Thursday, December 23, 2010

15,500 tiket dijual di KBRI

PARA penyokong Indonesia tidak perlu ke Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk membeli tiket final pertama Piala AFF Suzuki 2010.

Sebaliknya, penjualan 15,000 keping tiket berharga RM30 dan 500 keping tiket RM50 yang diperuntukan kepada mereka akan dijual di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur bermula pukul 9 pagi hari ini.

Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar berkata, peruntukan 15,500 keping tiket itu merangkumi semua penyokong Indonesia yang menentap di Malaysia dan juga mereka yang akan terbang dari Jakarta untuk menyaksikan perlawanan, Ahad ini.

"Kita akan jual tiket-tiket ini di KBRI bermula esok (hari ini) dan seterusnya sehingga Ahad atau apabila kesemua tiket ini telah habis dijual.

"Jadi saya berharap penyokong Indonesia dapatlah berbondong-bondong (beramai-ramai) ke Bukit Jalil untuk menyaksikan final pertama ini. Harap ia satu perlawanan yang menarik tetapi damai," katanya pada sidang media di KBRI pagi semalam.

Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Nugraha Besoes yang turut hadir pada sidang media tersebut pula memberitahu, mereka pada mulanya meminta peruntukan sebanyak 25,000 keping tiket daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Selepas perbincangan dengan FAM semalam (kelmarin), kami hanya diberi 15,500 keping tiket tetapi ia sebenarnya sudah merangkumi 18 peratus daripada jumlah keseluruhan 88,000 keping tiket yang dijual.

"Jadi cukup atau tidak, saya tak boleh nak beritahu sekarang kerana kita perlu lihat terlebih dahulu selepas penjualan dibuat esok (hari ini)," kata Nugraha.

Bagi penyokong Malaysia, tiket-tiket berjumlah 70,000 keping yang berharga RM30 serta 2,500 keping yang berharga RM50 akan dijual bermula hari ini iaitu dari 10 pagi hingga 7 malam di Kaunter Pintu Kuning, Stadium Nasional.

0 comments: