Friday, January 21, 2011

Iqbal atau Saiful Amar?


TEKA teki siapa yang bakal menggalas tugas sebagai penjaga gol utama skuad Liga Super Selangor musim ini hampir terjawab.

Posisi tersebut menjadi rebutan Mohd. Iqbal Suhaimi, Saiful Amar Sudar (gambar atas) dan Fairul Azwan Shahrullai setelah penjaga gol utama musim lalu, Hamsani Ahmad berhijrah ke Felda United.

Namun jurulatih penjaga gol Selangor, Azmin Azram Abdul Aziz seakan sudah memberi bayangan bahawa Iqbal bakal dipilih sebagai penjaga gol utama musim ini.

“Ketiga-tiga penjaga gol ini telah menunjukkan prestasi baik sepanjang latihan pra musim. Tapi kelebihan kini berpihak kepada Iqbal setelah dia beraksi cemerlang ketika perlawanan persahabatan di Perth, Australia.

“Iqbal dan Saiful Amar mungkin akan kerap berada dalam senarai 18 pemain untuk setiap perlawanan berbanding Fairul Azwan.

“Tapi apa pun, saya hanya akan cadangkan kepada ketua jurulatih (K. Devan) pemain yang dalam keadaan baik dan bersedia menjelang sesuatu perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Iqbal, 27, bekas penjaga gol Pahang dan Proton FC mempunyai kelebihan kerana sudah semusim bersama Selangor manakala Saiful Amar, 29, bekas penjaga gol Kuala Lumpur dan PKNS FC baru menyertai Selangor musim ini.

Fairul Azwan, 24, pula sudah dua musim dibawa masuk dari skuad Piala Presiden Selangor tetapi lebih banyak memanaskan bangku simpanan.

“Bagi saya, ini semua adat untuk setiap penjaga gol bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama. Iqbal tak boleh terlalu selesa manakala Saiful Amar dan Fairul tidak perlu putus asa.

“Saya yakin ketiga-tiga mereka. Cuma dalam latihan, mereka perlu pertingkatkan kemampuan kerana saya mahu mereka mempamerkan aksi bertaraf antarabangsa andai dipilih beraksi,” tegas Azmin, 35, bekas penjaga gol kebangsaan.

Skuad Selangor yang menewaskan Sime Darby 3-2 pada aksi persahabatan kelmarin hasil jaringan Fitri Shazwan Raduwan, Safee Sali dan Amirulhadi Zainal bakal mengharungi aksi persahabatan terakhir esok.

Lawan mereka ialah kelab Singapura, Hougang United (nama baru Sengkang Punggol) pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam bermula pukul 8 malam.



MOHD. IQBAL SUHAIMI

0 comments: