Harimau Muda baham Singapura
SKUAD Olimpik Malaysia, Harimau Muda A kembali mempamerkan kecemerlangan apabila menewaskan skuad Olimpik Singapura 2-0 pada aksi persahabatan di Stadium Jalan Besar, Singapura malam tadi.
Barisan pemain muda negara itu bangkit semula daripada kekalahan 1-2 kepada skuad Olimpik Thailand di Bangkok, Khamis lalu.
Pada aksi malam tadi, Harimau Muda A memperoleh kedua-dua gol pada separuh masa pertama menerusi Irfan Fazail pada minit ke-23 dan Syahrul Azwari Ibrahim pada minit ke-45.
Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee berpuas hati dengan rentak agresif yang dipamerkan anak-anak buahnya pada separuh masa pertama.
“Kita main dengan baik pada babak pertama dan kedua-dua gol tersebut terhasil menerusi hantaran ke depan yang cukup tersusun. Corak permainan kita memang cukup agresif.
“Tapi pada babak kedua, memang kebiasaan pasukan yang ketinggalan akan lebih mengasak untuk mencari gol dan kita berjaya mengekalkan tahap disiplin dengan baik.
“Cuma kita gagal meneruskan corak permainan seperti biasa sehingga meletakkan kita di bawah tekanan. Apa pun kemenangan ini cukup penting untuk meningkatkan moral pasukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! selepas perlawanan.
Pada aksi malam tadi, Zamir Selamat, Affize Faisal Mamat, Fadhli Shas, Faizal Muhamad, Nazirul Naim Che Hashim, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Abdul Shukur Jusoh, Gary Steven Robbat, Fandi Othman, Irfan dan Syahrul Azwari berada dalam kesebelasan utama.
“Ia jelas kesebelasan yang berbeza ketika kita tewas kepada Thailand. Seperti yang saya katakan, mana-mana pemain yang tunjuk aksi konsisten, saya akan kekalkan dalam kesebelasan,” ujar Kim Swee yang membuat lima pertukaran sepanjang babak kedua.
Skuad Harimau Muda A akan kembali menyambung sesi latihan pada Khamis ini sebagai persiapan menghadapi aksi sulung Liga Super bertemu Negeri Sembilan di Paroi, Sabtu ini.
0 comments:
Post a Comment