Aksi terbaik setakat ini - Azraai
SKUAD bawah 21 tahun (B-21) kebangsaan, Harimau Muda A tewas lagi di Slovakia.
Kali ini mereka tewas 1-3 kepada MFK Tatran Liptovsky Mikulas pada aksi yang berlangsung di gelanggang lawan kelmarin.
Namun jurulatihnya, Azraai Khor Abdullah menganggap ia merupakan aksi terbaik daripada anak-anak buahnya setelah mereka genap sebulan berada di bumi Slovakia semalam.
“Nampak banyak peningkatan dalam pasukan, terutamanya dari segi taktikal. Pasukan kita sudah mampu bersaing dengan pihak lawan.
“Kita banyak juga mencipta peluang di depan pintu gol, cuma pengalaman saja yang membezakan kita dengan kekuatan lawan.
“Secara keseluruhannya, inilah permainan terbaik kami setakat ini. Saya puas hati dengan komitmen dan semangat juang pemain,” kata Azraai kepada Kosmo! semalam.
Pada perlawanan tersebut, Harimau Muda A ketinggalan pada minit ke-44 sebelum Fandi Othman berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-48 setelah menyudahkan gerakan solo S. Sivanesan.
Namun pasukan lawan berjaya menambah dua lagi gol pada minit ke-57 dan 83.
Ditanya apakah kemajuan yang dilihatnya sepanjang tempoh sebulan berada di Slovakia, Azraai berkata, program pendedahan selama tiga bulan itu jelas bakal memberi banyak kesan positif kepada pasukan.
“Dengan suasana perlawanan di sini begitu kompetitif, pemain-pemain muda kita akan lebih cepat matang.
“Kita terima juga komen-komen dari masyarakat bola sepak di sini secara positif berkenaan bakat pemain-pemain kita seperti Muslim Ahmad, Gary Steven Robbat, Affize Faisal Mamat dan Shukur Jusoh,” jelasnya.
Harimau Muda A tewas ketiga-tiga perlawanan mereka sebelum ini kepada Slovan Duslo Sala (1-4), MFK Ruzomberok B (0-2) dan MFK Zemplin Michalovce (0-3).
Perlawanan kelima mereka pada Sabtu ini ialah menentang MFK Dolny Kubin, pasukan yang kini menduduki tangga kelapan Liga 1 Slovakia.
1 comments:
cuba lagi! ^_^
March 22, 2010 at 8:17 AMPost a Comment