata sulit
PEMAIN tengah Terengganu, Ismail Faruqi Ashari tersenarai dalam skuad 24 pemain terakhir yang dibawa Datuk K. Rajagobal ke Singapura semalam.
Biarpun baru dipanggil sehari selepas skuad kebangsaan tewas 0-4 kepada Arsenal pada 13 Julai lalu, Ismail, 25, pantas memikat hati Rajagobal menerusi aksi meyakinkan ketika menentang Liverpool, Sabtu lalu.
Pada perlawanan yang menyaksikan skuad kebangsaan tewas 3-6 itu, Ismail dimasukkan pada minit ke-62 menggantikan Safiq Rahim dan dilihat berjaya melakukan beberapa gerakan menarik meskipun hanya bertubuh kecil.
"Saya dipanggil pertama kali pada Mei lalu untuk perlawanan menentang Hong Kong (3 Jun lalu). Biarpun dibawa ke Hong Kong, saya tidak diturunkan.
"Jadi apabila diberi peluang masuk pada babak kedua ketika bertemu Liverpool, saya bertekad menggunakan sepenuhnya peluang itu untuk menarik perhatian jurulatih.
"Memang sudah lama saya nak sarung jersi kebangsaan dan apabila peluang diberi, saya cuba untuk memanfaatkannya sebaik mungkin," kata Ismail ketika ditemui pada sesi latihan terakhir di Wisma FAM, Kelana Jaya petang kelmarin.
Skuad negara berlepas ke Singapura pagi semalam tanpa Norshahrul Idlan Talaha, S. Chanthuru, Farisham Ismail dan Shahrizal Saad.
Ismail hanya dipanggil untuk bersama skuad Pilihan Malaysia kendalian Ong Kim Swee bagi menghadapi Chelsea malam tadi tetapi aksi cemerlangnya ketika bertemu Liverpool telah mengubah segalanya.
Bekas pemain T-Team musim lalu itu kini sedang mengintai peluang untuk diturunkan pada aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura di Stadium Jalan Besar malam esok.
"Keyakinan dan semangat saya semakin memuncak selepas beraksi menentang Liverpool. Jika diberi peluang beraksi menentang Singapura, saya akan gunakannya sebaik mungkin untuk mempamerkan aksi terbaik.
"Sudah tentu saya mahu membantu pasukan mencatat kemenangan pada aksi pertama di tempat lawan untuk mencari bekalan selesa," jelas Ismail yang perlu bersaing posisi tengah dengan Safiq, Amar Rohidan, K. Gurusamy dan Shakir Shaari.
0 comments:
Post a Comment