Monday, January 31, 2011

Pemain leka - Kim Swee


KESILAPAN lama berulang.

Demikian rumusan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee setelah menyaksikan skuad bimbingannya itu memulakan kempen Liga Super dengan langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan malam kelmarin.

Menurut pengendali berusia 41 tahun itu, dia sudah banyak kali mengingatkan anak-anak buahnya supaya sentiasa berjaga-jaga ketika pasukan lawan memperolehi sepakan percuma di hadapan pintu gol.

“Ketika aksi persahabatan selama tiga bulan di Slovakia, kita sering dibolosi lawan menerusi situasi sepakan percuma. Selepas itu, para pemain berjaya mengelak kesilapan tersebut.

“Tapi kini mereka kembali leka dan membuat kesilapan serupa apabila sepakan percuma pasukan lawan berjaya ditanduk masuk Shaffik Abdul Rahman pada minit ke-87,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kim Swee menambah, pengalaman luas bekas-bekas pemain kebangsaan dalam skuad Negeri Sembilan menjadi perbezaan ketara buat pemain-pemain skuad Olimpik kebangsaan itu pada perlawanan tersebut.

“Kita mendapat sekurang-kurangnya tiga peluang keemasan satu lawan satu berdepan penjaga gol lawan, Farizal Marlias yang diperolehi Syahrul Azwari Ibrahim dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

“Ternyata hanya pengalaman yang telah memisahkan kita pada perlawanan ini. Tapi secara keseluruhan para pemain saya masih beraksi dengan baik,” ujarnya.

Menjelang aksi kedua bertemu pendahulu liga, Pahang di Stadium Shah Alam malam esok, Kim Swee berkata, dia tidak akan membuat rombakan besar sebaliknya hanya membuat satu atau dua pertukaran.

“Ini semua bergantung kepada tahap kecederaan tiga tonggak utama kita iaitu Muslim Ahmad, K. Gurusamy dan Izzaq Faris Ramlan yang tidak beraksi semalam (kelmarin) akibat kecederaan.

“Semua pemain harus berkerja keras kerana Pahang baru saja menang 3-1 dengan Perlis dan kita juga pernah tewas 0-2 kepada Pahang pada aksi persahabatan sebelum ini,” jelas Kim Swee.

0 comments: