Wednesday, December 15, 2010

Piala AFF Suzuki: 'Jersi kuning tak bawa tuah'

BIARPUN turun selaku tuan rumah, Malaysia bakal menggunakan jersi kedua mereka berwarna biru untuk menghadapi Vietnam pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Pada dua aksi Kumpulan A sebelum ini, Malaysia menggunakan jersi kedua berwarna biru dan berjaya mengikat Thailand 0-0 dan membelasah Laos 5-1. Ketika mereka menggunakan jersi kuning pada aksi pertama menentang Indonesia, skuad negara dibelasah 5-1.

Penentuan untuk menggunakan jersi berwarna biru itu disahkan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal pada sidang media di Stadium Nasional petang semalam.

"Kami baru saja membuat keputusan pada mesyuarat pengurus pasukan sebentar tadi (semalam) bahawa Malaysia akan menggunakan jersi biru pada perlawanan esok (hari ini)," kata Rajagobal.

Namun jurulatih Vietnam, Henrique Calisto yang turut sama dalam sidang media itu pantas mencelah dan sambil berseloroh berkata: "Kalau Malaysia pakai jersi biru, biarlah kami pakai jersi kuning."


Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan malam ini, Rajagobal berkata, dia berkeyakinan tinggi bahawa barisa pemain mudanya akan memberikan satu keputusan positif selepas berakhir 90 minit permainan.

"Vietnam saya akui sebuah pasukan yang kuat walaupun jurulatih mereka beritahu tiga pemain cedera dan seorang digantung. Lagipun mereka hadir selaku juara bertahan.

"Cuma saya harap para pemain kita tidak takut dan gentar dengan reputasi pasukan lawan dan gunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di tempat sendiri.

"Saya mahu pemain memberikan aksi terbaik sebagai balasan penyokong hadir ke stadium supaya kita dapat mencatat satu lagi kenangan manis sebelum menutup tahun 2010," ujarnya.

Bekalan gol selesa cukup penting untuk dibawa ke perlawanan kedua di Hanoi pada Sabtu ini sambil peraturan gol di tempat lawan turut digunapakai pada kejohanan kali ini.



"SAYA harap Malaysia dapat turunkan barisan pemain pertahanan ketika mereka dibelasah 5-1 oleh Indonesia tempoh hari. Jika itu berlaku, maka senanglah untuk kami menang."

Demikian andaian jurulatih Vietnam, Henrique Calisto pada sidang media di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam.

Pengendali dari Portugal itu mengakui agak pening memikirkan strategi untuk menghadapi Malaysia malam ini memandangkan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal sering menukar barisan pemain pertahanannya.

"Sehingga sekarang saya masih tak tahu siapa pemain pertahanan yang bakal diturunkan Malaysia. Ketika bertemu Indonesia, mereka banyak lakukan kesilapan individu. Tapi ketika bertemu Thailand pula, mereka tampil dengan aksi cukup konsisten.

"Apa pun setelah meneliti banyak kali rakaman video aksi mereka, saya dapati Malaysia memiliki barisan pertahanan cukup tersusun dan jentera serangan yang tetap berbahaya," kata Calisto.

Ketika dibelasah Indonesia, Rajagobal menggandingkan Razman Roslan, Muslim Ahmad, Fadhli Shas dan Asraruddin Putra Omar manakala ketika bertemu Thailand gandingan yang digunakan ialah Mahali Jasuli, Muslim, Fadhli dan Asraruddin.

Namun pada aksi terakhir Kumpulan A bertemu Laos, Rajagobal menurunkan pula Mahali, Muslim, Faizal Muhammad dan Sabre Mat Abu.

Tidak cukup dengan itu, Calisto turun menambah helahnya dengan memberitahu bahawa Vietnam bakal turun tanpa tiga tonggak utama yang cedera serta seorang lagi pemain digantung perlawanan iaitu Nguyen Trong Hoang (jersi No. 11)

"Dua pemain pertahanan, Huynh Quang Thanh (jersi No. 16) dan Doan Viet Cuong (jersi No. 2) hampir pasti tidak dapat beraksi manakala pemain tengah, Phan Van Tai Em (jersi No. 22) saya dapati tidak cukup cergas sepenuhnya," jelas Calisto.

Namun kali ini Rajagobal pula mencelah sambil berkata: "Kami juga menghadapi masalah kecederaan yang lebih besar."

Ia merujuk kepada ketiadaan beberapa tonggak utama yang cedera panjang seperti Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak, Norhafiz Zamani Misbah, Nasriq Baharom, Baddrol Bakhtiar, Azmi Muslim, Ahmad Fakri Saarani, S. Chanthuru dan Bunyamin Umar.


BARISAN KEMUNGKINAN MALAYSIA:

PENJAGA GOL:
Khairul Fahmi Che Mat, 21 tahun.
- Penjaga gol Kelantan ini hampir pasti menjadi pilihan selepas beraksi baik ketika bertemu Thailand dan Laos berbanding Sharbinee Allawee Ramli yang tampak kurang menyakinkan ketika aksi sulung bertemu Indonesia.

PERTAHANAN TENGAH:
Muslim Ahmad, 21 tahun.
- Benteng kental Harimau Muda A ini berperanan sebagai tonggak utama di barisan pertahanan selepas ketiadaan beberapa pemain berpengalaman seperti Aidil Zafuan Radzak dan Norhafiz Zamani Misbah yang cedera.

PERTAHANAN TENGAH:
Fadhli Shas, 19 tahun.
- Biarpun tidak diturunkan ketika bertemu Laos, pemain paling muda dalam skuad kebangsaan ini mungkin akan menjadi pilihan berbanding rakan sepasukannya dari Harimau Muda A, Faizal Muhammad kerana dia lebih kerap diturunkan sebelum ini.

PERTAHANAN KANAN:
Mahali Jasuli, 21 tahun.
- Kegoyahan Razman Roslan ketika bertemu Indonesia memberi semula peluang pemain ini mengisi posisi yang dikuasainya sepanjang Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China sambil Sabre Mat Abu turut boleh digunakan pada posisi ini.

PERTAHANAN KIRI:
Sabre Mat Abu, 23 tahun.
- Biarpun lebih digunakan sebagai pemain pertahanan kanan sebelum ini, aksi goyah Asraruddin Putra Omar ketika bertemu Indonesia sebelum pemain Selangor itu demam dan tidak diturunkan ketika bertemu Laos, Sabre mungkin akan terpilih mengisi posisi ini.

TENGAH BERTAHAN:
Amar Rohidan, 23 tahun.
- Perjudian meletakkan gandingan Safiq Rahim dan Amri Yahyah ketika bertemu Indonesia memakan diri memandangkan kedua-duanya berorientasikan serangan. Lantas kehadiran semula Amar ketika bertemu Thailand dan Laos mengukuhkan semula posisi ini.

TENGAH MENYERANG:
Safiq Rahim, 23 tahun.
- Kehadiran Safiq untuk menjana jentera tengah tidak dapat disangkal lagi. Dengan peranan sebagai ketua pasukan, Safiq perlu lebih bertenaga untuk menaikkan semangat rakan-rakannya. Selain itu, Safiq turut perlu menggunakan set-pieces sebagai senjata sulitnya.

SAYAP KANAN:
Amirulhadi Zainal, 24 tahun.
- Pemain Selangor ini dikeluarkan ketika aksi bertemu Thailand tetapi menebusnya semula dengan menjaringkan satu gol ketika bertemu Laos biarpun sekadar masuk sebagai pemain gantian. Namun alternatif lain, Khyril Muhymeen Zambri mungkin diturunkan.

SAYAP KIRI:
S. Kunanlan, 24 tahun.
- Kelincahan pemain ini tidak dapat disangkal lagi dan sememangnya satu slot di bahagian sayap sudah pasti menjadi miliknya. Namun jika Kunanlan tidak beraksi baik, tempatnya boleh diisi penjaring terbanyak Liga Super, Ashari Samsudin.

PENYERANG:
Norshahrul Idlan Talaha, 24 tahun.
- Slot wajib untuk posisi serangan pasti menjadi milik pemain ini berbekal aksi konsistennya dan kegemarannya berlari di penjuru kanan atau kiri padang sebelum melorongkan bola kepada rakan menjadi senjata utamanya.

PENYERANG:
Amri Yahyah, 29 tahun.
- Kapten Selangor ini mungkin menjadi pilihan berbanding Safee Sali yang baru pulih daripada kecederaan betis ketika bertemu Thailand. Amri telah meledak dua gol ketika bertemu Laos dan sentiasa memiliki karakter sebagai pemain yang cukup istimewa.


LALUAN KE SEPARUH AKHIR:

MALAYSIA:
Kalah 1-5 kepada Indonesia
Seri 0-0 dengan Thailand
Menang 5-1 ke atas Laos
* Muncul naib juara Kumpulan A

VIETNAM:
Menang 7-1 ke atas Myanmar
Kalah 0-2 kepada Filipina
Menang 1-0 ke atas Singapura
* Muncul juara Kumpulan B

0 comments: