Sunday, January 2, 2011

Empat kelab luar buru Safee



PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) semalam mengesahkan bahawa terdapat empat buah kelab luar kini berminat untuk membeli penyerang utama mereka, Safee Sali.

Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, tiga daripadanya merupakan kelab Indonesia manakal satu lagi adalah kelab Vietnam.

"Saya telah jumpa Safee semalam (kelmarin) dan memang benar ada empat buah kelab luar mahu membelinya dengan sebarang kos termasuk menebus kontraknya bersama Selangor.

"Safee belum buat apa-apa keputusan. Dia sendiri masih tidak percaya. Apa pun Safee akan beri kata putus selepas pulang dari Australia nanti," kata Hamidin ketika ditemui di Bukit Jalil petang semalam.

Safee, 26, bersama pemain-pemain Selangor lain telah berlepas ke Perth, Australia pagi semalam untuk tiga siri perlawanan pramusim pada 3, 5 dan 7 Januari sebelum pulang ke tanah air pada 9 Januari depan.

Namun Hamidin berkata, dia sempat menasihatkan Safee supaya membuat keputusan yang tepat agar dia tidak tersilap langkah.

"KIta tak mahu dia beraksi di kelab luar tetapi berpatah balik separuh jalan. Ia akan menjejaskan imejnya dan juga negara.

"Saya telah beri nasihat apakah kekangan yang akan dihadapinya jika ke Indonesia atau Vietnam. Semuanya kini terpulang kepada Safee sendiri.

"Demi kemajuan bola sepak dan karier Safee, FAS tiada masalah untuk menjualnya kepada mana-mana empat kelab terbabit," jelas Hamidin.

Penyerang kelahiran Kajang, Selangor itu mula menjadi perhatian selepas dia muncul penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010 dengan meledak lima gol sepanjang kejohanan.

Dalam pada itu, Hamidin memberitahu, sasaran Selangor untuk musim 2011 ialah menjuarai Liga Super buat musim ketiga berturut-turut serta merampas semula Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi mereka pada 2005.

0 comments: