Tuesday, January 25, 2011

Azraai ganti Sathianathan?


PENGGANTUNGAN B. Sathianathan selama enam bulan berkuatkuasa semalam menyaksikan nama bekas jurulatih Harimau Muda A, Mohd. Azraai Khor Abdullah disebut-sebut bakal dilantik sebagai jurulatih baru Kelantan.

Azraai yang juga bekas jurulatih yang membawa Kedah muncul juara treble pada 2007 dan 2008 dikatakan calon paling sesuai dan tepat memandangkan masa kian suntuk buat Kelantan mencari pengganti Sathianathan.

Ketika dihubungi Kosmo! petang semalam, Azraai menyatakan yang dia bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut andai mendapat tawaran rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

“Buat masa ini belum ada tawaran rasmi yang saya terima daripada pihak KAFA. Tapi jika diberi tawaran rasmi, saya memang bersedia dan berminat untuk menjadi jurulatih Kelantan.

“Tapi saya masih perlu menyelesaikan sedikit lagi rundingan masalah kontrak saya dengan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). Selepas itu baru saya boleh terima tawaran mana-mana pasukan,” kata Azraai.

Khabar angin kuat mengatakan bahawa Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa telah menghubungi Azraai semalam dan menyatakan tawaran tidak rasmi kepada Azraai untuk menjadi jurulatih baru Kelantan menggantikan Sathianathan.

Andai benar, ia pastinya satu rezeki buat Azraai yang kini digantung tidak bertali oleh FAM setelah dia digantung tugas sebagai jurulatih Harimau Muda A sejak Jun lalu kerana terdapat masalah dalam pasukan itu.

Azraai dilantik sebagai jurulatih Harimau Muda A pada November 2009 dan sepatutnya kontrak dua tahunnya hanya akan berakhir pada 31 Oktober 2011.

Namun ketika ini rundingan untuk penamatan kontrak secara persetujuan bersama sudah memasuki fasa akhir dan dijangka akan selesai dalam masa terdekat, sekali gus membolehkan Azraai menerima tawaran untuk menjadi jurulatih Kelantan.

0 comments: