Sunday, January 2, 2011

Piala FA: Kelantan, T-Team bertembung awal


JUARA Piala Malaysia 2010, Kelantan berdepan laluan sukar untuk saingan Piala FA 2011 apabila diundi bertemu kelab dari Terengganu, T-Team seawal pusingan pertama.

Majlis undian di Dewan Perdana, Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil petang semalam menyaksikan pusingan pertama dijadualkan pada 19 Februari dan pusingan kedua pada 4 Mac depan dengan format satu perlawanan saja.

Format timbal balik hanya diaplikasikan bermula peringkat suku akhir (15 dan 19 Mac) dan separuh akhir (13 dan 16 Mei) manakala final akan berlangsung pada 11 Jun depan.

Pertembungan pusingan pertama paling menarik pastinya Kelantan bertemu T-Team di Kuala Terengganu.

Ini kerana kontroversi melanda tiga bekas pemain Kelantan iaitu Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Muhammad dan Aziz Mat Rose yang kini menyarung jersi T-Team.

"Kita tak mahu terlalu fokus isu tersebut. Saya mahu ia diambil sebagai satu insiden yang perlu diperbetulkan pada masa akan datang. Biarlah Jawatankuasa Status FAM menelitinya.

"Sekurang-kurangnya ia menjadi nasihat kepada pemain supaya perlu ada tanggungjawab manakala kelab pula perlu mengamalkan etika yang betul untuk mendapatkan pemain.

"Satu pekeliling perlu dibuat FAM dan saya anggap ini satu proses mendidik supaya ia tidak berulang lagi," kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui selepas majlis undian itu semalam.

Jika melepasi T-Team, Kelantan bakal berdepan pula Johor FC atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di pusingan kedua dan seterusnya mungkin berdepan Perlis, Felda United atau Kedah pada suku akhir.

"Kelompok kami ini boleh dianggap kelompok maut. Enam daripada tujuh pasukan dari Liga Super. Untuk ke separuh akhir, kami perlu menang dengan semua pasukan-pasukan handalan ini.

"Tapi dalam bola sepak, jika kita nak jadi juara kenalah menewaskan semua pasukan kuat," jelas Annuar.

Hanya tiga pasukan diberi bye ke pusingan kedua iaitu Negeri Sembilan selaku juara bertahan, Kedah selaku naib juara musim lalu dan Selangor yang kandas pada separuh akhir.

Pada pusingan kedua, Negeri Sembilan akan bertemu Pos Malaysia atau Kuala Lumpur, Selangor bakal berdepan Melodi Jaya atau Harimau Muda B manakala Kedah akan menentang Perlis atau Felda United.


0 comments: