Sunday, December 26, 2010

Hadiah hari jadi Subahan


KEMENANGAN diburu skuad kebangsaan apabila berdepan Indonesia pada final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini bagi dijadikan bekalan selesa untuk final kedua di Gelora Bung Karno, Jakarta Rabu depan.

Namun secara kebetulan juga, hari ini merupakan hari ulang tahun ke-45 pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Justeru Subahan secara peribadi mahu menjadikan sambutan ulang tahunnya kali ini sebagai yang paling istimewa dan boleh dikenang selama-lamanya.

"Kebetulan pula aksi final esok (hari ini) jatuh pada hari jadi saya. Sebagai individu yang bersama dengan pasukan ini, sambutan hari jadi kali ini pasti lebih istimewa jika pasukan kita berjaya mencatat kemenangan.

"Sebagai pengurus, saya mahu melihat kita menang pada perlawanan ini. Menang besar, itu soal kedua. Tapi kita tak mahu ke Jakarta dengan situasi ketinggalan kepada Indonesia.

"Biarpun untuk menjulang trofi kita kena tunggu selepas aksi kedua Rabu nanti, aksi pertama ini penting sebagai langkah pertama ke arah itu," katanya kepada Kosmo! semalam.

Subahan turut berasa bangga kerana jika Malaysia berjaya muncul juara Piala AFF Suzuki buat kali pertama pada edisi kelapan ini, ia terhasil menerusi seratus peratus sentuhan warga tempatan.

"Andai kejuaraan diraih, ia pasti menjadi lebih istimewa kerana kita dibarisi jurulatih tempatan serta pemain-pemain tempatan tanpa pemain yang diimport. Boleh dikatakan seratus peratus buatan Malaysia.

"Kejayaan ke final kali ini turut mencetuskan satu senario baru di negara ini apabila semua tempat saya pergi bercerita tentang Piala AFF Suzuki. Mereka nampaknya melupakan seketika Liga Perdana England."

Skuad kebangsaan mula mempamerkan kebangkitan sejak Rajagobal dilantik sebagai ketua jurulatih pada 20 April 2009 disusuli pelantikan Subahan sebagai pengurus pasukan kira-kira sebulan kemudian.

Gandingan mantap ini telah membawa dua kejayaan besar iaitu menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas pada Sukan SEA 2009 Laos dan kemarau 32 tahun gagal layak ke pusingan kedua pada Sukan Asia 2010 Guangzhou bulan lalu.

0 comments: