Sunday, December 5, 2010

Piala AFF Suzuki: Malaysia 0 Thailand 0


SKUAD bola sepak kebangsaan berjaya mengikat juara tiga kali, Thailand dengan keputusan seri tanpa jaringan pada aksi kedua Kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2010 di Gelora Bung Karno, Jakarta petang semalam.

Secara matematik, Malaysia masih berpeluang ke separuh akhir jika menewaskan Laos pada aksi terakhir Selasa ini biarpun skuad bimbingan K. Rajagobal itu tewas teruk 1-5 kepada tuan rumah, Indonesia pada Rabu lalu.

Namun secara realitinya, peluang Malaysia tampak sudah tertutup kerana Indonesia mungkin bakal ‘menghadiahkan’ kemenangan kepada Thailand.

Indonesia yang mudah membelasah Laos 6-0 malam tadi kini telah mengumpul enam mata diikuti Thailand (2 mata), Malaysia (1 mata) dan Laos (1 mata).

Jika Indonesia tewas kepada Thailand, kedudukan mereka selaku juara Kumpulan A tidak akan terjejas biarpun Malaysia menewaskan Laos.

Justeru harapan skuad negara kini hanyalah supaya Indonesia terus bersikap profesional dengan tidak sengaja beraksi untuk tewas ketika bertemu Thailand sambil Malaysia pula pada masa sama menang ke atas Laos.


Pada aksi petang semalam, Rajagobal membuat tiga perubahan dalam kesebelasan utamanya dengan menyenaraikan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli dan Amar Rohidan bagi mengisi tempat Sharbinee Allawee Ramli, Razman Roslan dan Amri Yahyah.

Separuh masa pertama menyaksikan Malaysia lebih banyak bertahan.

Pada babak kedua, Malaysia mula mengimbangi perlawanan tetapi beberapa peluang keemasan yang dimiliki terutamanya menerusi dua pemain gantian, Amri dan Khyril Muhymeen Zambri.

“Para pemain menunjukkan komitmen tinggi, rajin dan beraksi lebih baik berbanding ketika bertemu Indonesia. Apa yang penting, kita tak tewas kepada Thailand yang menyenaraikan barisan utama dengan pemain senior.

“Selepas ini, saya mahu pemain hanya fokus untuk menang ke atas Laos. Kita tidak boleh buat apa-apa jika Indonesia berpakat dengan Thailand.

“Cuma saya harap dapat bertemu Alfred Riedl (jurulatih Indonesia) dan minta mereka turun beraksi seperti biasa dan bersikap profesional,” kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! selepas perlawanan malam tadi.

0 comments: