Thursday, December 9, 2010

Piala AFF Suzuki: Malaysia jumpa Vietnam

SKUAD bola sepak kebangsaan bakal berdepan juara bertahan, Vietnam pada aksi separuh akhir Piala AFF Suzuki 2010 dalam pemburuan untuk menamatkan kemarau 14 tahun gagal layak ke final.

Vietnam muncul juara Kumpulan B setelah menewaskan Singapura 1-0 di Hanoi malam tadi manakala Filipina menamatkan saingan di tangga kedua selepas seri 0-0 dengan Myanmar.

Aksi separuh akhir pertama akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu depan (15 Disember) manakala separuh akhir kedua berlangsung di Hanoi pada Sabtu, 18 Disember.

Sepanjang tujuh edisi sebelum ini, Malaysia hanya sekali melangkah ke final iaitu pada edisi sulung kejohanan yang dahulunya dikenali sebagai Piala Tiger pada tahun 1996.

Namun pada final tersebut, Malaysia tewas 0-1 kepada Thailand, sekali gus menjadikan skuad negara masih belum pernah merasai nikmat menjuarai kejohanan peringkat senior di Asia Tenggara ini.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal bagaimanapun enggan mendabik dada sebaliknya bersikap merendah diri selepas melihat anak-anak buahnya melepasi ranjau penuh berliku dalam saingan Kumpulan A yang berakhir kelmarin.

“Tidak kiralah mana pasukan sekali pun yang akan kita jumpa pada separuh akhir nanti, mereka tetap akan hadir sebagai sebuah pasukan yang baik dan kuat.

“Saya akan beri rehat dua hari kepada pemain sebelum mereka kembali melapor diri pada lewat petang Jumaat (esok) dan mula menjalani latihan pada pagi Sabtu.

“Selepas itu barulah saya akan lihat keadaan pemain, siapa yang boleh diturunkan dan bagaimana perancangan untuk menghadapi dua aksi separuh akhir ini,” kata Rajagobal kepada Kosmo! malam tadi.

Skuad kebangsaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang lewat malam tadi selepas mengharungi penerbangan dari Palembang dan kemudiannya transit di Jakarta.

Ditanya adakah skuad negara boleh memasukkan semula pemain dari senarai awal 30 pemain, Rajagobal berkata: “Tidak. Kita hanya boleh gunakan kalangan 22 pemain dalam senarai akhir ini saja untuk separuh akhir dan final.”

Malaysia yang dibelasah Indonesia 1-5 pada perlawanan pertama sebelum seri 0-0 dengan Thailand pada aksi kedua tidak dapat menurunkan Safee Sali (cedera betis) serta Asraruddin Putra Omar dan Fadhli Shas (demam) ketika membelasah Laos 5-1 kelmarin.

INFO 1:

JADUAL
SEPARUH AKHIR

MALAYSIA lwn VIETNAM (15 & 18 Disember)
FILIPINA lwn INDONESIA (16 & 19 Disember)

INFO 2:

REKOD MALAYSIA DI PIALA AFF:

1996: Naib juara
1998: Peringkat kumpulan
2000: Separuh akhir (tempat ketiga)
2002: Separuh akhir (tempat keempat)
2004: Separuh akhir (tempat ketiga)
2007: Separuh akhir
2008: Peringkat kumpulan

0 comments: