Harimau Muda tewas di Bangkok
SKUAD bola sepak Olimpik Malaysia, Harimau Muda A tewas 1-2 kepada skuad Olimpik Thailand pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok petang semalam.
Ketinggalan 0-1 pada minit ke-19, skuad muda negara itu berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang gantian berusia 18 tahun, Syahrul Azwari Ibrahim pada minit ke-74.
Namun kesilapan kapten, Muslim Ahmad menahan bola dengan kemas menyebabkan ia berjaya dicuri pemain Thailand yang terus merembat kencang menewaskan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan pada minit ke-86.
Justeru, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee menganggap, beberapa kelemahan dikenalpasti menerusi perlawanan semalam yang diharap dapat diperbaiki menjelang pusingan pertama kelayakan Olimpik bertemu Pakistan.
“Kita tak beraksi dengan baik pada babak pertama tetapi berjaya memperbaikinya pada babak kedua menerusi permainan menyerang sehingga mendapat gol penyamaan.
“Namun kesilapan pada minit terakhir perlawanan menyebabkan kita tewas. Sepatutnya kita boleh mengikat Thailand.
“Apa pun para pemain dapat pengajaran bahawa perlawanan peringkat domestik cukup berbeza dengan perlawanan antarabangsa seperti ini.
“Tidak dinafikan Thailand beraksi baik dan majoriti pemain mereka juga berkualiti. Tapi tak banyak beza sangat antara kedua-dua pasukan,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Bangkok selepas perlawanan.
Skuad Harimau Muda A kembali ke tanah air hari ini sebelum berlepas pula ke Singapura pada Ahad untuk aksi persahabatan menentang skuad Olimpik Singapura di Stadium Jalan Besar, Isnin ini.
“Saya harap kita dapat menggunakan sepenuhnya peluang bertemu Singapura nanti dengan mempamerkan aksi lebih baik dan positif,” tambah Kim Swee.
Untuk pertemuan menentang Pakistan pada 23 Februari di Cheras dan pada 9 Mac di Lahore, skuad negara bagaimanapun akan diperkuat beberapa ‘pemain luar’ seperti Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan) serta Ahmad Shakir Md. Ali dan Faizal Abu Bakar (Kedah).
0 comments:
Post a Comment