Friday, December 17, 2010

Piala AFF Suzuki: Tak rela dirobek Vietnam


WIRA-WIRA skuad bola sepak kebangsaan tidak akan membenarkan Vietnam meloloskan diri pada aksi separuh akhir kedua Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2010 di Hanoi, malam esok.

Mereka akan mempertahankan kelebihan dua gol hasil kemenangan 2-0 pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam kelmarin.

Kelebihan itu dilihat meletakkan skuad kebangsaan berada pada landasan yang betul untuk menempah tempat ke perlawanan akhir kejohanan berprestij dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) itu.

Meskipun dilihat selesa, namun jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal perlu sekali lagi memerah otak bersama dua pembantunya, Tan Cheng Hoe dan Faozi Mukhlas untuk merencanakan strategi baru menghadapi Vietnam pada aksi separuh akhir kedua itu yang akan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi.

“Kemenangan 2-0 ini memberikan kita bekalan yang agak selesa berbanding jika kita hanya mampu seri atau menang tipis pada perlawanan pertama itu.

“Untuk aksi kedua di Hanoi, kita akan turun dengan niat yang sama dan barisan pertahanan perlu meneruskan disiplin yang tinggi sepanjang perlawanan.

“Jika kita berjaya menjaringkan satu gol, sudah tentu ia dapat memberi tekanan kepada Vietnam yang perlu mencari empat gol untuk mengatasi kita berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

“Apa pun, saya masih memikirkan strategi apa yang lebih sesuai untuk perlawanan kedua ini, sama ada turun secara bertahan atau sebaliknya,” kata Rajagobal ketika ditemui Kosmo! di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang awal pagi semalam sebelum berlepas ke Hanoi.

Strategi Rajagobal pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin dianggap berjaya kerana percaturannya menurunkan Safee Sali, Asraruddin Putra Omar dan Fadhli Shas mungkin telah mengelirukan jurulatih Vietnam, Henrique Calisto.

“Mungkin ramai yang beranggapan saya akan menurunkan Amri Yahyah dalam kesebelasan utama kerana dia menjaringkan dua gol ketika menentang Laos serta Sabre Mat Abu dan Faizal Muhammad yang turun dalam kesebelasan utama pada aksi terakhir itu.

“Tapi saya tetap perlu memikirkan strategi terbaik dan ternyata Safee telah mempamerkan sentuhan penyudah yang baik manakala Asraruddin dan Fadhli mengawal benteng pertahanan dengan baik,” jelasnya.

Tambah Rajagobal: “Saya akan ingatkan para pemain bahawa peluang sudah ada di depan mata untuk ke final. Jadi kenapa ia dipersia-siakan. Saya mahu pemain turun dengan lebih yakin dan bersemangat pada perlawanan kedua ini.”

1 comments:

baincardin said...

"Part 3" pulak datang menyerang. layan jelaa....^_^

December 17, 2010 at 11:13 AM