Friday, December 24, 2010

Safiq bakal cipta sejarah


ANDAI Malaysia berjaya menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, individu yang paling gembira pastinya ketua pasukan skuad kebangsaan pada kejohanan kali ini, Safiq Rahim.

Biarpun menggalas tugas selaku kapten seawal usia 23 tahun, pemain tengah Selangor itu mampu mencipta sejarah untuk menjadi rakyat Malaysia pertama yang menjulang trofi Piala AFF Suzuki.

Kapten-kapten skuad kebangsaan terdahulu belum pernah mengecap pengalaman tersebut kerana sejak kejohanan ini diperkenalkan dengan nama Piala Tiger pada 1996, Malaysia hanya sekali berjaya mara ke final iaitu pada edisi sulung itu sebelum tewas 0-1 kepada Thailand.

Justeru Safiq menyifatkan situasi tersebut sebagai motivasi tambahan kepada dirinya untuk membantu skuad kebangsaan menewaskan Indonesia pada dua aksi final pada Ahad ini dan Rabu depan.

"Memang ini membuatkan saya lebih bermotivasi untuk memastikan Malaysia muncul juara buat pertama kali pada kejohanan kali ini. Saya begitu teruja untuk menjulang trofi Piala AFF Suzuki selaku ketua pasukan.

"Oleh itu, misi kami pada final pertama Ahad ini ialah untuk mencari bekalan gol yang cukup selesa untuk dibawa ke Jakarta Rabu depan.

"Saya sendiri turut memasang impian untuk menjaringkan gol pada kedua-dua aksi final nanti selepas sudah lama tidak menjaringkan gol," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya malam kelmarin.

Safiq turut memberitahu bahawa tidak apa yang perlu diragukan terhadap jentera serangan Malaysia jika hendak dibandingkan dengan Indonesia biarpun pasukan lawan sudah meledak 15 gol manakala Malaysia hanya lapan gol.

"Secara peribadi, saya lebih percaya dan yakin terhadap barisan penyerang kita yang sebenarnya lebih baik daripada Indonesia. Cuma pada perlawanan pertama ketika kita dibelasah Indonesia, kami belum cukup bersedia dan tidak pada prestasi terbaik.

"Indonesia biarpun mempunyai Cristian Gonzales, saya tak anggap ia masalah yang cukup besar kerana saya yakin barisan pertahanan Malaysia mampu mengawal pergerakannya," tegas Safiq.

0 comments: