Saturday, December 18, 2010

Piala AFF Suzuki: Pentas akhiri badi


STADIUM My Dinh di Hanoi, Vietnam bakal menjadi saksi sama ada skuad bola sepak kebangsaan berjaya menamatkan badi separuh akhir atau terus kempunan untuk mara ke final selepas 14 tahun.

Di stadium tersebut malam ini, skuad negara akan berdepan Vietnam untuk meneruskan aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2010 setelah Malaysia menang 2-0 pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu.

Malaysia hanya pernah sekali melepasi pusingan separuh akhir iaitu pada edisi sulung 1996 dengan menewaskan Indonesia 3-1 tetapi tewas 0-1 kepada Thailand pada aksi final.

Enam edisi berikutnya, Malaysia empat kali tewas di separuh akhir kepada Thailand (2000), Indonesia (2002 & 2004) dan Singapura (2007) serta dua kali kandas di peringkat kumpulan (1998 dan 2008).

Namun menjelang pertemuan penting malam ini, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal enggan terlalu memikirkan rekod lampau sebaliknya mahu para pemain fokus mempertahankan kelebihan dua gol.

“Itu semua cerita lama. Kita tak boleh nak banding sangat kerana ia pasukan dengan jurulatih berbeza dan pemain juga berbeza.

“Apa yang lebih penting, saya mahu pemain beri fokus sepenuhnya kerana Vietnam pasti akan bertubi-tubi memburu gol. Kita tak boleh lepaskan peluang terbaik untuk ke final ini.

“Walaupun menang 2-0 di Bukit Jalil, saya tak fikir pemain akan ambil mudah aksi kedua ini. Cuma saya harap mereka tidak melakukan apa-apa kesilapan individu," katanya kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, dua pemain kebangsaan iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan bek kiri, Asraruddin Putra Omar berjanji untuk mempertahankan kubu mereka dengan baik pada malam ini.

“Kami perlu berusaha lebih keras lagi. Harap barisan pertahanan dapat kekalkan aksi konsisten. Tekanan sentiasa ada tetapi ia hanya akan memberi kesukaran jika kita asyik memikirkannya” kata Khairul Fahmi, 21.

Asraruddin Putra, 22, pula menambah: "Saya belajar daripada kesilapan dan ambil iktibar daripada segala kritikan sebelum ini. Kami di barisan pertahanan akan meningkatkan kerjasama untuk memastikan gawang kita tidak dibolosi.”

Namun jurulatih Vietnam, Henrique Calisto bakal menurunkan semula pemain tengah penyerang, Nguyen Trong Hoang yang digantung satu perlawanan Rabu lalu serta dua pemain yang kembali daripada kecederaan, Doan Viet Cuong dan Phan Van Tai Em.

0 comments: