Monday, January 31, 2011

Liga Premier buka tirai

SAINGAN liga divisyen dua kebangsaan, Liga Premier membuka tirai dengan dua perlawanan berlangsung pada sebelah petang ini, tiga perlawanan pada sebelah malam dan satu perlawanan petang esok.

Tumpuan pasti terarah kepada pasukan PKNS kendalian Abdul Rahman Ibrahim yang mempersiakan peluang layak ke Liga Super setelah tewas perlawanan terakhir mereka musim lalu.

PKNS bakal membuka cabaran musim ini dengan berdepan juara Liga FAM musim lalu, Sime Darby kendalian Ismail Zakaria di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam ini.

Musim ini, PKNS mendapat khidmat dua bekas pemain ATM, Ahmad Tharmini Saiban dan V. Saravanan manakala sentuhan tajam penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Zamri Hassan terus ditagih.

Dua pasukan yang turun dari Liga Super musim lalu, Johor dan Pulau Pinang pula pasti berhajat mengembalikan semula maruah yang tercalar.

Johor yang dibimbing Azmi Mohamed menanti kunjungan Pos Malaysia kendalian Mat Zan Mat Aris di Stadium JCorp, Pasir Gudang manakala Pulau Pinang yang dibimbing Robert Scully menanti kunjungan skuad kendalian Zaki Shaikh Ahmad, Sarawak di Stadium Negeri, Batu Kawan.

ATM pula yang musim lalu menampilkan barisan pemain bintang tetapi gagal ke Liga Super kali ini tampil sekali lagi untuk merealisasikan hajatnya itu.

Musim ini, ATM dibimbing jurulatih, Zahid Hashim dan mereka membawa masuk beberapa pemain baru antaranya Fatrurazi Rozi, Fairuz Montana Zainal Abidin, Efendi Malek dan bekas penjaga gol Pulau Pinang, Amir Omar Khata.

ATM memulakan saingan bertemu Majlis Perbandaran Muar kendalian Jacob Joseph di Stadium Selayang petang ini.

Dua baki perlawanan menyaksikan USM FC bimbingan S. Veloo bertemu PDRM kendalian K. Thaiyananthan di Stadium USM, Pulau Pinang malam ini manakala Harimau Muda B bimbingan Ismail Ibrahim bertemu SDM Navy kendalian Adam Abdullah di Stadium Selayang petang esok.

JADUAL
LIGA PREMIER

(HARI INI)

ATM lwn MP MUAR
Stadium Selayang, 4.45 ptg

PULAU PINANG mln SARAWAK
Stadium Negeri, Batu Kawan, 4.45 ptg

USM FC lwn PDRM
Stadium USM, Pulau Pinang, 8.45 mlm

PKNS lwn SIME DARBY
Stadium MBPJ, Kelana Jaya, 8.45 mlm

JOHOR lwn POS MALAYSIA
Stadium JCorp, Pasir Gudang, 8.45 mlm

(ESOK)

HARIMAU MUDA B lwn SDM NAVY
Stadium Selayang, 4.45 ptg

2 comments:

Jimmy said...

Hi..nak tanya harga tiket utk game ATM vs Muar FC brp RM? ingat nak pergi tengok jap lagi..

January 31, 2011 at 3:29 PM
Wan Fakhrul Wan Bakar said...

sori lambat reply...
tak pasti la..sebab harga tiket bola kat msia ni tak standard..
ikut team tuan rumah tu nak letak brape harganya...hehe

January 31, 2011 at 11:15 PM