Tuesday, December 14, 2010

Piala AFF Suzuki: 'Pemain mahu jumpa Indonesia'


TATKALA jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal sibuk mencari formula terbaik menjelang pertemuan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 menentang Vietnam malam esok, lain pula tugas pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal.

Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggalas tugas cukup penting pada saat genting seperti ini untuk memastikan motivasi pemain negara terus berada pada tahap tertinggi.

“Sebagai pengurus pasukan sudah tentu menjadi tugas saya untuk memberikan keyakinan kepada pemain dan juga meniup semangat bagi membolehkan mereka turun dengan aksi terbaik pada perlawanan separuh akhir ini nanti.

“Apa yang saya lihat, semangat pemain begitu tinggi ditambah pula tiada masalah kecederaan melanda kesemua 22 pemain kita.

“Selepas dibelasah Indonesia tempoh hari, semua pemain menyimpan keazaman tinggi untuk mara ke final kerana mereka mahu jumpa Indonesia semula bagi membalas dendam,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Namun, Subahan mengharapkan para pemain negara menggunakan sepenuhnya segala peluang yang terhidang supaya Malaysia mendapat bekalan selesa untuk dibawa ke Hanoi, Sabtu ini.

“Pasukan mana yang memiliki ketahanan mental dan bijak memanfaatkan peluang, mereka bakal melangkah ke final.

“Cuma saya berharap kepada semua pemain kita agar tidak mengulangi kesilapan yang mudah.

“Saya juga berharap para peminat bola sepak tempatan dapat memenuhi Stadium Nasional kerana sorakan dan sokongan mereka akan meningkatkan lagi moral pemain.

“Ini kerana, apabila kita bertandang ke Hanoi pada Sabtu ini, sudah pasti 40,000 penyokong Vietnam akan memenuhi Stadium My Dinh. Jadi kita perlu manfaatkan dulu kelebihan beraksi di tempat sendiri,” ujarnya.

Petang semalam, semua 22 pemain gigih menjalani latihan sambil Rajagobal lebih menekankan aspek taktikal bagi menghadapi Vietnam dengan dibantu penolong jurulatih, Tan Cheng Hoe dan jurulatih penjaga gol, Faozi Mukhlas.

0 comments: