Gonzales cedera
KEM skuad Indonesia dilanda gelisah setelah penyerang utamanya yang 'diimport' dari Uruguay, Cristian Gonzales dikhabarkan mengalami kecederaan pangkal paha ketika sesi latihan di Jakarta petang kelmarin.
Menurut agensi berita Indonesia, Kompas semalam, Gonzales, 34, yang menjadi pendahulu penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010 dengan tiga gol setakat ini sekadar menjalani latihan ringan pada sesi latihan pagi semalam.
Penyerang kelab Persib Bandung itu hanya menjalani latihan secara berasingan sambil diawasi fisioterapi pasukan.
"Semalam (kelmarin) kami mendapat kecederaan terbaru apabila Gonzales mengalami masalah pangkal paha. Tapi kemungkinan besar dia tetap boleh diturunkan pada Ahad nanti.
"Tentang keadaan Oktovianus Maniani dan Firman Utina, mereka beransur sembuh. Cuma Oktovianus masih belum mampu melakukan larian deras," kata jurulatih Indonesia, Alfred Riedl selepas sesi latihan pagi semalam.
Skuad Indonesia berlepas ke Kuala Lumpur dengan pesawat sewa khas pagi ini dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Subang pukul 12.30 tengah hari ini.
Pemain-pemain yang beragama Islam akan terus ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Jumaat sebelum menuju ke hotel penginapan di Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan.
Skuad Indonesia akan turun menjalani latihan di Padang MSN, Bukit Jalil pada pukul 5 petang ini.
0 comments:
Post a Comment