Tiket final RM30 dijual esok
TIKET-TIKET bagi menyaksikan final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini akan dijual pada harga RM30 dan RM50 bermula pagi esok.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperuntukkan sejumlah 88,000 keping tiket dengan 72,500 daripadanya untuk penyokong Malaysia dan baki 15,500 untuk penyokong Indonesia.
Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata, tiket berharga RM30 adalah untuk tempat duduk terbuka manakala tiket berharga RM50 untuk tempat duduk utama.
"Bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, tiket untuk tempat duduk terbuka masih kita kekalkan RM5. Nak beli dalam jumlah lima keping atau 10 keping boleh tetapi jika nak beli sekali gus 500 keping, kami tidak akan benarkan.
"Untuk penyokong Malaysia, mereka boleh mula membeli tiket di Kaunter Pintu Kuning, Stadium Nasional pada Khamis (esok) dari pukul 10 pagi hingga 7 malam, juga pada waktu yang sama pada Jumaat dan Sabtu.
"Jika masih ada tiket, ia akan dijual pada Ahad bermula 10 pagi," katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad pada sidang media sama memberitahu, hanya 15,500 tiket daripada jumlah keseluruhan 88,000 tiket itu diperuntukkan kepada penyokong Indonesia.
"Saya menerima kunjungan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Nugraha Besoes hari ini (semalam) untuk membincangkan tentang peruntukan tiket penyokong Indonesia.
"Kita beri peruntukan 15,000 keping tiket RM30 dan 500 keping tiket RM50 kepada mereka. Nughara akan berbincang dengan Kedutaan Indonesia di Malaysia pagi esok (hari ini).
"Jika dibenarkan, tiket untuk penyokong Indonesia ini akan dijual di pekarangan kedutaan. Jika tidak, FAM akan menjualnya di Kaunter Pintu Biru, Stadium Nasional bermula Khamis (esok)," jelas Azzuddin.
Menurut Azzuddin, skuad kebangsaan Indonesia akan tiba dengan pesawat sewa khas di Lapangan Terbang Subang pada 12.30 tengah hari Jumaat ini dan mengadakan latihan pada pukul 5 petang di Padang MSN, Bukit Jalil.
Ditanya soal keselamatan kedua-dua penyokong, Azzuddin berkata: "Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) bagi perlawanan ini akan bermesyuarat esok (hari ini) untuk membincangkan secara terperinci tentang isu ini."
0 comments:
Post a Comment