Tuesday, January 25, 2011

Nasib empat pemain hari ini


NASIB tiga pemain baru T-Team, Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Muhammad dan Azizi Mat Rose serta pemain baru Selangor, Azidan Sarudin bakal terjawab hari ini.

Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan bersidang di Wisma FAM, Kelana Jaya petang ini bagi membincangkan keputusan berhubung isu perpindahan pemain-pemain terbabit dengan pasukan lama mereka.

Kelantan telah mendakwa T-Team ‘mencuri’ tiga tonggak utama mereka musim lalu itu manakala Selangor pula dikatakan ‘mencuri’ Azidan yang merupakan kapten Kuala Lumpur musim lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan meneliti kesemua afidavit pada mesyuarat petang ini sebelum membuat satu keputusan terbaik.

“Kita telah beri tempoh tujuh hari kepada Kelantan dan Kuala Lumpur mengemukakan afidavit disusuli T-Team dan Selangor untuk afidavit jawapan dalam tempoh tujuh hari berikutnya.

“Tentang kes membabitkan empat pemain PKNS yang didakwa ‘dicuri’ oleh Negeri Sembilan, pihak PKNS telah meminta supaya kes mereka ditangguhkan kerana mahu menyelesaikannya sendiri dengan pihak Negeri Sembilan.

“Jadi untuk esok (hari ini), ia hanya melibatkan keputusan berhubung status empat pemain iaitu tiga pemain T-Team dan seorang pemain Selangor,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ditanya apakah bentuk hukuman andai keempat-empat pemain itu didapati berhijrah secara salah, Takiyuddin berkata, tiada hukuman tetap sebaliknya ia akan ditentukan mengikut situasi dan tahap keseriusan setiap kes.

“Pelbagai kemungkinan hukuman boleh dibuat. Ia bergantung kepada keadaan. Mungkin pemain itu boleh dikenakan penggantungan atau sekadar amaran keras.

“Mungkin juga pasukan baru akan dikenakan denda. Tapi bersalah atau tidak pemain itu, kita akan nilai setelah meneliti kesemua afidavit dan afidavit jawapan,” jelas Takiyuddin.

0 comments: