Friday, December 10, 2010

Piala AFF Suzuki: Rajagobal realistik


SKUAD bola sepak kebangsaan sudah berjaya memecah dua rekod sejak K. Rajagobal dilantik sebagai ketua jurulatih pada 20 April 2009.

Pertamanya, rekod kemarau pingat emas Sukan SEA selama 20 tahun berjaya dipecah setelah anak-anak buah Rajagobal menewaskan Vietnam 1-0 pada final Sukan SEA 2009 di Laos.

Keduanya, rekod kemarau layak ke pusingan kedua Sukan Asia selama 32 tahun berjaya dipecah setelah skuad negara melepasi saingan peringkat kumpulan di Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China bulan lalu sebelum tewas 1-3 kepada Iran.

Kini Rajagobal berpeluang meneruskan sentuhan ajaibnya itu untuk menamatkan pula kemarau memasuki final serta menjulang trofi Piala AFF Suzuki buat kali pertama setelah 14 tahun.

Namun pengendali berusia 54 tahun itu mahu para peminat bola sepak negara lebih realistik dengan tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk aksi separuh akhir bertemu Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu ini dan Stadium My Dinh, Hanoi tiga hari kemudian.

"Saya sedar harapan rakyat Malaysia cukup tinggi. Tapi jika mereka tahu tentang bola sepak, mereka akan lebih bersikap realistik.

"Kita kena sedar, skuad negara hanya dibarisi pemain-pemain muda dengan beberapa saja pemain senior seperti Amri Yahyah dan Safee Sali.

"Cuba lihat senarai pemain Vietnam, berapa pemain senior mereka ada? Lagipun mereka juara bertahan. Lihat saja corak permainan mereka. Ternyata mereka pasukan yang kuat," kata Rajagobal ketika ditemui Kosmo! di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang awal pagi semalam.

Skuad kebangsaan tiba dari Jakarta pada pukul 1 pagi semalam selepas mengharungi tiga aksi Kumpulan A dengan muncul naib juara di belakang Indonesia.

Ternyata daripada senarai 22 pemain kedua-dua pasukan, Malaysia memiliki hanya lapan pemain berusia 24 hingga 29 tahun manakala Vietnam memiliki 17 pemain berusia 24 hingga 30 tahun.

Baki 14 pemain Malaysia baru berusia 19 hingga 23 tahun manakala Vietnam pula hanya memiliki lima pemain muda berusia 21 hingga 23 tahun.

Tegas Rajagobal: "Saya tak mahu beri alasan lain. Apa yang kita ada ini, kita akan cuba sebaik mungkin untuk mencipta kejutan ke atas Vietnam. Kita akan main dengan kekuatan yang kita miliki ini."

Skuad kebangsaan akan kembali berlatih esok dan dijadualkan mengadakan perlawanan pemanas badan menentang skuad Liga Super Kuala Lumpur di STADIUM BOLA SEPAK KUALA LUMPUR, CHERAS pada pukul 5 petang Ahad ini.

0 comments: