Penggantungan Sathia kekal
JAWATANKUASA Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam telah membuat keputusan untuk mengekalkan hukuman penggantungan enam bulan terhadap jurulatih Kelantan, B. Sathianathan.
Dengan keputusan tersebut, Kelantan kini perlu mencari segera jurulatih sementara bagi aksi sulung Liga Super menentang Selangor Sabtu ini yang juga merupakan perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah.
Penolong Setiausaha Agung FAM, Ahmad Fuad Daud berkata, tempoh penggantungan enam bulan Sathianathan itu berkuatkuasa semalam dan akan berakhir pada 23 Julai depan.
“Sebenarnya penggantungan enam bulan Sathianathan ini adalah sama dengan penggantungan Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor (jurulatih T-Team musim lalu) yang berkuatkuasa 21 Oktober 2010 hingga 20 April 2011.
“Namun beberapa hari selepas Jawatankuasa Tatatertib menjatuhkan hukuman tersebut, Sathianathan telah membuat rayuan dan Jawatankuasa Rayuan menetapkan bahawa penggantungan itu ditangguhkan sementara.
“Jadi dengan keputusan terbaru Jawatankuasa Rayuan pagi tadi (semalam), penggantungan Sathianathan akan bermula hari ini (semalam).
“Manakala penggantungan Che Ku Marzuki kekal bermula 21 Oktober 2010,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Sathianathan dikenakan hukuman tersebut selepas mempertikaikan perlawanan Liga Super antara Perlis dan Terengganu yang sepatutnya dilangsungkan di Kangar tetapi dipindahkan ke Kuala Terengganu.
Bagaimanapun Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) merayu supaya hukuman tersebut ditangguhkan kerana ketika itu Kelantan memerlukan khidmat Sathianathan untuk final Piala Malaysia 2010 bertemu Negeri Sembilan pada 30 Oktober lalu.
Ahmad Fuad turut memberitahu, Kelantan perlu mendapatkan segera jurulatih baru yang memiliki Lesen A bagi menggantikan tempat Sathianathan sepanjang tempoh penggantungan itu.
“Kita akan beri Kelantan masa. Tapi mereka perlu segera mendapatkan jurulatih sementara dan seterusnya jurulatih tetap yang mesti memiliki Lesen A,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment