Tuesday, January 25, 2011

FAS ketat kawalan keselamatan


INSIDEN kekecohan melibatkan penyokong Selangor dan Kelantan pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2010 di Stadium Shah Alam pada 12 Oktober lalu dijamin tidak akan berulang.

Kedua-dua pasukan tersebut bakal bertemu lagi untuk aksi sulung Liga Super 2011 yang juga perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, sebagai langkah pencegahan pihaknya telah berkerjasama dengan polis untuk meletakkan sekurang-kurangnya 745 anggota bagi perlawanan tersebut.

“Pihak polis akan mengawal dari sebelum perlawanan bermula, ketika perlawanan berlangsung dan juga selepas perlawanan. Ia bagi memastikan pergaduhan penonton sebelum ini tidak berulang.

“Polis juga akan ditempatkan di luar stadium dan sejurus sebelum perlawanan tamat, polis akan berada di lokasi tertentu bagi mengelakkan pertempuran penyokong kedua-dua pasukan.

“Kita harap tiada kejadian yang tidak diingini berlaku dan saya harap penyokong Selangor dan Kelantan datang untuk menikmati perlawanan, bukannya melakukan perkara yang tidak diingini.

“Sila jaga emosi masing-masing,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pengelola di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Menurut Hamidin, tiket bagi perlawanan sumbangsih itu akan dijual pada Jumaat ini dari 9 pagi hingga 7 malam di kaunter pintu utama Stadium Shah Alam serta pada Sabtu bermula 9 pagi hingga perlawanan bermula.

“Harga tiket ialah RM20 dewasa dan RM5 kanak-kanak bawah 12 tahun. Untuk mengelak kesesakan, pintu stadium akan mula dibuka pada pukul 4 petang hari perlawanan.

“Kita akan beri tempat duduk 50-50 untuk kedua-dua pasukan. Cuma zon pemisah nanti akan dianjakkan mengikut keadaan iaitu jumlah penyokong pasukan mana yang lebih ramai,” ujarnya.

INFO:

JADUAL
LIGA SUPER 2011

(SABTU)

SELANGOR lwn KELANTAN
Stadium Shah Alam, 8.45 mlm

TERENGGANU lwn SABAH
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 4.45 ptg

KUALA LUMPUR lwn PERAK
Stadium Bolasepak KL, Cheras, 8.45 mlm

JOHOR FC lwn FELDA UNITED
Stadium Jcorp, Pasir Gudang, 8.45 mlm

KEDAH lwn T-TEAM
Stadium Darul Aman, Alor Setar, 8.45 mlm

NEGERI SEMBILAN lwn HARIMAU MUDA A
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 8.45 mlm

PAHANG lwn PERLIS
Stadium Darul Makmur, Kuantan, 8.45 mlm

0 comments: