Persahabatan bola sepak: Malaysia 2 Kuala Lumpur 0
SKUAD bola sepak kebangsaan mencatat kemenangan 2-0 ke atas skuad Liga Super Kuala Lumpur pada perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras petang semalam.
Ia merupakan aksi pemanas badan sebelum skuad bimbingan K. Rajagobal itu menentang Vietnam pada separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.
Pada aksi yang hanya berlangsung 35 minit setiap babak itu, gol pertama Malaysia dijaringkan Amri Yahyah pada minit ke-23 setelah dia menerima lorongan baik Sabre Mat Abu dari sebelah kanan.
Gol kedua Malaysia pula dijaringkan menerusi sepakan penalti Khyril Muhymeen Zambri, lima minit selepas babak kedua bersambung setelah dia sendiri dijatuhkan oleh pertahanan lawan.
Bagi Rajagobal, dia kini sedang menilai kesemua 22 pemain dalam skuadnya itu untuk menentukan siapa yang bakal diturunkan pada perlawanan Rabu ini.
"Saya mahu melihat bagaimana kesungguhan setiap pemain. Adakah terdapat tanda-tanda yang seseorang pemain itu benar-benar mahu beraksi.
"Saya turunkan kesemua pemain kecuali S. Kunanlan. Tapi tak bermakna dia tiada dalam perancangan.
"Begitu juga Faizal Muhammad di bahagian pertahanan tengah, saya masih turut menilai Fadhli Shas yang tak beraksi menentang Laos," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan semalam.
Ditanya tentang sasarannya untuk pertemuan Rabu ini, Rajagobal hanya mahukan kemenangan tanpa menetapkan jumlah jaringan sambil mengharapkan para pemainnya mengikut segala arahan diberi.
"Kita hanya mahu menang kerana perlawanan kedua di Hanoi pasti cukup sukar. Jadi kemenangan pada perlawanan pertama ini penting untuk memberi keyakinan terhadap pemain.
"Pemain kena tunjukkan organisasi yang baik sepanjang perlawanan dan jangan buang bola kepada pemain Vietnam kerana jentera tengah dan serangan mereka cukup baik.
"Tugas kita, ambil kesempatan dan manfaatkan segala kelemahan mereka," jelas Rajagobal.
0 comments:
Post a Comment