Friday, January 28, 2011

Safee buru hadiah hari lahir


PENYERANG Selangor, Mohd. Safee Mohd. Sali mahu menjadikan sambutan hari lahirnya yang ke-27 esok lebih bermakna dengan menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah untuk musim ketiga berturut-turut.

Secara kebetulan aksi sumbangsih yang juga perlawanan sulung Liga Super 2011 di antara Selangor dengan Kelantan di Stadium Shah Alam itu jatuh pada tarikh yang sama dengan hari lahir Safee.

Selain itu, Safee turut meledak satu gol pada kedua-dua aksi sumbangsih sebelum ini iaitu ketika Selangor menewaskan Kedah 4-1 di Alor Setar pada 2009 dan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Paroi pada 2010.

Bagi Safee, dia mahu mengekalkan rekod tersebut selain rentak jaringan ketika Piala Suzuki AFF 2010 bulan lalu apabila turun bertemu Kelantan malam esok.

“Apabila menyambut hari lahir, mestilah seseorang itu mahu menyambutnya dengan kegembiraan. Jadi saya pun mahu menjadikan sambutan kali ini lebih bermakna dengan sekali lagi menjulang Piala Sultan Ahmad Shah.

“Saya juga bertekad meneruskan rekod jaringan saya pada dua aksi sumbangsih sebelum ini dengan meletakkan sasaran untuk menjaringkan satu atau dua gol pada Sabtu ini (esok),” kata Safee ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Biarpun kesuntukan masa untuk membentuk keserasian bersama pemain-pemain baru musim ini kerana tugasan Piala Suzuki AFF, Safee yakin gandingannya bersama Fadzli Saari musim ini mampu menggegar.

“Memang masa cukup singkat. Tapi sepanjang latihan kami berkerja keras dan akhirnya persefahaman itu sudah nampak.

“Saya meletakkan sasaran peribadi untuk muncul penjaring terbanyak Liga Super musim ini setelah melakukannya pada Piala Suzuki AFF,” ujarnya.

Ditanya perkembangan terbaru tawaran kelab Indonesia terhadapnya, Safee berkata: “Masih belum ada apa-apa keputusan dicapai dan perbincangan lanjutan. Jadi buat masa ini, saya akan beri sepenuh fokus untuk pasukan Selangor.”

Bagi penyokong Selangor dan Kelantan, tiket-tiket berharga RM20 akan dijual di kaunter utama Stadium Shah Alam hari ini (9 pagi hingga 7 malam) dan esok (9 pagi hingga perlawanan bermula).


JADUAL
LIGA SUPER 2011

(ESOK)

SELANGOR lwn KELANTAN
Stadium Shah Alam, 8.55 mlm

TERENGGANU lwn SABAH
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 4.45 ptg

KUALA LUMPUR lwn PERAK
Stadium Bolasepak KL, Cheras, 8.45 mlm

JOHOR FC lwn FELDA UNITED
Stadium Jcorp, Pasir Gudang, 8.45 mlm

KEDAH lwn T-TEAM
Stadium Darul Aman, Alor Setar, 8.45 mlm

NEGERI SEMBILAN lwn HARIMAU MUDA A
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 8.45 mlm

PAHANG lwn PERLIS
Stadium Darul Makmur, Kuantan, 8.45 mlm

* Perlawanan Selangor-Kelantan juga merupakan perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah.

0 comments: