'Terpulang kepada coach'
JAKARTA - Kapten skuad kebangsaan pada Piala AFF Suzuki 2010, Safiq Rahim menyerahkan sepenuhnya kepada jurulatih K. Rajagobal sama ada mahu dia terus kekal menggalas tugas tersebut.
Biarpun baru memakai lilitan lengan selaku ketua pasukan kebangsaan pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China bulan lalu, Safiq, 23, telah mencipta sejarah tersendiri menjadi kapten pertama menjulang Piala AFF Suzuki.
Namun timbul persoalan sama ada Rajagobal akan terus memberikan peranan tersebut kepada Safiq atau memulangkan semula lilitan lengan kepada Aidil Zafuan Radzak atau Norhafiz Zamani Misbah.
Aidil, 23, sebelum ini merupakan pemain yang sering diberi peranan kapten andai Zamani, 29, tidak dipanggil Rajagobal untuk sesuatu tugasan skuad kebangsaan.
Kecederaan panjang kedua-dua pemain pertahanan tengah itu bagaimanapun telah membuka ruang buat Safiq bergelar kapten baru di samping Norshahrul Idlan Talaha sebagai penolong kapten.
"Kekal sebagai kapten atau tidak, itu saya tak boleh nak komen. Keputusan tersebut terletak di tangan coach (jurulatih).
"Saya bersedia jika dikekalkan sebagai kapten kerana tidak menjadi masalah selepas memiliki pengalaman sepanjang Sukan Asia 2010 dan Piala AFF Suzuki 2010.
"Tapi apa yang lebih penting adalah kerjasama sepasukan oleh semua pemain dalam skuad ini," katanya ketika ditemui Kosmo! di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, di sini pagi semalam.
Dalam pada itu, tiada istilah rehat buat Safiq dan lima lagi pemain kebangsaan iaitu Safee Sali, Amri Yahyah, Asraruddin Putra Omar, Amirulhadi Zainal dan Razman Roslan.
Mereka berenam akan terbang pula ke Perth, Australia esok untuk latihan pramusim skuad Liga Super Selangor selama sembilan hari menjelang saingan Liga Malaysia 2011 bermula 29 Januari depan.
"Ini adalah kerjaya saya. Kenalah berkorban demi pasukan negara dan komitmen bersama kelab. Biarpun penat, kejuaraan Piala AFF Suzuki membuatkan kami berasa puas," jelas Safiq.
0 comments:
Post a Comment