Wednesday, January 19, 2011

Wajah baru Selangor 2011

SYARIKAT milik kerajaan negeri Selangor, Menteri Besar Incorporated (MBI) kekal sebagai penaja utama manakala Kappa muncul penaja baru jersi skuad Liga Super dan Piala Presiden Selangor bagi musim 2011.

MBI mula menjadi penaja utama skuad Selangor sejak musim lalu selepas menggantikan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) manakala Kappa menggantikan Adidas yang merupakan penaja jersi skuad Red Giants itu dari musim 2005 hingga 2010.

Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga Menteri Besar Selangor berkata, sasaran skuad Selangor musim ini ialah mempertahankan kejuaraan Liga Super dan Piala Sumbangsih serta merampas semula Piala Malaysia.

“Setiap musim memang kita mahu sasar empat piala secara maksimum tetapi selalunya kita hanya dapat dua atau tiga piala. Apabila tiba saingan Piala Malaysia, kita gagal.

“Jadi selain mempertahankan kejuaraan Liga Super dan Piala Sumbangsih yang dimenangi berturut pada 2009 dan 2010, kita akan cuba lagi untuk menjulang Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi pada 2005.

“Tentang jumlah tajaan MBI untuk musim ini, tiada nilai spesifik. Namun, kebiasaannya nilai tajaan MBI untuk satu musim ialah melebihi RM4 juta,” katanya pada Majlis Memperkenalkan Pemain dan Pelancaran Jersi Baru Selangor 2011 di Stadium Shah Alam, petang semalam.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad memberitahu bahawa harga tiket bagi aksi Piala Sumbangsih bertemu Kelantan pada 29 Januari ini di Stadium Shah Alam ditetapkan pada harga RM20.

“Untuk perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam sepanjang musim ini pula, harga tiket dinaikkan ke RM15 dewasa manakala kanak-kanak bawah 12 tahun kekal RM5.

“Sejak Selangor menggunakan Stadium Shah Alam pada 1994, harga tiket RM10 kekal untuk tempoh yang cukup lama. Mengambilkira kos semakin meningkat, sudah sampai masanya harga tiket dinaikkan,” kata Mokhtar.

Dalam pada itu, pengurus merangkap ketua jurulatih Selangor, K. Devan mahu pasukannya menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk menjulang trofi Piala Sumbangsih buat kali ketiga berturut-turut.

“Musim 2009, kita menang di Alor Setar manakala musim lalu kita menang di Paroi. Kali ini buat pertama kalinya kita akan mempertahankan Piala Sumbangsih di Shah Alam,” kata Devan.

INFO:

SKUAD LIGA SUPER SELANGOR 2011

PEGAWAI:K. Devan (Pengurus/ Ketua jurulatih), Rosedy Nadzir (Penolong jurulatih), P. Maniam (Penolong jurulatih), Azmin Azram Abd. Aziz (Jurulatih penjaga gol), M. Dharmendra (Jurulatih kecergasan)

PEMAIN:

PENJAGA GOL: (1) Fairul Azwan Shahrullai, (21) Saiful Amar Sudar, (22) Iqbal Suhaimi.

PERTAHANAN: (3) Razman Roslan, (4) Asraruddin Putra Omar, (5) Khairul Anuar Baharum, (6) Nasriq Baharom, (15) P. Gunalan, (16) Yosri Derma Raju, (19) D. Surendran.

TENGAH: (8) Safiq Rahim, (11) K. Depan Sakwati, (12) Bunyamin Umar, (14) Hardi Jaafar, (18) Azidan Sarudin, (20) Amirulhadi Zainal, (24) Fitri Shazwan Raduwan, (25) Fazilidin Khalid.

PENYERANG: (7) S. Sritharan, (9) Rudie Ramli, (10) Safee Sali, (17) Amri Yahyah, (23) Fadzli Saari.

* Nombor jersi dalam kurungan


0 comments: