Friday, December 31, 2010

Malaysia lebih mantap 2014


SKUAD bola sepak kebangsaan akan jauh lebih mantap dalam tempoh empat tahun lagi.

Demikian janji pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Seperti yang kita tahu, FAM mempunyai perancangan masa depan. Kita beri peluang kepada pemain muda sekitar usia 18 hingga 21 tahun beraksi pada perlawa- nan-perlawanan besar.

“Ketika ini, kita memiliki 50 hingga 60 pemain-pemain muda yang boleh diserapkan ke skuad kebangsaan pada bila-bila masa. Mereka ini akan terus diberi pendedahan.

“Jadi dalam masa empat tahun ini, Malaysia akan menjadi sebuah pasukan yang cukup baik bukan sahaja di Asia Tenggara, malah di peringkat Asia,” kata Subahan pada sidang media selepas perlawanan malam kelmarin.

Ternyata apa yang diperkatakan Subahan itu ada benarnya kerana biarpun tanpa 10 tonggak utama, Malaysia tetap berjaya menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Sepuluh pemain yang terlepas kejohanan ini akibat kecederaan ialah Farizal Marlias, Nasriq Baharom, Aidil Zafuan Radzak, Norhafiz Zamani Misbah, Azmi Muslim, S. Chanthuru, Bunyamin Umar, Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani dan Zaquan Adha Radzak.

Dalam pada itu, Subahan berkata, cita-cita untuk melayakkan diri ke Piala Dunia sebenarnya sudah lama diimpikan.

“Namun, pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum kita berani meletakkan sebarang sasaran untuk melayakkan diri ke kejohanan berprestij itu.

“Kita perlu bersikap realistik, perjalanan skuad negara masih jauh dan pelbagai perancangan perlu dijalankan seandainya kita benar-benar mahu menyaksikan skuad negara beraksi di pentas Piala Dunia,” kata Subahan.

Subahan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perancangan skuad bola sepak negara selepas menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 kelmarin.

Subahan menjelaskan, buat masa ini, fokus skuad negara adalah layak beraksi pada Kejohanan Piala Asia 2015 yang bakal berlangsung di Australia.

“Itu adalah matlamat utama kami (skuad negara).

“Sebelum kita melangkah ke pentas Piala Dunia, kita perlu membuktikan terlebih dahulu yang kita mampu menjadi salah sebuah pasukan gergasi di Asia,” jelasnya.

1 comments:

C-Dex said...

Sinar sudah ada, based pun ada, kita juga berada dilandasan yang tepat.Nyata perancangan FAM menubuhkan harimau muda kian menampakkan hasilnya..tidak sabar tunggu season depan bermula..sesuatu yang dah lama hilang. MALAYSIA BOLEH!!!

January 1, 2011 at 1:33 AM