Friday, December 24, 2010

Tengku Abdullah turun padang


SKUAD bola sepak kebangsaan menerima suntikan semangat apabila Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) turun menyaksikan sesi latihan mereka di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Begitupun, Tengku Abdullah belum mahu mendedahkan apa-apa ganjaran yang bakal diperolehi pemain-pemain kebangsaan jika Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 berbanding pasukan Indonesia yang sudah pun dijanjikan ganjaran berjumlah Rp3 bilion (RM1 juta) jika muncul juara.

"Jumlah dan bentuk ganjaran hanya akan ditetapkan selepas mereka beraksi pada final nanti. Jangan risau, kita tetap akan beri ganjaran kepada pemain. Sebelum masuk final pun sudah ada ganjaran diberi kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan sesi latihan tersebut.

Dengan jumlah ganjaran RM1 juta itu, pemain Indonesia bakal menerima sekitar RM45,000 seorang manakala pemain Malaysia pula baru dijanjikan RM5,000 seorang oleh Kementerian Belia dan Sukan serta tambahan RM4,000 seorang menerusi program Tabung Akujanji Piala AFF Suzuki.

Ditanya apakah ramalannya tentang keputusan perlawanan final pertama Ahad ini, Tengku Abdullah ringkas berkata: "Kalau kita dapat menang 3-0, sedap juga untuk bekalan perlawanan kedua di Jakarta nanti."

Tengku Abdullah ternyata begitu yakin bahawa semangat tinggi anak-anak buah K. Rajagobal itu mampu memberikan Malaysia kejuaraan sulung Piala AFF Suzuki selepas kejohanan serantau itu diperkenalkan pada 1996.

"Saya yakin dan percaya para pemain kita akan turun beraksi dengan baik. Semangat mereka cukup tinggi. Tiada apa lagi yang saya minta kecuali mereka beraksi dengan bermati-matian untuk muncul juara.

"Kita perlu gunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pada Ahad ini. Harap penyokong Malaysia turun memberikan sokongan dan sorakan padu kepada pasukan kita ini," jelasnya.

0 comments: