Hajat kapten Amri
KAPTEN Selangor, Amri Yahyah berpeluang melakar sejarah tersendiri menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah buat kali ketiga berturut-turut apabila berdepan Kelantan di Stadium Shah Alam malam ini.
Amri yang sudah mencecah usia 30 tahun pada 21 Januari lalu dilantik sebagai kapten Selangor pada 2009 dan trofi pertama berjaya dijulangnya selaku kapten ialah Piala Sultan Ahmad Shah.
Pada ketika itu, Amri cemerlang meledak dua gol ketika Selangor menewaskan Kedah 4-1 pada aksi sumbangsih 2009 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Musim lalu pula, Amri sekali lagi mengetuai Selangor untuk menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada aksi sumbangsih yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Justeru malam ini, Amri bertekad membawa Selangor menjulang trofi tersebut buat kali ketiga dan lebih bermakna, di gelanggang sendiri berbanding dua edisi sebelum ini.
“Saya dan rakan-rakan akan berusaha untuk mempamerkan aksi terbaik kami pada perlawanan esok (malam ini) dan sudah tentu kami mahu menang sekali lagi aksi sumbangsih untuk musim ini.
“Semangat kami kali ini pasti lebih membuak-buak kerana mahu membalas dendam kekalahan 0-3 kepada Kelantan pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia musim lalu.
“Atas alasan itu serta beraksi pula di tempat sendiri, kami semua akan beraksi habis-habisan untuk memastikan kemenangan milik Selangor,” kata Amri pada sidang media di Stadium Shah Alam petang semalam.
Perlawanan malam ini turut bakal menyaksikan pertembungan pemain-pemain kebangsaan yang membantu Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 pada 29 Disember lalu.
Selangor memiliki enam pemain kebangsaan iaitu Amri sendiri, Safiq Rahim, Safee Sali, Asraruddin Putra Omar, Amirulhadi Zainal dan Razman Roslan manakala Kelantan memiliki Khairul Fahmi Che Mat dan Norshahrul Idlan Talaha.
Aksi malam ini turut penting buat Safee, penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 yang mahu sambutan hari lahirnya yang ke-27 hari ini berakhir dengan kegembiraan menjulang piala.
0 comments:
Post a Comment