Dua 'R' catur strategi ampuh
PERTEMBUNGAN Malaysia dan Thailand di Gelora Bung Karno, Jakarta petang ini bakal menyaksikan percaturan jurulatih mana yang lebih hebat, K. Rajagobal atau Bryan Robson.
Kemenangan menjadi buruan kedua-dua pasukan pada aksi kedua Kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2010 itu setelah Malaysia tewas 1-5 kepada Indonesia manakala Thailand diikat Laos 2-2 pada aksi sulung Rabu lalu.
Rajagobal, 54, merupakan bekas penyerang kebangsaan yang begitu meminati kelab Manchester United manakala Robson yang setahun lebih muda daripadanya pula merupakan bekas pemain tengah United.
Robson dikatakan bakal membuat tujuh rombakan dalam kesebelasan utamanya sambil menyatakan beliau sudah dapat mengesan kelemahan Malaysia ketika menyaksikan skuad negara dibelasah Indonesia, Rabu lalu.
Namun, Rajagobal tidak berdiam diri, sebaliknya bakal membuat rombakan kecil melibatkan dua atau tiga pemain di posisi pertahanan dan tengah sambil turut mengetahui kelemahan Thailand.
“Selepas latihan terakhir petang tadi (semalam), saya serba sedikit sudah memiliki bayangan kesebelasan yang akan diturunkan bertemu Thailand.
“Kita tak boleh tukar sampai tujuh pemain seperti Thailand kerana ini saja pemain yang kita ada setelah ramai tonggak utama tidak dibawa kerana cedera.
“Dia (Robson) boleh kata dia ada strategi untuk memanfaatkan kelemahan kita. Tetapi kita juga ada strategi terhadap kelemahan mereka,” kata Rajagobal kepada Kosmo! malam tadi.
Satu lagi faktor yang mungkin membangkitkan keyakinan para peminat bola sepak tanah air, Rajagobal mengesahkan Malaysia bakal turun dengan jersi berwarna biru yang sentiasa membawa tuah buat skuad negara.
Ditanya adakah dia akan mengekalkan Sharbinee Allawee Ramli di gawang atau menurunkan Khairul Fahmi Che Mat petang ini, Rajagobal berkata:
“Saya akan tengok dulu sama ada perlu atau tidak membuat rombakan. Bukan semuanya salah Sharbinee ketika kita tewas kepada Indonesia, Rabu lalu.”
Pertemuan dengan Thailand i turut dianggap misi hidup mati kerana jika tewas, Malaysia terkeluar daripada persaingan ke separuh akhir biarpun akan bertemu Laos pada aksi terakhir Selasa ini di Palembang.
0 comments:
Post a Comment