Wednesday, December 22, 2010

Rajagobal waspada


SKUAD bola sepak kebangsaan kembali menjalani latihan semalam untuk persiapan menghadapi Indonesia pada aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad ini.

Namun, hanya 20 pemain yang berlatih sepenuhnya manakala dua pemain, Amirulhadi Zainal dan Khyril Muhymeen Zambri hanya menjalani latihan ringan kerana mengalami kecederaan lutut.

Situasi tersebut mungkin memaksa jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal melakukan sedikit pertukaran dalam kesebelasan utamanya kelak.

Atas sebab itu, pengendali berusia 54 tahun itu mengatur satu perlawanan ujian menentang Felda United di padang Wisma FAM, Kelana Jaya malam ini untuk menguji prestasi barisan pemain simpanannya.

“Amirulhadi cedera lutut kanan ketika aksi separuh akhir kedua Sabtu lalu manakala Khyril tidak diletakkan dalam senarai 20 pemain pada aksi di Hanoi itu kerana cedera lutut kiri selepas aksi separuh akhir pertama.

“Jadi perlawanan ujian menentang Felda United ini akan saya gunakan untuk melihat kemampuan pemain terutamanya pemain-pemain simpanan.

“Ia penting kerana jika mereka terpaksa diturunkan Ahad ini, tidaklah mereka terlalu terkejut untuk mendapatkan rentak permainan sebenar,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan petang semalam.

Selain itu, Rajagobal turut bimbang kemungkinan para pemainnya menerima kad kuning tidak sewajarnya pada Ahad ini memandangkan tiga pemain iaitu Safee Sali, Mahali Jasuli dan Amirulhadi sudah mengumpul satu kad kuning.

“Memang kita tak mahu perkara ini berlaku kerana ia boleh menyebabkan tiga pemain ini tidak dapat beraksi pada final kedua di Jakarta nanti. Tapi perkara seperti ini sukar dijangka,” jelasnya.

Ditanya tentang pemain-pemain Indonesia yang perlu diberi perhatian, Rajagobal pantas menyebut Cristian Gonzales, Oktovianus Maniani, Muhammad Ridwan dan Irfan Bachdim sebagai ancaman utama.

“Selain itu, kita perlu ambil perhatian juga terhadap Firman Utina dan Ahmad Bustomi di bahagian tengah serta kemantapan Maman Abdurahman dan Zulkifli Syukur di barisan pertahanan Indonesia.

“Untuk final pertama Ahad ini, saya cuma mahu pemain kekal konsisten. Kita memang mahu menang aksi di tempat sendiri walaupun turun sebagai underdog berbanding Indonesia,” ujar Rajagobal.

0 comments: