Thursday, December 16, 2010

Piala AFF Suzuki: Malaysia hampiri final


MALAYSIA semakin hampir untuk mengakhiri kemarau 14 tahun melangkah ke final Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2010 selepas menewaskan Vietnam 2-0 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Kedua-dua gol Malaysia itu dijaringkan penyerang Selangor, Safee Sali pada minit ke-60 dan 79 bagi memberikan bekalan selesa untuk aksi kedua di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu ini.

Beraksi di hadapan 50,000 penyokong sendiri serta 3,000 penyokong Vietnam, aksi kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama kurang ‘keganasannya’.

Namun, kapten Vietnam, Nguyen Minh Phuong menghadirkan bahaya menerusi rembatan kencang dari luar kotak pada minit ke-15 dan sepakan percuma minit ke-44 tetapi penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat cemerlang menafikannya.

Corak permainan Malaysia berubah sebaik babak kedua bermula setelah jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal memberikan arahan dan strategi terbaru di bilik persalinan ketika waktu rehat.

Gol yang dicari menjelma pada minit ke-60 menerusi tandukan kencang Safee hasil sepakan percuma kapten, Safiq Rahim dari sebelah kanan yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong.

Bagi menambah sengat di barisan depan, Rajagobal memasukkan Amri Yahyah bagi menggantikan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-67.

Perubahan tersebut berhasil apabila gol kedua Malaysia hadir, sekali lagi dijaringkan oleh Safee pada minit ke-79.

Biarpun Vietnam cuba mengasak gawang Malaysia pada 10 minit terakhir permainan, namun Khairul Fahmi tetap sukar ditewaskan.

Satu lagi aksi separuh akhir pertama akan menemukan Indonesia dengan Filipina akan berlangsung di Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.



Tugas belum selesai - Rajagobal

BIARPUN puas selepas skuad bimbingannya berjaya menewaskan Vietnam 2-0 malam tadi, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal belum mahu berasa selesa.

Pengendali berusia 54 tahun itu sedar tugas lebih berat menanti skuad kebangsaan apabila bertandang ke Stadium My Dinh, Hanoi untuk aksi separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2010, Sabtu ini.

"Saya mahu beri pujian penuh kepada para pemain atas kerja keras mereka serta komitmen yang dipamerkan sepanjang perlawanan ini.

“Saya sedari Vietnam mampu menjaringkan gol a pada babak pertama, tetapi pemain kita telah bekerja keras untuk menghalang pergerakan mereka.

"Pada separuh masa kedua, kita tampil lebih agresif dan tempo permainan lebih pantas. Safee Sali menampilkan semula sentuhannya manakala Safiq Rahim memainkan peranan dengan baik sebagai kapten.

"Secara jujurnya, memang kita layak untuk menang perlawanan ini. Tapi kerja kita belum selesai lagi. Kita mempunyai satu lagi tugas yang cukup sukar di Hanoi," kata Rajagobal selepas perlawanan malam tadi.

Namun, Rajagobal menganggap inilah peluang terbaik untuk Malaysia layak ke final dan seterusnya mencipta sejarah menjuarai Piala Suzuki AFF buat kali pertama.



Safiq: Kami tidak gentar

"KAMI sudah mengalami tekanan di tempat lawan ketika aksi peringkat kumpulan di Jakarta. Jadi harap ia dapat dikekalkan apabila kami beraksi di Hanoi nanti."

Demikian jelas kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim ketika ditanya tentang persediaan mereka menentang Vietnam pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi, Sabtu ini.

Safiq telah beraksi cemerlang pada aksi separuh akhir pertama malam tadi apabila sepakan percumanya pada minit ke-60 berjaya ditanduk masuk Safee Sali untuk gol pertama Malaysia.

Pemain berusia 23 tahun itu sekali lagi terlibat untuk gol kedua Malaysia setelah rembatan awalnya gagal ditangkap kemas penjaga gol Vietnam sebelum disambar kemas oleh Safee pada minit ke-79.

"Ketika dalam bilik persalinan sewaktu rehat separuh masa, jurulatih (K. Rajagobal) telah memberi kami nasihat dan tunjuk ajar terhadap segala kesilapan yang dilakukan pada babak pertama.

"Jadi, apabila memasuki padang untuk babak kedua, kami cuba baiki segala kesilapan tersebut dan alhamdulillah kami berjaya mendapatkan dua gol," kata Safiq selepas perlawanan.

Menjelang aksi kedua Sabtu ini, Safiq berkata: "Kami akan cuba untuk terus mempamerkan aksi seperti separuh masa kedua tadi (semalam) serta meningkatkan mentaliti untuk menghadapi tekanan penyokong lawan."

0 comments: