Monday, December 6, 2010

Piala AFF Suzuki: Malaysia bimbang


“SAYA harap soal pakatan bahawa Indonesia akan memberikan kemenangan kepada Thailand tidak akan berlaku. Ia demi semangat kesukanan di rantau ini.”

Demikian kata pengurus skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Subahan Kamal menjelang aksi terakhir Kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2010, malam esok.

Skuad bimbingan K. Rajagobal itu akan membuat perhitungan dengan Laos di Stadium Jaka Baring, Palembang manakala tuan rumah, Indonesia bertemu Thailand di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.

Ketika ini, Indonesia sudah sah bergelar juara kumpulan dan mara ke separuh akhir setelah mengumpul enam mata diikuti Thailand dengan dua mata serta Malaysia dan Laos masing-masing satu mata.

Maka timbul keraguan bahawa Indonesia bakal membiarkan Thailand mengatasi mereka untuk mengumpul lima mata, sekali gus menafikan kemaraan Malaysia yang hanya mampu meraih empat mata jika menang ke atas Laos.

Justeru, Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap jurulatih Indonesia, Alfred Riedl, barisan pemainnya serta Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) terus bersikap profesional.

"Kita tahu penyokong Indonesia seboleh-bolehnya mahu melihat Malaysia tersingkir. Tapi Riedl seorang jurulatih yang profesional dan pastinya PSSI juga tidak mahu maruah pasukan mereka tercalar di laman sendiri.

"Indonesia juga perlu fikir, jika mereka bantu Thailand ke separuh akhir, mungkin mereka akan berdepan semula Thailand di final nanti," kata Subahan ketika dihubungi Kosmo! petang semalam.

Skuad kebangsaan yang mengharungi dua perlawanan (tewas 1-5 kepada Indonesia dan seri 0-0 dengan Thailand) di Jakarta selamat tiba di Palembang semalam.

Tambah Subahan: "Kita jangan fikir sangat soal Indonesia dan Thailand itu. Apa yang lebih penting, kita sendiri kena buat kerja kita iaitu bermain untuk menang ketika bertemu Laos.

"Saya yakin para pemain pasti lebih bersemangat setelah aksi bertemu Thailand. Cuma barisan tengah dan serangan perlu dipertajamkan kerana kita mahukan jaringan untuk menang.”

Enam pemain iaitu Safiq Rahim, Safee Sali, Amirulhadi Zainal, Asraruddin Putra Omar, Amri Yahyah dan Razman Roslan pernah beraksi di Stadium Jaka Baring ketika Selangor bertemu Sriwijaya pada saingan Piala AFC 2010, Mac lalu.

0 comments: