Piala AFF Suzuki: Penantian 14 tahun berakhir
PENANTIAN 14 tahun Malaysia untuk sekali lagi beraksi di pentas final Piala Suzuki AFF berakhir apabila juara bertahan, Vietnam berjaya disingkirkan di Stadium My Dinh, Hanoi malam tadi.
Pada aksi separuh akhir kedua itu, Malaysia berjaya mengikat Vietnam 0-0 untuk melangkah ke final hasil kemenangan 2-0 pada aksi pertama di Bukit Jalil, Rabu lalu menerusi dua jaringan Safee Sali.
Kejayaan itu turut menamatkan badi skuad kebangsaan yang sebelum ini telah kandas empat kali di peringkat separuh akhir iaitu pada edisi 2000, 2002, 2004 dan 2007.
Untuk aksi final nanti, juara baru bakal ditentukan pada perlawanan pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 Disember dan perlawanan kedua di tempat lawan, sama ada Indonesia atau Filipina pada 29 Disember depan.
Indonesia yang menang 1-0 pada separuh akhir pertama Khamis lalu akan bertemu Filipina sekali lagi pada separuh akhir kedua di Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.
Pada perlawanan malam tadi, Vietnam menukar sehingga lima pemain dalam kesebelasan utamanya manakala Malaysia hanya menukar seorang pemain iaitu Sabre Mat Abu yang mengisi tempat Mahali Jasuli.
Vietnam tampak garang mengasak sejak dari awal permainan sehingga memaksa anak-anak buah K. Rajagobal bertahan sepanjang separuh masa pertama.
Namun penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat beraksi cemerlang dengan menyelamatkan rembatan Le Tan Tai pada minit ke-13 dan tandukan bahaya Pham Thanh Luong tiga minit selepas itu.
Bersambung babak kedua, Malaysia terus diasak tuan rumah tetapi kali ini berjaya melakukan beberapa serangan balas yang nyaris menghasilkan gol.
Pada minit ke-52, serangan balas Malaysia hampir menemui sasaran tetapi lorongan terakhir Amirulhadi Zainal kepada Safee Sali sedikit perlahan sebelum berjaya dipintas pertahanan Vietnam.
Khairul Fahmi pula terus menjadi penyelamat apabila dia berjaya menangkap kemas tandukan bebas berbahaya Nguyen Viet Thang hasil hantaran lintang Thanh Luong dari sebelah kiri pada minit ke-61.
Harapan Malaysia untuk ke final tampak semakin cerah pada minit ke-71 setelah Thanh Luong dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah kerana sengaja menjatuhkan diri untuk mendapat sepakan penalti.
Menentang lawan yang beraksi 10 pemain, Malaysia mula mengatur serangan dan hampir membolosi gawang Vietnam pada minit ke-86 menerusi gerakan solo kapten, Safiq Rahim dan percubaan penyerang gantian, Amri Yahyah pada minit ke-89.
Rekod menyaksikan bahawa Malaysia belum pernah menjulang trofi Piala Suzuki AFF dan hanya sekali berjaya mara ke final sebelum ini iaitu pada edisi sulung 1996 tetapi tewas 0-1 kepada Thailand pada final.
0 comments:
Post a Comment