Friday, January 28, 2011

Pos Malaysia dapat sentuhan Mat Zan

SKUAD Pos Malaysia mengharapkan sentuhan jurulatih baru, Mat Zan Mat Aris untuk membawa pasukan itu menjuarai saingan Liga Perdana musim ini, sekali gus layak ke Liga Super musim depan.

Pengalaman Mat Zan, 53, yang pernah membimbing Kuala Lumpur, Terengganu, TMFC dan KL Plus diharap mampu membentuk skuad mantap biarpun Pos Malaysia tidak dibarisi pemain-pemain ternama.

Pengurus pasukan, Shaari Shazali berkata, skuad Pos Malaysia musim ini dibarisi 15 pemain lama serta sembilan muka baru iaitu Rusydee Samsudin, S. Sumindran, Saufi Ibrahim, Amri Fazal Mat Nor, Sani Nawi, Hafizudin Said, Abdullah Yusoff, Halim Che Hassan dan Khairi Hassan.

“Daripada 24 pemain kita musim ini, 14 pemain merupakan kakitangan Pos Malaysia sendiri dengan majoriti adalah posmen.

“Berkat kesungguhan pemain dan kredibiliti jurulatih (Mat Zan), saya rasa tak mustahil untuk Pos Malaysia muncul juara Liga Perdana dan sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian ke suku akhir Piala FA musim lalu.

“Biarpun kita tidak dibarisi pemain bertaraf bintang, tapi insya-allah kami akan menjadikan mereka ini bintang,” kata Shaari pada sidang media pengenalan pemain Pos Malaysia 2011 dan jersi baru tajaan Eider di ibu negara semalam.

Sementara itu, Mat Zan berkata, tugas melatih pemain bukan bintang lebih mudah berbanding melatih pemain bintang seperti ketika dia bersama KL Plus musim lalu sambil menganggap tiada bezanya melatih pasukan Liga Super atau Liga Perdana.

“Dalam latihan saya dapat lihat para pemain Pos Malaysia ini cukup bersemangat tinggi, itu bezanya. Tanggungjawab seorang jurulatih adalah untuk membimbing para pemain ke arah kejayaan pasukan.

“Jadi saya harap Pos Malaysia musim ini mampu pergi lebih jauh dan memperbaiki kedudukan mereka (tangga kelapan Liga Premier) pada musim lalu,” ujar Mat Zan.

Kapten Pos Malaysia musim ini ialah Faizal Nasir dan mereka turut mengekalkan penjaring kedua terbanyak Liga Premier musim lalu, G. Puaneswaran biarpun cuba dipancing beberapa pasukan Liga Super.


JADUAL
LIGA PERDANA 2011


(ISNIN)

JOHOR lwn POS MALAYSIA
Stadium JCorp, Pasir Gudang, 4.45 ptg

PKNS lwn SIME DARBY
Stadium MBPJ, Kelana Jaya, 4.45 ptg

ATM lwn MP MUAR
Stadium Selayang, 4.45 ptg

PULAU PINANG mln SARAWAK
Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 4.45 ptg

USM FC lwn PDRM
Stadium USM, Pulau Pinang, 8.45 mlm

(SELASA)

HARIMAU MUDA B lwn SDM NAVY
Stadium Selayang, 4.45 ptg

0 comments: