Persahabatan bola sepak: Malaysia 2 Kuala Lumpur 0


SKUAD bola sepak kebangsaan mencatat kemenangan 2-0 ke atas skuad Liga Super Kuala Lumpur pada perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras petang semalam.

Ia merupakan aksi pemanas badan sebelum skuad bimbingan K. Rajagobal itu menentang Vietnam pada separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.

Pada aksi yang hanya berlangsung 35 minit setiap babak itu, gol pertama Malaysia dijaringkan Amri Yahyah pada minit ke-23 setelah dia menerima lorongan baik Sabre Mat Abu dari sebelah kanan.

Gol kedua Malaysia pula dijaringkan menerusi sepakan penalti Khyril Muhymeen Zambri, lima minit selepas babak kedua bersambung setelah dia sendiri dijatuhkan oleh pertahanan lawan.

Bagi Rajagobal, dia kini sedang menilai kesemua 22 pemain dalam skuadnya itu untuk menentukan siapa yang bakal diturunkan pada perlawanan Rabu ini.

"Saya mahu melihat bagaimana kesungguhan setiap pemain. Adakah terdapat tanda-tanda yang seseorang pemain itu benar-benar mahu beraksi.

"Saya turunkan kesemua pemain kecuali S. Kunanlan. Tapi tak bermakna dia tiada dalam perancangan.

"Begitu juga Faizal Muhammad di bahagian pertahanan tengah, saya masih turut menilai Fadhli Shas yang tak beraksi menentang Laos," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan semalam.

Ditanya tentang sasarannya untuk pertemuan Rabu ini, Rajagobal hanya mahukan kemenangan tanpa menetapkan jumlah jaringan sambil mengharapkan para pemainnya mengikut segala arahan diberi.

"Kita hanya mahu menang kerana perlawanan kedua di Hanoi pasti cukup sukar. Jadi kemenangan pada perlawanan pertama ini penting untuk memberi keyakinan terhadap pemain.

"Pemain kena tunjukkan organisasi yang baik sepanjang perlawanan dan jangan buang bola kepada pemain Vietnam kerana jentera tengah dan serangan mereka cukup baik.

"Tugas kita, ambil kesempatan dan manfaatkan segala kelemahan mereka," jelas Rajagobal.

Read More

Piala AFF Suzuki: Safee sudah pulih


PENYERANG skuad kebangsaan, Safee Sali sudah pulih daripada kecederaan dan kembali turun menjalani latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Kehadiran penyerang Selangor itu pasti memberi banyak pilihan kepada jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal untuk menyenaraikan kesebelasan utamanya menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu ini.

Safee, 26, mengalami kecederaan betis ketika bertemu Thailand, 4 Disember lalu dan tidak diturunkan ketika Malaysia membelasah Laos 5-1 pada aksi terakhir Kumpulan A, Selasa lalu.

Turut membawa perkhabaran gembira kepada Rajagobal ialah tiga pemainnya yang demam ketika berada di Jakarta iaitu Fadhli Shas, Asraruddin Putra Omar dan Razman Roslan, juga sudah pulih.

Namun Rajagobal, 54, berkata, beliau hanya akan menentukan kesebelasan utamanya selepas perlawanan pemanas badan menentang skuad Liga Super Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada pukul 5 petang ini.

“Safee sudah boleh berlatih hari ini (semalam). Tetapi saya mahu lihat sama ada dia mampu beraksi menentang Kuala Lumpur esok (hari ini). Memang susah untuk dia kembali kepada prestasi terbaik selepas mengalami kecederaan otot betis.

“Hanya selepas menentang Kuala Lumpur ini barulah saya akan membuat rumusan siapa pemain yang bersedia untuk menentang Vietnam,” kata Rajagobal ketika ditemui Kosmo! pada sesi latihan petang semalam.

Biarpun baru turun berlatih selepas skuad negara pulang dari Jakarta awal pagi Khamis lalu, Rajagobal sudah pun ‘mengerah’ kesemua 22 pemainnya dengan latihan taktikal simulasi menghadapi corak permainan Vietnam.

“Semua tahu Vietnam kuat di semua posisi. Mereka juga pasti tampil dengan lebih yakin. Lapan puluh peratus pemain mereka kali ini pernah beraksi pada Piala Suzuki AFF 2008.

“Kita pula dibarisi majoriti pemain muda. Jadi saya harap pemain kita turun dengan keyakinan tinggi dan gunakan setiap peluang yang terhidang. Cuma kita jangan terlalu beri tekanan kepada pemain,” jelas Rajagobal.

Malaysia perlu menggunakan sepenuhnya aksi di laman sendiri Rabu ini sebelum aksi kedua di Hanoi pada Sabtu memandangkan format jaringan di tempat lawan diaplikasikan pada saingan kali ini.
Read More

Info tiket untuk separuh akhir Piala AFF Suzuki 2010


SEPARUH AKHIR PERTAMA PIALA AFF SUZUKI 2010 AKAN DIADAKAN PADA RABU INI, 15 DISEMBER 2010 DI STADIUM NASIONAL, BUKIT JALIL, KUALA LUMPUR BERMULA JAM 8.00 MALAM.

HARGA TIKET-TIKET BAGI PERLAWANAN PADA 15 DISEMBER 2010 IALAH RM20.00 (TEMPAT DUDUK TERBUKA), RM 40.00 (TEMPAT DUDUK UTAMA) DAN RM 5.00 BAGI KANAK-KANAK BERUMUR DI BAWAH 12 TAHUN.

TIKET KANAK-KANAK ADALAH UNTUK TEMPAT DUDUK TERBUKA SAHAJA.

TIKET-TIKET AKAN MULA DIJUAL DI WISMA FAM, KELANA JAYA PADA HARI ISNIN, 13 DISEMBER 2010 DARI JAM 9.30 PAGI SEHINGGA JAM 5 PETANG. SATU HARI SAHAJA.

SETERUSNYA TIKET-TIKET AKAN DIJUAL DI STADIUM BUKIT JALIL, KUALA LUMPUR DI PINTU KUNING (YELLOW GATE) PADA HARI SELASA 14 DISEMBER 2010 MULAI DARI JAM 10.00 PAGI SEHINGGA JAM 7.00 MALAM.

MANAKALA PADA HARI RABU, 15 DISEMBER 2010 TIKET-TIKET AKAN DIJUAL DI STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL, KUALA LUMPUR MULAI JAM 10.00 PAGI SEHINGGA PERLAWANAN DIMULAKAN.
Read More

Piala AFF Suzuki: Rajagobal realistik


SKUAD bola sepak kebangsaan sudah berjaya memecah dua rekod sejak K. Rajagobal dilantik sebagai ketua jurulatih pada 20 April 2009.

Pertamanya, rekod kemarau pingat emas Sukan SEA selama 20 tahun berjaya dipecah setelah anak-anak buah Rajagobal menewaskan Vietnam 1-0 pada final Sukan SEA 2009 di Laos.

Keduanya, rekod kemarau layak ke pusingan kedua Sukan Asia selama 32 tahun berjaya dipecah setelah skuad negara melepasi saingan peringkat kumpulan di Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China bulan lalu sebelum tewas 1-3 kepada Iran.

Kini Rajagobal berpeluang meneruskan sentuhan ajaibnya itu untuk menamatkan pula kemarau memasuki final serta menjulang trofi Piala AFF Suzuki buat kali pertama setelah 14 tahun.

Namun pengendali berusia 54 tahun itu mahu para peminat bola sepak negara lebih realistik dengan tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk aksi separuh akhir bertemu Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu ini dan Stadium My Dinh, Hanoi tiga hari kemudian.

"Saya sedar harapan rakyat Malaysia cukup tinggi. Tapi jika mereka tahu tentang bola sepak, mereka akan lebih bersikap realistik.

"Kita kena sedar, skuad negara hanya dibarisi pemain-pemain muda dengan beberapa saja pemain senior seperti Amri Yahyah dan Safee Sali.

"Cuba lihat senarai pemain Vietnam, berapa pemain senior mereka ada? Lagipun mereka juara bertahan. Lihat saja corak permainan mereka. Ternyata mereka pasukan yang kuat," kata Rajagobal ketika ditemui Kosmo! di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang awal pagi semalam.

Skuad kebangsaan tiba dari Jakarta pada pukul 1 pagi semalam selepas mengharungi tiga aksi Kumpulan A dengan muncul naib juara di belakang Indonesia.

Ternyata daripada senarai 22 pemain kedua-dua pasukan, Malaysia memiliki hanya lapan pemain berusia 24 hingga 29 tahun manakala Vietnam memiliki 17 pemain berusia 24 hingga 30 tahun.

Baki 14 pemain Malaysia baru berusia 19 hingga 23 tahun manakala Vietnam pula hanya memiliki lima pemain muda berusia 21 hingga 23 tahun.

Tegas Rajagobal: "Saya tak mahu beri alasan lain. Apa yang kita ada ini, kita akan cuba sebaik mungkin untuk mencipta kejutan ke atas Vietnam. Kita akan main dengan kekuatan yang kita miliki ini."

Skuad kebangsaan akan kembali berlatih esok dan dijadualkan mengadakan perlawanan pemanas badan menentang skuad Liga Super Kuala Lumpur di STADIUM BOLA SEPAK KUALA LUMPUR, CHERAS pada pukul 5 petang Ahad ini.
Read More

Piala AFF Suzuki: Malaysia jumpa Vietnam

SKUAD bola sepak kebangsaan bakal berdepan juara bertahan, Vietnam pada aksi separuh akhir Piala AFF Suzuki 2010 dalam pemburuan untuk menamatkan kemarau 14 tahun gagal layak ke final.

Vietnam muncul juara Kumpulan B setelah menewaskan Singapura 1-0 di Hanoi malam tadi manakala Filipina menamatkan saingan di tangga kedua selepas seri 0-0 dengan Myanmar.

Aksi separuh akhir pertama akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu depan (15 Disember) manakala separuh akhir kedua berlangsung di Hanoi pada Sabtu, 18 Disember.

Sepanjang tujuh edisi sebelum ini, Malaysia hanya sekali melangkah ke final iaitu pada edisi sulung kejohanan yang dahulunya dikenali sebagai Piala Tiger pada tahun 1996.

Namun pada final tersebut, Malaysia tewas 0-1 kepada Thailand, sekali gus menjadikan skuad negara masih belum pernah merasai nikmat menjuarai kejohanan peringkat senior di Asia Tenggara ini.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal bagaimanapun enggan mendabik dada sebaliknya bersikap merendah diri selepas melihat anak-anak buahnya melepasi ranjau penuh berliku dalam saingan Kumpulan A yang berakhir kelmarin.

“Tidak kiralah mana pasukan sekali pun yang akan kita jumpa pada separuh akhir nanti, mereka tetap akan hadir sebagai sebuah pasukan yang baik dan kuat.

“Saya akan beri rehat dua hari kepada pemain sebelum mereka kembali melapor diri pada lewat petang Jumaat (esok) dan mula menjalani latihan pada pagi Sabtu.

“Selepas itu barulah saya akan lihat keadaan pemain, siapa yang boleh diturunkan dan bagaimana perancangan untuk menghadapi dua aksi separuh akhir ini,” kata Rajagobal kepada Kosmo! malam tadi.

Skuad kebangsaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang lewat malam tadi selepas mengharungi penerbangan dari Palembang dan kemudiannya transit di Jakarta.

Ditanya adakah skuad negara boleh memasukkan semula pemain dari senarai awal 30 pemain, Rajagobal berkata: “Tidak. Kita hanya boleh gunakan kalangan 22 pemain dalam senarai akhir ini saja untuk separuh akhir dan final.”

Malaysia yang dibelasah Indonesia 1-5 pada perlawanan pertama sebelum seri 0-0 dengan Thailand pada aksi kedua tidak dapat menurunkan Safee Sali (cedera betis) serta Asraruddin Putra Omar dan Fadhli Shas (demam) ketika membelasah Laos 5-1 kelmarin.

INFO 1:

JADUAL
SEPARUH AKHIR

MALAYSIA lwn VIETNAM (15 & 18 Disember)
FILIPINA lwn INDONESIA (16 & 19 Disember)

INFO 2:

REKOD MALAYSIA DI PIALA AFF:

1996: Naib juara
1998: Peringkat kumpulan
2000: Separuh akhir (tempat ketiga)
2002: Separuh akhir (tempat keempat)
2004: Separuh akhir (tempat ketiga)
2007: Separuh akhir
2008: Peringkat kumpulan
Read More

Piala AFF Suzuki: Malaysia ke separuh akhir


MULA-mula kena belasah, sekarang melangkah bergaya ke separuh akhir. Begitu cabaran yang dilalui skuad bola sepak negara pada Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2010.

Semalam, skuad bimbingan K. Rajagobal itu mara ke separuh akhir selepas membelasah Laos 5-1 pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A di Stadium Jaka Baring, Palembang.

Pada masa yang sama, terima kasih kepada bekas penyerang import Selangor, Bambang Pamungkas yang menjadi watak penting dalam membantu skuad negara layak ke separuh akhir.

Bambang mengesahkan kemenangan Indonesia apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya ke atas Thailand dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A di Gelora Bung Karno, Jakarta.

Pada aksi semalam, skuad kebangsaan mudah membelasah Laos 5-1 menerusi dua jaringan Amri Yahyah serta masing-masing satu gol daripada Amirulhadi Zainal, Norshahrul Idlan Talaha dan Mahali Jasuli.

Kemaraan Malaysia dibantu kejayaan Indonesia menewaskan Thailand 2-1 hasil dua sepakan penalti Bambang pada minit ke-81 dan 88 biarpun Thailand mendahului hasil jaringan Suree Sukha pada minit ke-68.

Dengan keputusan itu, Indonesia muncul juara Kumpulan A dengan sembilan mata maksimum diikuti Malaysia di tangga kedua dengan empat mata, Thailand ketiga dengan dua mata dan Laos menduduki kedudukan tercorot dengan satu mata.

Malaysia selaku naib juara Kumpulan A akan berdepan juara Kumpulan B iaitu sama ada Filipina, Vietnam atau Singapura pada 15 Disember di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan di tempat lawan pada 18 Disember depan.



Pada aksi malam tadi, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal membuat empat pertukaran dalam kesebelasannya.

Sabre Mat Abu, Faizal Muhammad, Khyril Muhymeen Zambri dan Amri Yahyah mengisi tempat Asararuddin Putra Omar, Fadhli Shas, Amirulhadi dan Safee Sali.

Amri menanduk masuk gol pertama Malaysia seawal minit ketiga hasil hantaran Norshahrul tetapi Laos pantas menyamakan kedudukan menerusi Lamnao Singto pada minit ketujuh.

Namun Malaysia berjaya menamatkan separuh masa pertama dengan mendahului 2-1 hasil jaringan kedua Amri yang menolak masuk bola hantaran kapten, Safiq Rahim pada minit ke-39.

Sisa perjuangan Laos semakin luntur selepas Malaysia menambah gol ketiga menerusi pemain gantian, Amirulhadi pada minit ke-73 dan gol keempat menerusi Norshahrul pada minit ke-76, kedua-duanya hasil kesilapan pertahanan Laos, Kitsada.

Pesta jaringan Malaysia diakhiri bek kanan, Mahali yang naik ke atas untuk menyumbat gol kelima pada minit ke-90.
Read More

Piala AFF Suzuki: Malaysia mahu lanyak Laos


MALAYSIA hanya ada satu misi untuk dilunaskan pada perlawanan terakhir Kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2010 menentang Laos malam ini.

Mereka hanya mahu menang pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Jaka Baring, Palembang itu.

Pada masa yang sama, skuad bimbingan K. Rajagobal itu mengharapkan tuan rumah, Indonesia menewaskan Thailand.

Andai Thailand menang ke atas Indonesia, impian Malaysia untuk terus melangkah ke pusingan seterusnya akan berkubur.

Pada dua aksi terdahulu, Malaysia tewas 1-5 kepada Indonesia dan seri tanpa jaringan dengan Thailand Sabtu lalu.

Kali ini, anak-anak buah Rajagobal memiliki keyakinan untuk memusnahkan Laos dan fokus mereka hanyalah untuk mencatatkan kemenangan.

Kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim, 23, berkata, keyakinan mereka semakin melonjak setelah berjaya mengikat Thailand 0-0 Sabtu lalu.

“Selepas dibelasah Indonesia (1-5), kami terlampau berhati-hati pada separuh masa pertama ketika menentang Thailand kerana takut dibolosi. Sebab itulah kami lebih banyak bertahan.

“Pada babak kedua, kami dapat semula keyakinan dan menemui rentak untuk menyerang tetapi tidak bernasib baik untuk menjaringkan gol.

“Jadi, pada aksi menentang Laos ini, kita memang harus menang.

“Kita pernah bertemu Laos di Sukan SEA 2009 dan kebanyakan pemain mereka adalah sama. Jadi saya yakin Malaysia akan menang,” kata Safiq ketika dihubungi Kosmo! di Palembang petang semalam.

Rajagobal dijangka mengekalkan kesebelasan sama ketika bertemu Thailand tetapi Khyril Muhymeen Zambri mungkin menggantikan Amirulhadi Zainal di posisi sayap manakala Amri Yahyah mungkin menggantikan penyerang Safee Sali yang mengalami kecederaan.

Ditanya tentang kemungkinan Indonesia akan memberikan kemenangan kepada Thailand untuk menyekat kemaraan Malaysia ke separuh akhir, Safiq hanya berharap agar tuan rumah meneruskan momentum kemenangan setelah membelasah Malaysia 5-1 dan Laos 6-0.

“Itu saya tak boleh nak kata apa. Tapi saya tak fikir Indonesia akan bermain untuk kalah kerana mereka pasti tidak mahu mengecewakan penyokong setia mereka.

“Bagi kami pula, kami tidak mahu tahu apakah kedudukan semasa perlawanan Indonesia-Thailand kerana mahu fokus sepenuhnya untuk menang ke atas Laos. Selepas itu, kami berserah saja sama ada layak atau tidak,” jelas Safiq.
Read More

Piala AFF Suzuki: Khyril mahu tebus kesilapan


PEMAIN sayap skuad kebangsaan, Khyril Muhymeen Zambri bertekad untuk menebus kegagalannya menjaringkan gol ketika bertemu Thailand, Sabtu lalu.

Pada aksi terakhir Kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Jaka Baring, Palembang malam ini, Khyril, 23, sudah bersedia untuk menampilkan aksi terbaiknya jika diturun- kan dalam kesebelasan utama oleh jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal.

"Jika beraksi esok (malam ini), harap rezeki untuk menjaringkan gol memihak kepada saya dan rakan-rakan sepasukan lain. Saya sendiri sudah lama tak menjaringkan gol untuk Malaysia setelah berehat panjang akibat kecederaan sebelum ini.

"Lagipun saya mahu menebus kegagalan menyempurnakan peluang terbuka ketika bertemu Thailand Sabtu lalu. Kali ini saya akan buat yang terbaik untuk membantu kemenangan ke atas Laos," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Palembang petang semalam.

Khyril sebelum ini merupakan tonggak utama skuad kebangsaan dengan aksi lincahnya menggerakkan bahagian sayap dan serangan sebelum diketepikan akibat kecederaan lutut ACL ketika aksi persaha- batan menentang Kenya pada Ogos 2009.

Sekembalinya daripada rehat panjang, Khyril masih mencari sentuhan lamanya pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou bulan lalu apabila masuk sebagai pemain gantian ketika bertemu Jepun dan beraksi dalam kesebelasan utama ketika bertemu Iran di pusingan kedua.

Dia tidak beraksi pada perlawa- nan sulung Piala AFF Suzuki menentang Indonesia pada Rabu lalu tetapi masuk menggantikan Amirulhadi Zainal pada minit ke-39 ketika aksi bertemu Thailand, Sabtu lalu.

"Saya akui memang sudah kehilangan sentuhan dan daya pecutan selepas berehat lama. Tetapi jurulatih sentiasa beri keyakinan supaya saya dapat mengembalikan aksi seperti sebelum ini.

"Insya-Allah pertemuan dengan Laos ini saya mampu memberikan aksi lebih baik sambil dibantu rakan-rakan sepasukan lain yang jelas kini semakin bersemangat selepas perlawanan dengan Thailand.

"Lagipun kita hampir pasti akan bertemu Filipina jika layak ke sepa- ruh akhir. Jadi semua pemain begitu teruja untuk menewaskan Laos sambil mengharapkan Thailand sekadar seri atau tewas," jelas Khyril.
Read More

Piala AFF Suzuki: Malaysia bimbang


“SAYA harap soal pakatan bahawa Indonesia akan memberikan kemenangan kepada Thailand tidak akan berlaku. Ia demi semangat kesukanan di rantau ini.”

Demikian kata pengurus skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Subahan Kamal menjelang aksi terakhir Kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2010, malam esok.

Skuad bimbingan K. Rajagobal itu akan membuat perhitungan dengan Laos di Stadium Jaka Baring, Palembang manakala tuan rumah, Indonesia bertemu Thailand di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.

Ketika ini, Indonesia sudah sah bergelar juara kumpulan dan mara ke separuh akhir setelah mengumpul enam mata diikuti Thailand dengan dua mata serta Malaysia dan Laos masing-masing satu mata.

Maka timbul keraguan bahawa Indonesia bakal membiarkan Thailand mengatasi mereka untuk mengumpul lima mata, sekali gus menafikan kemaraan Malaysia yang hanya mampu meraih empat mata jika menang ke atas Laos.

Justeru, Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap jurulatih Indonesia, Alfred Riedl, barisan pemainnya serta Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) terus bersikap profesional.

"Kita tahu penyokong Indonesia seboleh-bolehnya mahu melihat Malaysia tersingkir. Tapi Riedl seorang jurulatih yang profesional dan pastinya PSSI juga tidak mahu maruah pasukan mereka tercalar di laman sendiri.

"Indonesia juga perlu fikir, jika mereka bantu Thailand ke separuh akhir, mungkin mereka akan berdepan semula Thailand di final nanti," kata Subahan ketika dihubungi Kosmo! petang semalam.

Skuad kebangsaan yang mengharungi dua perlawanan (tewas 1-5 kepada Indonesia dan seri 0-0 dengan Thailand) di Jakarta selamat tiba di Palembang semalam.

Tambah Subahan: "Kita jangan fikir sangat soal Indonesia dan Thailand itu. Apa yang lebih penting, kita sendiri kena buat kerja kita iaitu bermain untuk menang ketika bertemu Laos.

"Saya yakin para pemain pasti lebih bersemangat setelah aksi bertemu Thailand. Cuma barisan tengah dan serangan perlu dipertajamkan kerana kita mahukan jaringan untuk menang.”

Enam pemain iaitu Safiq Rahim, Safee Sali, Amirulhadi Zainal, Asraruddin Putra Omar, Amri Yahyah dan Razman Roslan pernah beraksi di Stadium Jaka Baring ketika Selangor bertemu Sriwijaya pada saingan Piala AFC 2010, Mac lalu.
Read More

Piala AFF Suzuki: Malaysia 0 Thailand 0


SKUAD bola sepak kebangsaan berjaya mengikat juara tiga kali, Thailand dengan keputusan seri tanpa jaringan pada aksi kedua Kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2010 di Gelora Bung Karno, Jakarta petang semalam.

Secara matematik, Malaysia masih berpeluang ke separuh akhir jika menewaskan Laos pada aksi terakhir Selasa ini biarpun skuad bimbingan K. Rajagobal itu tewas teruk 1-5 kepada tuan rumah, Indonesia pada Rabu lalu.

Namun secara realitinya, peluang Malaysia tampak sudah tertutup kerana Indonesia mungkin bakal ‘menghadiahkan’ kemenangan kepada Thailand.

Indonesia yang mudah membelasah Laos 6-0 malam tadi kini telah mengumpul enam mata diikuti Thailand (2 mata), Malaysia (1 mata) dan Laos (1 mata).

Jika Indonesia tewas kepada Thailand, kedudukan mereka selaku juara Kumpulan A tidak akan terjejas biarpun Malaysia menewaskan Laos.

Justeru harapan skuad negara kini hanyalah supaya Indonesia terus bersikap profesional dengan tidak sengaja beraksi untuk tewas ketika bertemu Thailand sambil Malaysia pula pada masa sama menang ke atas Laos.


Pada aksi petang semalam, Rajagobal membuat tiga perubahan dalam kesebelasan utamanya dengan menyenaraikan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli dan Amar Rohidan bagi mengisi tempat Sharbinee Allawee Ramli, Razman Roslan dan Amri Yahyah.

Separuh masa pertama menyaksikan Malaysia lebih banyak bertahan.

Pada babak kedua, Malaysia mula mengimbangi perlawanan tetapi beberapa peluang keemasan yang dimiliki terutamanya menerusi dua pemain gantian, Amri dan Khyril Muhymeen Zambri.

“Para pemain menunjukkan komitmen tinggi, rajin dan beraksi lebih baik berbanding ketika bertemu Indonesia. Apa yang penting, kita tak tewas kepada Thailand yang menyenaraikan barisan utama dengan pemain senior.

“Selepas ini, saya mahu pemain hanya fokus untuk menang ke atas Laos. Kita tidak boleh buat apa-apa jika Indonesia berpakat dengan Thailand.

“Cuma saya harap dapat bertemu Alfred Riedl (jurulatih Indonesia) dan minta mereka turun beraksi seperti biasa dan bersikap profesional,” kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! selepas perlawanan malam tadi.

Read More

Dua 'R' catur strategi ampuh


PERTEMBUNGAN Malaysia dan Thailand di Gelora Bung Karno, Jakarta petang ini bakal menyaksikan percaturan jurulatih mana yang lebih hebat, K. Rajagobal atau Bryan Robson.

Kemenangan menjadi buruan kedua-dua pasukan pada aksi kedua Kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2010 itu setelah Malaysia tewas 1-5 kepada Indonesia manakala Thailand diikat Laos 2-2 pada aksi sulung Rabu lalu.

Rajagobal, 54, merupakan bekas penyerang kebangsaan yang begitu meminati kelab Manchester United manakala Robson yang setahun lebih muda daripadanya pula merupakan bekas pemain tengah United.

Robson dikatakan bakal membuat tujuh rombakan dalam kesebelasan utamanya sambil menyatakan beliau sudah dapat mengesan kelemahan Malaysia ketika menyaksikan skuad negara dibelasah Indonesia, Rabu lalu.

Namun, Rajagobal tidak berdiam diri, sebaliknya bakal membuat rombakan kecil melibatkan dua atau tiga pemain di posisi pertahanan dan tengah sambil turut mengetahui kelemahan Thailand.

“Selepas latihan terakhir petang tadi (semalam), saya serba sedikit sudah memiliki bayangan kesebelasan yang akan diturunkan bertemu Thailand.

“Kita tak boleh tukar sampai tujuh pemain seperti Thailand kerana ini saja pemain yang kita ada setelah ramai tonggak utama tidak dibawa kerana cedera.

“Dia (Robson) boleh kata dia ada strategi untuk memanfaatkan kelemahan kita. Tetapi kita juga ada strategi terhadap kelemahan mereka,” kata Rajagobal kepada Kosmo! malam tadi.

Satu lagi faktor yang mungkin membangkitkan keyakinan para peminat bola sepak tanah air, Rajagobal mengesahkan Malaysia bakal turun dengan jersi berwarna biru yang sentiasa membawa tuah buat skuad negara.

Ditanya adakah dia akan mengekalkan Sharbinee Allawee Ramli di gawang atau menurunkan Khairul Fahmi Che Mat petang ini, Rajagobal berkata:

“Saya akan tengok dulu sama ada perlu atau tidak membuat rombakan. Bukan semuanya salah Sharbinee ketika kita tewas kepada Indonesia, Rabu lalu.”

Pertemuan dengan Thailand i turut dianggap misi hidup mati kerana jika tewas, Malaysia terkeluar daripada persaingan ke separuh akhir biarpun akan bertemu Laos pada aksi terakhir Selasa ini di Palembang.


Read More

Usah pandang negatif jika kalah - Rajagobal


KEKALAHAN 1-5 kepada Indonesia pada aksi sulung Kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta kelmarin merupakan kekalahan terbesar pernah dialami jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal sejak dilantik pada 20 April 2009.

Begitupun, pengendali berusia 54 tahun itu tidak mahu kekalahan tersebut dianggap sebagai gambaran sebenar keseluruhan skuad bola sepak kebangsaan ketika ini.

Katanya, ini kerana perkara seumpama itu boleh berlaku kepada mana-mana pasukan sekalipun.

"Real Madrid yang dibimbing Jose Mourinho dan dibarisi pemain-pemain bintang pun boleh tewas 0-5 kepada Barcelona. Korea Utara pun boleh tewas 0-7 kepada Portugal pada Piala Dunia 2010.

"Terbaru, Manchester United juga tewas 0-4 kepada West Ham United tetapi Alex Ferguson memberitahu, kekalahan itu berpunca daripada kesilapan yang dilakukan pemain pertahanan.

"Mereka tetap buat kesi- lapan yang tak sepatutnya biarpun mereka pemain berstatus profesional.

"Kita pula tewas 1-5 kepada Indonesia, bukan menerusi jaringan cantik atau kehebatan pihak lawan sebenarnya tetapi berpunca daripada kesilapan individu pemain kita sendiri.

"Hal ini memang boleh berlaku dan kita jangan terlalu negatif dengan kekalahan ini.

"Jangan terus membuat rumusan berdasarkan satu perlawanan ini saja," kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! di Jakarta, Indonesia petang semalam.

Pada perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno kelmarin, Norshahrul Idlan Talaha meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-18 tetapi dibalas Indonesia menerusi jaringan sendiri Asraruddin Putra Omar (22), Christian Gonzales (33), Muhammad Ridwan (52), Arif Suyono (76) dan Irfan Bachdim (90).

Ternyata benteng pertahanan negara dibarisi Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Razman Roslan dan Asraruddin terlalu goyah selain melakukan kesilapan individu yang membantu Indonesia menambah gol.

Menjelang pertemuan kedua menentang Thailand petang esok, Rajagobal membayangkan beberapa pertukaran pemain dalam kesebelasan utamanya sambil menganggap Thailand belum beraksi pada tahap sebenar ketika seri 2-2 dengan Laos kelmarin.



"Mungkin akan berlaku perubahan terutama di barisan pertahanan. Kelemahan di posisi itu nampak ketara tetapi saya mahu para pemain menguatkan semula mental mereka kerana kita masih ada peluang.

"Tiada cara lain, kena menang dengan Thailand (esok) dan Laos (Selasa). Situasi ini serupa ketika kita mahu melayakkan diri ke separuh akhir Sukan SEA 2009 di Laos apabila kita berjaya menewaskan Thailand 2-1," jelas Rajagobal.


Read More

Selangor tarik diri Piala AFC


TIADA wakil Malaysia yang akan beraksi pada saingan Piala AFC 2011 setelah dua pasukan yang layak, Selangor (juara Liga Super) dan Negeri Sembilan (juara Piala FA) memilih untuk menarik diri.

Puncanya sudah tentu disebabkan pengharaman pemain import oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk pasukan-pasukan tempatan yang mungkin hanya akan dibenarkan semula pada saingan Liga Malaysia 2012.

Pengurus merangkap jurulatih Selangor, K. Devan (gambar) mengesahkan penarikan diri pasukannya itu selepas tiada nama Selangor tertera dalam senarai pasukan untuk Piala AFC 2011 yang dikeluarkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Isnin lalu.

"FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) membuat keputusan untuk tidak menghantar pasukan ke saingan 2011 ini disebabkan kita tiada pemain import. Itu merupakan faktor utama.

"Selain itu, kita turut menilai prestasi Selangor yang kurang baik sepanjang Piala AFC 2010 ter- utama ketika bertemu pasukan kelab luar yang membariskan pemain import.

"Jadi dengan jadual Liga Malaysia 2011 yang agak padat serta beberapa pemain kita memiliki komit- men dengan skuad kebangsaan, susah untuk kita beri prestasi terbaik jika menyertai Piala AFC 2011," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada saingan Piala AFC 2010, Selangor yang menjadi wakil tunggal selepas Perlis menarik diri terkandas pada peringkat kumpulan setelah hanya menang sekali, seri sekali dan tewas empat kali termasuk 1-6 kepada Sriwijaya dan 0-4 kepada Binh Duong FC.

Sementara itu, menjelang persiapan Liga Malaysia 2011, Devan berkata, Selangor hanya menyenaraikan 23 pemain dengan enam daripadanya merupakan pemain baru.

"Kita bawa masuk Saiful Amar Sudar (PKNS), Yosri Derma Raju (Pahang), Azidan Sarudin (Kuala Lumpur), Fadzli Saari (KL Plus), K. Depan Sakwati (Melaka) dan S. Sritharan.

"Ia bagi menggantikan Hamsani Ahmad, Zaiza Zainal Abidin, Azrine Efendy Saduddin, Liew Kit Kong, R. Surendren dan Farderin Kadir.

"Saya dapati setiap posisi kini memiliki dua pemain termasuk posisi sayap kiri yang akan kita gunakan Hardi Jaafar dan Fitri Shazwan Raduwan," jelas Devan.
Read More

Kembali selepas sebulan tidak dikemaskini....

KEPADA para pengunjung laman blog ini, saya memohon maaf kerana bahan di dalam blog ini tidak dikemaskini selama sebulan disebabkan saya telah ditugaskan untuk membuat liputan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China dari 5 November hingga 28 November lepas.

Memandangkan di China akaun blogspot disekat, maka saya tidak dapat mengemaskini laman blog ini sepanjang berada di sana.

Kini saya sudah selamat pulang ke tanah air dan laman blog ini akan dikemaskini seperti biasa. Insyaallah...
Read More

Rajagobal umum senarai 20 pemain ke Sukan Asia 2010


KEPINCANGAN di bahagian pertahanan memaksa jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal untuk memilih Norhafiz Zamani Misbah dalam senarai terakhir skuad negara yang akan menggalas cabaran pada Sukan Asia di Guangzhou, China minggu depan.

Norhafiz adalah antara tiga pemain melebihi umur yang disenaraikan oleh Rajagobal dalam skuad tersebut.

Dua lagi ialah Norshahrul Idlan Talaha dan S. Kunanlan.

Turut disenaraikan ialah sembilan pemain Harimau Muda A iaitu penjaga gol, Zamir Selamat, Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Fadhli Shas, Faizal Muhammad, K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Fandi Othman dan Izzaq Faris Ramlan.

Baki lapan pemain lain pula terdiri daripada penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, Asraruddin Putra Omar, Safiq Rahim, Amar Rohidan, S. Chanturu, Khyril Muhymeen Zambri, Faizal Abu Bakar dan Ahmad Fakri Saarani.

“Tiga pemain senior yang saya pilih ini adalah berdasarkan keperluan posisi. Norshahrul telah membuktikan bahawa dia merupakan penyerang terbaik manakala Kunanlan pula telah mempamerkan prestasi yang konsisten.

“Norhafiz pada mulanya tiada dalam perancangan ke Sukan Asia. Tapi selepas masalah kecederaan melanda beberapa pemain pertahanan, saya perlukan seorang pemain berpengalaman di situ,” kata Rajagobal pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Dengan pengumuman tersebut, enam baki pemain senior lain iaitu Safee Sali, Amirulhadi Zainal, Ashaari Shamsuddin, Sharbinee Allawee Ramli, Farizal Marlias dan Azmi Muslim hanya akan ditagih khidmat mereka untuk saingan Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta awal bulan depan.

Bagi saingan Sukan Asia, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan bertemu Kyrgyzstan pada perlawanan pertama Isnin depan diikuti pertemuan dengan Jepun (10 November) dan tuan rumah, China (13 November).

“Secara jujurnya, kita sudah tahu Jepun dan China bakal menduduki dua tangga teratas jika berdasarkan sejarah dan kekuatan mereka. Kita pula tanpa ramai tonggak utama yang cedera.

“Sama seperti Sukan SEA 2009, saya tak letak apa-apa sasaran. Cuma yang penting, kita perlu pastikan satu keputusan positif pada perlawanan pertama bagi menentukan hala tuju seterusnya,” jelas Rajagobal.

Sembilan pemain yang terpaksa digugurkan akibat kecederaan ialah Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak, Nasriq Baharom, Baddrol Bakhtiar, Sabre Mat Abu, Bunyamin Umar, Sharbinee, Farizal dan Azmi.

Namun bagi pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal pula, dia tetap berkeyakinan skuad kebangsaan mampu berada antara 16 pasukan ke pusingan kedua dengan sekurang-kurangnya menerusi slot empat pasukan tempat ketiga terbaik dari kalangan enam kumpulan.



Tengku Abdullah mahu program berterusan


“JANGAN program ini sekadar dilakukan secara ad hoc (tanpa perancangan awal) tetapi ia perlulah dilakukan secara berterusan dengan perancangan rapi untuk tempoh 10 hingga 20 tahun.”

Demikian pesan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya peruntukan kerajaan sebanyak RM20 juta untuk pembinaan Akademi Bola Sepak Negara di Kuantan, Pahang memberi pulangan lumayan kepada pembangunan bola sepak negara.

“Dengan kewujudan akademi bola sepak ini, ia tidak bermakna kita akan mengubah program sedia ada di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) tetapi ia bakal menjadi pelengkap kepada program pembangunan akar umbi di negara ini.

“Kita perlu laksanakan program ini secara berterusan demi kepentingan skuad kebangsaan. Jika gagal dilaksanakan dengan baik, ia tidak bagus untuk perkembangan skuad kebangsaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan jersi baru skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Tengku Abdullah juga berharap agar pihaknya dapat mengadakan perbincangan segera dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi mengetahui dengan jelas apakah perancangan yang ingin dilakukan di akademi bola sepak tersebut.

“Mungkin juga road map (pelan dasar) program ini sedikit sebanyak sama dengan yang pernah dibuat Robert Alberts (bekas Pengarah Teknikal FAM). Tapi kita akan berbincang dengan pihak kementerian untuk memperkukuhkan program di akademi ini nanti,” jelasnya.

Ditanya pula tentang reka bentuk jersi baru skuad kebangsaan, Tengku Abdullah ringkas berkata: “Nampak cantik. Tapi yang penting jenamanya (Nike) dan juga mottonya iaitu Just Do It.”

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Nike Malaysia, Menaha Nadaraja berkata, jersi baru itu akan mula berada di pasaran pada Isnin depan dengan harga RM199 sehelai.

“Memang kami mendapat maklum balas jersi sebelum ini terlalu mahal (RM259). Tapi kita tak boleh jual terlalu murah kerana ini adalah jersi skuad kebangsaan, tarafnya patut sama dengan jersi negara lain seperti Brazil dan Korea Selatan,” kata Menaha.

Namun, menurut Menaha, skuad kebangsaan akan terus menggunakan jersi lama untuk saingan Sukan Asia 2010 di Guangzhou minggu depan dan jersi baru hanya akan mula dipakai pada Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta, Indonesia bermula 1 Disember depan.
Read More

Persahabatan bola sepak: Malaysia 4 Maldives 0


SKUAD bola sepak kebangsaan menang besar 4-0 ke atas Maldives pada perlawanan ujian terakhir petang semalam sebelum mereka berangkat ke Guangzhou, China Jumaat ini bagi menghadapi saingan Sukan Asia 2010 bermula Isnin depan.

Namun pada aksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya itu, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menerima satu lagi episod malang setelah pemain pertahanan tengah, Nasriq Baharom pula mengalami kecederaan agak serius pada penghujung perlawanan.

Ia sekali gus bakal melengkapkan senarai 10 pemain yang tidak akan ke Guangzhou akibat kecederaan iaitu Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak, Baddrol Bakhtiar, Sabre Mat Abu, Azmi Muslim, Bunyamin Umar, Sharbinee Allawee Ramli, Farizal Marlias dan Gary Steven Robbat.

“Inilah situasi paling sukar yang terpaksa saya hadapi. Saya tak tahu kenapa semua ini berlaku pada saat kritikal ini. Tapi saya tetap perlu optimis dan berfikiran positif.

“Mungkin ada rezeki lain yang Tuhan akan beri di sebalik segala masalah ini. Dengan ini juga, kita pasti akan beri tumpuan lebih terhadap persiapan pasukan dengan baki pemain yang ada,” kata Rajagobal ketika ditemui selepas perlawanan.

Malaysia mendahului 2-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Safee Sali pada minit ke-10 dan S. Chanturu pada minit ke-35 sebelum dua lagi jaringan diperolehi pada babak terakhir menerusi Ahmad Fakri Saarani (79) dan Amirulhadi Zainal (80).

Khairul Fahmi Che Mat yang baru diumum sebagai Penjaga Gol Terbaik 2010 membuktikan dirinya memang layak apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti pemain Maldives pada minit ke-86.

Sementara itu, Rajagobal berkata, dia hanya akan mengumumkan senarai 20 pemain terakhir ke Sukan Asia pada petang ini setelah mengadakan perbincangan terakhir bersama dua pembantunya, Tan Cheng Hoe dan Faozi Mukhlas.

“Sekarang kita boleh lihat keadaan kritikal pada posisi pertahanan pula sedangkan sebelum ini saya lebih beri tumpuan untuk menyenaraikan pemain lebih umur (23 tahun) di posisi serangan.

“Kalau dalam syarat diletakkan bahawa jurulatih boleh didaftarkan sebagai pemain, sudah tentu saya sendiri akan turun sebagai pemain pertahanan,” ujar Rajagobal yang sempat berseloroh bagi menghilangkan kerisauannya.

Berhubung situasi terkini itu, slot tiga pemain lebih umur itu dijangka bakal diisi oleh dua penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali serta tonggak pertahanan berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah.

Manakala tiga lagi pemain lebih umur yang ada dalam skuad iaitu Ashaari Shamsuddin, Amirulhadi Zainal dan S. Kunanlan mungkin terpaksa diketepikan untuk Sukan Asia sebelum kembali disenaraikan untuk Piala AFF Suzuki 2010, bulan depan.
Read More

Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM 2010: Norshahrul terbaik


PENYERANG Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM 2010 yang berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya tengah hari semalam.

Selain itu, Norshahrul yang juga penyerang kebangsaan merangkul satu lagi anugerah iaitu Penyerang Terbaik, menewaskan calon-calon lain terdiri daripada Safee Sali, Ashaari Shamsuddin, Azlan Ismail dan Zamri Hassan.

Rakan sepasukan Norshahrul dalam skuad kebangsaan dan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat turut merangkul dua anugerah iaitu Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Dua lagi tonggak skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak dari Negeri Sembilan dipilih sebagai Pemain Pertahanan Terbaik manakala Baddrol Bakhtiar dari Kedah menerima anugerah Pemain Tengah Terbaik.

Bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan pula dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik setelah berjaya membawa Kelantan muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama musim ini.

Tiga anugerah lain menyaksikan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dipilih sebagai Persatuan Bola Sepak (FA) Negeri Terbaik, Johor FC sebagai Kelab Bola Sepak (FC) Terbaik dan Kedah sebagai Kelab Penyokong Terbaik.

Norshahrul, 24, yang berasal dari Besut, Terengganu, menganggap anugerah tertinggi yang diperolehnya itu adalah hasil penat lelah dan perjuangannya sepanjang musim ini.

“Pengorbanan saya berbaloi. Anugerah ini adalah untuk isteri saya dan semua jurulatih yang pernah membimbing saya selama ini. Ia pasti membakar semangat saya untuk terus beraksi cemerlang pada Sukan Asia nanti.

"Tentang haluan musim depan, besar kemungkinan saya akan terus kekal bersama Kelantan biarpun ada menerima tawaran daripada Selangor, Negeri Sembilan dan Perak,"katanya ketika ditemui Kosmo! selepas majlis tersebut semalam.

Selain trofi, Norshahrul turut menerima wang tunai RM3,000 untuk anugerah MVP.
Pemenang untuk anugerah lain masing-masingnya menerima wang tunai RM500 setiap seorang.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Pengarah Urusan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., James Teo.

Senarai pemenang:

Pemain Paling bernilai: Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)

Pemain Penyerang Terbaik: Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)

Pemain Tengah Terbaik: Baddrol Bakhtiar (Kedah)

Pemain Pertahanan Terbaik: Aidil Zafuan Abdul Radzak (Negeri Sembilan)

Penjaga Gol Terbaik: Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)

Pemain Muda Terbaik: Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)

Jurulatih Terbaik: B. Sathianathan (Kelantan)
Read More

Final Piala Malaysia 2010: Kelantan 2 Negeri Sembilan 1


KELANTAN akhirnya berjaya mencipta sejarah baru apabila muncul selaku juara Piala Malaysia buat julung kalinya sejak 89 tahun lalu.

Kejayaan itu dicatat selepas menang tipis 2-1 ke atas juara bertahan, Negeri Sembilan pada aksi final edisi ke-84 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Disaksikan kira-kira 75,000 penonton kedua-dua pasukan, Kelantan menamatkan penantian untuk menjadi pasukan ke-14 berjaya menjuarai kejohanan berprestij yang mula diperkenalkan pada tahun 1921 itu.

Selepas tiga kali gagal di pentas final iaitu pada tahun 1955, 1970 dan 2009, kejayaan itu turut dianggap hadiah paling istimewa buat Sultan Muhammed Ke-V yang baru saja ditabalkan sebagai Sultan Kelantan yang baru pada 13 September lalu.

Bagi Negeri Sembilan pula, mereka kempunan untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu, sekali gus gagal untuk muncul juara buat kali ketiga setelah kali pertama melakukannya pada tahun 1948.

Ternyata, tuah lebih memihak kepada skuad The Red Warriors yang dilihat tampil dengan semangat juang yang begitu tinggi biarpun suatu ketika ketinggalan 0-1 kepada Negeri Sembilan.

Pada aksi semalam, Negeri Sembilan yang di bawah kendalian Wan Jamak Wan Hassan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penyerang, Shahurain Abu Samah pada minit ke-13 hasil daripada sepakan penalti yang diperoleh selepas penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menjatuhkan S. Kunanlan di dalam kotak penalti.

Tersentak dengan jaringan awal pihak lawan, Kelantan kembali memperkemaskan jentera serangan mereka bagi mencari gol penyamaan namun masih gagal memecah kebuntuan sehinggalah tamat babak pertama perlawanan.

Sebaik babak kedua, bersambung Kelantan yang dibimbing B. Sathianathan terus melancarkan serangan bertali arus ke arak kubu pertahanan Negeri Sembilan.

Kerja keras barisan kesebelasan utama Kelantan akhirnya membuahkan hasil apabila bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar berjaya meledak gol penyamaan buat skuad The Red Warriors selepas menanduk masuk hantaran lintang daripada Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-56.

Selang lapan minit kemudian, skuad The Red Warriors membuktikan betapa mereka berhak memenangi perlawanan tersebut selepas Mohd. Badri Mohd. Radzi muncul sebagai wira apabila meledak gol kemenangan buat pasukannya, sekali gus menambah derita buat Negeri Sembilan yang dikendalikan oleh Wan Jamak Wan Hassan.

Terdahulu, kapten Negeri Sembilan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan dan digantikan dengan Mohd. Firdaus Azizul pada minit ke-57.

Beberapa pertukaran yang dilakukan Wan Jamak terhadap barisan pemainnya bagi mempertajamkan jentera serangan skuad kendaliannya itu masih belum mampu memecahkan keutuhan benteng pertahanan Kelantan yang diketuai Rizal Fahmi Abdul Rosid dan Mohd. Farisham Ismail.

Malam bersejarah buat skuad Kelantan akhirnya menjelma apabila pengadil perlawanan, Subkhiddin Mohd. Salleh meniup wisel penamat, sekali gus menyaksikan ribuan penyokong The Red Warriors.

Mereka yang hadir memberi sokongan dilihat berpesta meraikan kejayaan pertama pasukan kesayangan mereka itu menjulang trofi paling berprestij tanah air.

NEGERI SEMBILAN: 21. Sani Anuar Kamsani, 5. Alif Samsudin, 7. Aidil Zafuan Radzak (c) (19. Firdaus Azizul), 12. Shukor Adan, 3. Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad, 6. S. Kunanlan, 16. Qhairul Anwar Roslani (10. Shaffik Abdul Rahman), 20. Abdul Halim Zainal, 15. Ching Hong Aik (28. Asyraf Al Japri), 17. Idris Karim, 9. Shahurain Abu Samah

KELANTAN: 19. Khairul Fahmi Che Mat, 15. Daudsu Jamaludin (14. Akmal Rizal Rakhli), 6. Farisham Ismail, 17. Rizal Fahmi Rosid, 24. Zairul Fitree Ishak, 10. Nor Farhan Muhammad, 8. Shakir Shaari (5. Khairan Eroza Razali), 16. Badhri Radzi, 23. Indra Putra Mahayuddin (c), 9. Norshahrul Idlan Talaha (13. S. Chanturu), 20. Hairuddin Omar.

PENGADIL: Subkhiddin Mohd. Salleh.



Semangat pemain julang Kelantan

KESUNGGUHAN para pemain untuk muncul juara dianggap jurulatih Kelantan, B. Sathianathan sebagai kunci utama kejayaan skuad Red Warriors itu menundukkan Negeri Sembilan 2-1 malam tadi.

Kata-kata Sathianathan di bilik persalinan ketika waktu rehat separuh masa pertama nyata membuatkan para pemain tidak patah semangat biarpun mereka ketinggalan 0-1 menerusi sepakan penalti Shahurain Abu Samah pada minit ke-13.

“Saya bangga dengan pemain kerana nak menang buat kali pertama bukan sesuatu yang mudah. Tapi semua pemain mahukan kemenangan pada perlawanan ini.

“Memang kami ketinggalan 0-1 tetapi gol Negeri Sembilan itu diperolehi terlalu awal dan masih ada masa untuk kami cari gol. Itu sebab kami tak berasa risau,” kata Sathianathan pada sidang media selepas perlawanan.

Biarpun berjaya membawa Kelantan muncul juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super musim ini, Sathianathan menyerahkan kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sama ada mahu terus menggunakan khidmatnya bagi musim depan atau tidak.

Ini memandangkan dia masih berisiko untuk digantung enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) andai rayuannya ditolak.

“Saya akan rehat dahulu dan bercuti. Terpulang kepada Tan Sri Annuar Musa (Presiden Kafa) untuk buat keputusan. Apa pun boleh jadi. Saya tak pasti lagi. Kena tunggulah dahulu keputusan FAM,” jelas Sathianathan.

Pada perlawanan akhir edisi ke-84 malam tadi, Kelantan bangkit dengan menghasilkan dua gol pada babak kedua menerusi tandukan Hairuddin Omar pada minit ke-56 dan rembatan Badhri Radzi pada minit ke-64 untuk memastikan kemenangan mutlak 2-1.

Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Hassan pula menyifatkan ketiadaan kapten, Aidil Zafuan Radzak yang mengalami kecederaan pada awal babak kedua sebagai punca pertahanan mereka tiba-tiba rapuh.

“Memang apabila ketiadaan Aidil, nampak jurang cukup besar pada bahagian pertahanan kami kerana Alif Samsudin (yang terpaksa bergandingan dengan Shukor Adan) dan Qhairul Anwar Roslani (yang turun menjadi bek kanan) tiada pengalaman seperti Aidil.

“Kelantan berjaya ambil kesempatan itu dengan menjaringkan dua gol. Tentang Aidil, mengikut laporan awal dia mengalami kecederaan miniskus pada lututnya.

“Tapi secara keseluruhannya, saya tak malu dengan kekalahan ini jika dilihat senarai pemain kami berbanding dengan barisan pemain Kelantan," kata Wan Jamak yang terpaksa akur berpuas hati dengan satu gelaran iaitu juara Piala FA bagi musim ini.



Kelantan dapat cuti

KEJAYAAN menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada aksi final kempen Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi ternyata memberikan 1001 kenangan manis buat seluruh rakyat negeri Cek Siti Wan Kembang itu.

Apa tidaknya, selain berjaya melakar sejarah menjulang trofi paling berprestij itu buat julung kalinya, kerajaan Kelantan menerusi Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob mengistiharkan hari ini sebagai cuti umum buat seluruh warga negeri tersebut.

Ternyata, perkara itu disambut baik seluruh rakyat Kelantan terutamanya kepada penyokong-penyokong setia The Red Warriors yang sanggup mengembara beratus kilometer bagi memberi sokongan kepada pasukan kesanyangan mereka itu.

Ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan turut berkongsi kegembiraan tersebut sambil menyifatkan langkah kerajaan negeri adalah suatu yang wajar bagi mengelak sebarang kecelakaan berlaku apabila penyokong-penyokong yang hadir ke stadium tidak perlu tergesa-gesa untuk kembali ke kampung halaman masing-masing.

"Ia merupakan hadiah pihak kerajaan negeri kepada penyokong-penyokong yang telah datang daripada jauh untuk memberikan sokongan kepada pasukan kerana mereka juga adalah satu faktor yang menyumbang kepada kejayaan malam ini (semalam).

"Kejayaan kami (Kelantan) muncul juara pada edisi kali ini juga adalah hadiah istimewa buat Sultan Muhammed Ke-V yang baru saja ditabalkan sebagai Sultan Kelantan yang baru," jelas Sathianathan yang baru dua musim membimbing Kelantan.
Read More

Persahabatan bola sepak: Malaysia 3 PKNS 0


SKUAD bola sepak kebangsaan berjaya menewaskan PKNS FC 3-0 pada aksi persahabatan di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang tadi.

Ia merupakan perlawanan ujian kedua skuad Rajagobal itu setelah mereka menang tipis 3-2 ke atas ATM pada Isnin lalu.

Penyerang Harimau Muda A, Izzaq Faris Ramlan menjaringkan dua gol manakala satu lagi gol disumbang pemain Kedah, Khyril Muhymeen Zambri.

Rajagobal menurunkan kesebelasan serupa ketika bertemu ATM kecuali posisi sayap kanan yang diisi Faizal Abu Bakar menggantikan Ahmad Fakri Saarani.

Zamir Selamat di pintu gol, Nasriq Baharom dan Muslim Ahmad sebagai bek tengah, Mahali Jasuli dan Asraruddin Putra Omar masing-masing bek kanan dan kiri.

Tengah dijana Safiq Rahim dan Amar Rohidan manakala posisi sayap kanan, Faizal Abu Bakar dan sayap kiri, Ashaari Shamsuddin manakala Safee Sali dan Izzaq Faris bergandingan di bahagian serangan.

(1-0)
Baru dua minit permainan bermula, Malaysia sudah berjaya memperolehi gol pertama menerusi rembatan kencang Izzaq dari dalam kotak penalti.

Minit ke-33, Rajagobal memasukkan Faizal Muhammad bagi menggantikan Nasriq.

(2-0)
Gol kedua Malaysia terhasil pada minit ke-35 apabila Izzaq menanduk kemas hantaran Safee dari sebelah kiri.

Tamat separuh masa pertama, Malaysia mendahului PKNS 2-0.

Bermula babak kedua, Rajagobal membuat empat pertukaran dengan memasukkan Norhafiz Zamani Misbah menggantikan Muslim, Amirulhadi Zainal menggantikan Safee, Khyril menggantikan Ashaari dan Fadhli Shas menggantikan Asraruddin.

Zamani bergandingan dengan Faizal Muhammad di bek tengah, Fadhli di bek kiri manakala Amirulhadi bertindak sebagai sayap kanan setelah Faizal Abu Bakar ditolak sebagai penyerang bergandingan dengan Izzaq.

Namun tidak banyak gerakan menarik berjaya dilakukan oleh gandingan baru pemain negara ini pada awal babak kedua.

Minit ke-61, Rajagobal melakukan pertukaran penjaga gol dengan memasukkan Farizal Marlias menggantikan Zamir.

Minit ke-63, dua pertukaran serentak dibuat iaitu memasukkan Fandi Othman menggantikan Mahali dan Gary Steven Robbat menggantikan Izzaq.

Fandi mengisi bek kiri dengan Fadhli ditolak untuk bersama Zamani di bek tengah, Faizal Muhammad ditolak ke bek kanan.

Gary pula bergandingan dengan Faizal Abu Bakar di bahagian serangan.

(3-0)
Minit ke-89, Malaysia memperolehi gol ketiga menerusi rembatan kencang Khyril dari luar kotak penalti.

Malaysia selepas ini akan menghadapi perlawanan ujian terakhir bertemu skuad B-23 Maldives di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Selasa depan, pukul 5 petang sebelum berlepas ke Guangzhou pada 5 November.

MALAYSIA:

Zamir (Farizal)
Mahali (Fandi) - Nasriq (Faizal M) - Muslim (Zamani) - Asra (Fadhli)
Faizal AB - Safiq - Amar - Ashaari (Khyril)
Safee (Amirulhadi) - Izzaq (Gary)

Tak main: Sharbinee Allawee, Sabre Abu, Azmi Muslim, Baddrol Bakhtiar, Gurusamy, Ahmad Fakri Saarani.

Belum masuk kem: Khairul Fahmi, Norshahrul Idlan, Chanturu, Aidil Zafuan, Kunanlan, Abdul Halim Zainal.
Read More

Persahabatan bola sepak: Malaysia 3 ATM 2


SELEPAS seminggu berlatih bersama, skuad bola sepak kebangsaan mengadakan perlawanan ujian pertama menentang skuad Liga Perdana ATM di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang tadi.

Keputusannya, skuad kebangsaan bimbingan K. Rajagobal itu mencatat kemenangan tipis 3-2 biarpun ketinggalan dua kali.

ATM jelas turut beraksi dengan baik memandangkan mereka kini sedang dalam persiapan menghadapi kemungkinan perlawanan playoff ke Liga Super 2011.

Rajagobal menurunkan penjaga gol skuad Harimau Muda A, Zamir Selamat dalam kesebelasan utama.

Ini kerana Khairul Fahmi Che Mat masih bersama skuad Kelantan untuk menghadapi final Piala Malaysia pada Sabtu ini.

Manakala Sharbinee Allawee Ramli sekadar menjalani latihan ringan buat masa ini akibat kecederaan ligamen atas bahu kanannya yang koyak.

Seorang lagi penjaga gol, Farizal Marlias yang baru pulih daripada kecederaan patah tulang pipi masuk menggantikan Zamir pada minit ke-65 dengan memakai topeng pelindung muka.

Di barisan pertahanan, Nasriq Baharom dan Muslim Ahmad membentuk gandingan di tengah manakala Mahali Jasuli di kanan dan Asraruddin Putra Omar di kiri.

Jentera tengah pula digerakkan Safiq Rahim dan Amar Rohidan manakala sayap kanan, Ahmad Fakri Saarani dan sayap kiri, Ashaari Shamsuddin.

Safee Sali dan Izzaq Faris Ramlan bergandingan di barisan serangan.

Tempo awal permainan agak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling bertukar kawalan bola sambil tidak banyak percubaan tepat berjaya dilakukan.

Minit ke-35, Rajagobal mengeluarkan Izzaq yang kurang berkesan sebagai penyerang utama dan memasukkan Amirulhadi Zainal.

Safee bergandingan dengan Fakri manakala Amirulhadi mengisi posisi sayap kanan.

(0-1)
Minit ke-38, ATM menjaringkan gol pertama hasil rembatan cantik bekas pemain Harimau Muda, Khairul Izuwan Rosli dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Zamir.

(1-1)
Minit ke-40, Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi ketenangan Ashaari yang mengawal bola dalam kotak penalti sebelum menewaskan penjaga gol ATM.

Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 1-1.

Minit ke-50, Rajagobal memasukkan Norhafiz Zamani Misbah menggantikan Muslim dan Khyril Muhymeen Zambri menggantikan Ashaari.

Nasriq bergandingan dengan Zamani di pertahanan tengah manakala Khyril mengisi posisi sayap kiri.

Minit ke-52, Gary Steven Robbat masuk menggantikan Fakri. Gary berperanan sebagai pemain tengah menyerang di hadapan Safiq dan Amar untuk membantu penyerang utama, Safee.

(1-2)
Minit ke-60, ATM mendapat gol kedua menerusi Venice Elphi Dannykaya yang berjaya mengatasi pertahanan kiri Malaysia, Asraruddin sebelum menyepak masuk menewaskan Zamir.

Minit ke-61, Faizal Muhammad menggantikan Nasriq manakala Fadhli Shas menggantikan Asraruddin.

Faizal bergandingan dengan Zamani di pertahanan tengah dan Fadhli mengisi posisi pertahanan kiri.

(2-2)
Minit ke-64, Malaysia memperolehi gol penyamaan menerusi Safee yang menanduk masuk hantaran Amirulhadi dari sebelah kanan.

Minit ke-65, Farizal Marlias masuk menggantikan Zamir. Ia perlawanan pertama Farizal sepanjang tempoh pemulihan kecederaan selama tiga bulan.

Minit ke-70, Faizal Abu Bakar masuk menggantikan Safiq. Faizal menggalas tugas sebagai pemain tengah menyerang di hadapan Amar dan Gary bagi membantu Safee.

(3-2)
Minit ke-72, Safee menjaringkan gol kedua peribadinya yang juga gol ketiga Malaysia selepas menolak kemas lorongan cantik Amirulhadi dari sebelah kiri.

Malaysia akan bertemu PKNS FC pada perlawanan ujian ke-2 pada Khamis ini dan bertemu skuad kebangsaan Maldives pada perlawanan ujian ke-3 pada Selasa depan.

Selepas itu, skuad kebangsaan akan berlepas ke Guangzhou, China pada 5 November depan untuk menghadapi saingan Sukan Asia 2010.

Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan A akan bertemu Kyrgyzstan pada 8 November, Jepun pada 10 November dan China pada 13 November.

MALAYSIA:

Zamir (Farizal)
Mahali - Nasriq (Faizal M) - Muslim (Zamani) - Asra (Fadhli)
Fakri (Gary) - Safiq (Faizal AB) - Amar - Ashaari (Khyril)
Safee - Izzaq (Amirul)

Tak main: Sharbinee, Sabre Abu, Azmi Muslim, Baddrol Bakhtiar, Gurusamy, Fandi Othman.

Belum masuk kem: Khairul Fahmi, Norshahrul Idlan, Chanturu, Aidil Zafuan, Kunanlan.
Read More

Harimau Muda A mula mengaum di bumi Slovakia


SKUAD bola sepak bawah 21 tahun negara, Harimau Muda A akhirnya mencatat kemenangan sulung pada perlawanan kesembilan di Slovakia selepas menewaskan LAFC Lucenec 3-1 di Zlate Moravce malam kelmarin.

Pada lapan perlawanan terdahulu sejak 5 September lalu, Harimau Muda A telah tewas lima kali iaitu kepada Ruzomberok B (1-3), Slovan Duslo Sala (1-2), Zemplin Michalovce (0-2), Dolny Kubin (0-1) dan Senec (1-3).

Tiga lagi perlawanan menyaksikan mereka berjaya mencatat keputusan seri iaitu dengan FC Petrazalka (2-2), Bodva Moldava (1-1) dan Liptovsky Mikulas (1-1).

Pada aksi kelmarin, Lucenec yang kini menduduki tangga ketiga Liga 1 Slovakia mendahului pada minit ke-25 menerusi Lucac Milan.

Namun Harimau Muda A berjaya membalas tiga gol pada babak kedua menerusi Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria (67), Shukur Jusoh (70) dan Syahrul Azwari Ibrahim (76).

Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee berkata, kemenangan itu dicapai hasil peningkatan para pemain muda yang majoritinya dari kelompok usia 17, 18 dan 19 tahun setelah mereka kehilangan sembilan pemain utama yang kini bersama skuad kebangsaan.

“Walaupun skuad ini hanya memiliki 16 pemain ketika ini, kita masih berjaya mendapatkan juga kemenangan sulung di Slovakia. Jelas para pemain ini telah menunjukkan peningkatan dari satu perlawanan ke perlawanan lain.

“Saya harap prestasi baik ini dapat dikekalkan untuk baki tiga perlawanan terakhir menentang Puchov (26 Oktober), Rimavska Sobota (2 November) dan Trencein (9 November),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam.

Jelas Kim Swee, Harimau Muda A turut akan beraksi sekurang-kurangnya dua lagi perlawanan tambahan selepas itu iaitu menentang skuad B-21 Austria, Republik Czech atau Hungary sebelum mereka pulang ke tanah air pada 20 November depan.

Sementara itu, mengulas keputusan undian pusingan pertama kelayakan Sukan Olimpik 2012 semalam yang menyaksikan Malaysia akan berdepan Pakistan pada aksi timbal balik 23 Februari dan 9 Mac 2011, Kim Swee berkata, beliau yakin skuadnya mampu melangkah ke pusingan kedua.

“Kita tak pandang rendah Pakistan biarpun ranking mereka lebih bawah daripada Malaysia. Tapi dengan persiapan di Slovakia ini dan mungkin juga penyertaan ke Piala Obama (di Amerika Syarikat) pertengahan Februari depan, saya yakin kita mampu mempamerkan keputusan yang baik.

“Kita juga akan beraksi dalam Liga Super 2011 bermula Januari depan dan saya harap jadual perlawanan dapat disusun dengan baik agar persiapan kita untuk kelayakan Olimpik ini berjalan lancar.

“Jika berjaya melepasi Pakistan, saya harap kita tidak diundi bertemu lawan terlalu sukar pada pusingan kedua (19 dan 23 Jun 2011) supaya kita dapat melangkah ke saingan akhir peringkat kumpulan,” jelas Kim Swee.

Skuad Harimau Muda A bakal berperanan sebagai skuad Olimpik Malaysia bermula awal tahun depan.

INFO:

KEPUTUSAN UNDIAN
PUSINGAN PERTAMA KELAYAKAN OLIMPIK 2012

THAILAND lwn PALESTINE
JORDAN lwn TAIWAN
YEMEN lwn SINGAPURA
KUWAIT lwn BANGLADESH
MALAYSIA lwn PAKISTAN
UAE lwn SRI LANKA
INDIA lwn MYANMAR
OMAN lwn TAJIKISTAN
INDONESIA lwn TURKMENISTAN
IRAN lwn KYRGYZSTAN
HONG KONG lwn MALDIVES

* Perlawanan timbal balik pada 23 Februari 2011 dan 9 Mac 2011.
Read More

Norhafiz antara tujuh dipanggil


TUJUH pemain dipanggil semula menyertai latihan skuad bola sepak kebangsaan yang sedang dalam persiapan menghadapi Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China, bulan depan.

Mereka antara 30 pemain yang akan memulalakan sesi latihan di bawah kendalian jurulatih, K. Rajagobal hari ini.

Pemain-pemain terbabit terdiri daripada Norhafiz Zamani Misbah (KL Plus), Amirulhadi Zainal (Selangor), Ashaari Shamsuddin (Terengganu), Farizal Marlias (Perlis), Khyril Muhymeen Zamri (Kedah), S. Chanturu (Kelantan) dan Faizal Muhammad (Harimau Muda A).

Namun hanya 20 daripada 30 pelatih yang disenarai oleh Rajagobal itu akan memulakan sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada hari ini.

Manakala baki 10 pelatih iaitu lima pemain Kedah, tiga pemain Kelantan dan dua pemain Negeri Sembilan hanya akan menyertai kem sejurus pasukan mereka tersingkir daripada saingan Piala Malaysia.

Skuad bola sepak kebangsaan akan berlepas ke Guangzhou pada 5 November depan untuk menghadapi tiga perlawanan peringkat Kumpulan A bertemu Kyrgyzstan pada 8 November, Jepun pada 10 November dan China pada 13 November.

Andai berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan A itu atau menjadi empat pasukan di tempat ketiga terbaik dari kalangan enam kumpulan, Malaysia akan layak ke pusingan kedua yang akan berlangsung pada 15 dan 16 November.

Aksi suku akhir dijadualkan pada 19 November, separuh akhir pada 23 November dan final pada 25 November.

Namun senarai akhir 20 pemain ke Guangzhou itu akan diumumkan Rajagobal beberapa hari sebelum mereka berlepas ke sana dengan hanya tiga pemain melebihi usia 23 tahun boleh diserapkan dalam pasukan.

Dalam senarai 30 pelatih ketika ini, terdapat sembilan pemain senior cuba merebut tiga slot tersebut iaitu Sharbinee Allawee Ramli, 24, Norshahrul Idlan Talaha, 24, S. Kunanlan, 24, Safee Sali, 26, Azmi Muslim, 24, Norhafiz, 29, Amirulhadi, 24, Ashaari, 25, dan Farizal, 24.

“Saya panggil 30 pemain ini untuk melihat prestasi mereka. Hanya tiga pemain lebih umur akan ke Sukan Asia tetapi bagi saingan Piala AFF Suzuki (bermula 1 Disember), saya masih belum buat keputusan.

“Mungkin saya akan senaraikan di kalangan 30 pemain ini atau mungkin juga saya akan panggil beberapa pemain lain yang difikirkan sesuai,” kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! semalam.

INFO:
SENARAI 30 PELATIH SKUAD BOLA SEPAK KEBANGSAAN KE SUKAN ASIA 2010

PENJAGA GOL: Sharbinee Allawee Ramli (TER), Khairul Fahmi Che Mat (KEL), Zamir Selamat (HM), Farizal Marlias (PLS).

PERTAHANAN: Aidil Zafuan Radzak (NS), Asraruddin Putra Omar, Nasriq Baharom (SEL), Azmi Muslim, Sabre Mat Abu (KDH), Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Fadhli Shas, Faizal Muhammad (HM), Norhafiz Zamani Misbah (PLUS).

TENGAH: Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal (SEL), S. Kunanlan (NS), Amar Rohidan (PLS), Baddrol Bakhtiar, Faizal Abu Bakar, Khyril Muhymeen Zambri (KDH), K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Fandi Othman (HM), S. Chanturu (KEL).

PENYERANG: Norshahrul Idlan Talaha (KEL), Izzaq Faris Ramlan (HM), Safee Sali (SEL), Ahmad Fakri Saarani (PLS), Ashaari Shamsuddin (TER).
Read More

Sukan Asia: Bukan kumpulan maut

MALAYSIA diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, China, Jepun dan Kyrgyzstan pada majlis undian acara bola sepak Sukan Asia 2010 yang berlangsung di The Garden Hotel, Guangzhou, China semalam.

Namun pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal tidak menganggap ia sebagai 'kumpulan maut', sebaliknya berasakan ada hikmahnya Malaysia diletakkan satu kumpulan bersama gergasi Asia, Jepun dan China.

"Bagi saya, undian ini memberi hikmah kepada kita kerana dapat peluang untuk menguji kehandalan dengan Jepun.

"Kita tahu mereka bukan lagi taraf Asia ketika ini tetapi inilah peluang pemain kita membuktikan bahawa jurang kita dengan Jepun tidaklah terlalu besar.

"Perlawanan dengan China pula pasti memberi suasana yang menarik kerana kita berdepan pasukan tuan rumah," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menambah, sasaran Malaysia ialah untuk mencipta kejutan layak ke pusingan kalah mati setelah kali terakhir berjaya melakukannya pada Sukan Asia 1978 di Bangkok, Thailand.

"Kita bertekad untuk mempamerkan satu persembahan terbaik dan berkualiti di Guangzhou nanti. Jika berjaya mara ke pusingan kedua, ia sudah boleh dianggap kemenangan besar buat bola sepak Malaysia.

"Kalau nak kata tiada harapan kerana kita diundi bersama Jepun dan China, bola itu bulat.
"Yang penting kita main dengan penuh kesungguhan dan saya yakin jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal dapat menyediakan sebuah pasukan yang mantap," jelasnya.

Skuad negara bakal berlepas ke Guangzhou pada 5 November depan kerana acara bola sepak akan bermula 7 November biarpun upacara pembukaan temasya Sukan Asia 2010 hanya akan berlangsung 12 November.

Acara bola sepak bakal berlangsung di tujuh venue sekitar Guangzhou iaitu Stadium Ying Dong, Stadium Huadu, Stadium Huangpu, Stadium Yuexiu, Stadium Rakyat Guangdong, Stadium Huagdong dan Stadium Tianhe.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan dan empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan kedua.

Untuk rekod, Malaysia memenangi pingat gangsa acara bola sepak pada Sukan Asia sebanyak dua kali iaitu pada edisi 1962 dan 1974.
Read More

Sukan Asia: Aksi pembukaan jadi penentu


K. RAJAGOBAL tidak terlalu berharap Malaysia diletakkan sama kumpulan dengan mana-mana pasukan menjelang majlis undian acara bola sepak Sukan Asia 2010 di The Garden Hotel, Guangzhou, China hari ini.

Sebaliknya, jurulatih skuad kebangsaan itu menganggap perlawanan sulung yang dijadualkan berlangsung pada 7 November nanti merupakan sesuatu yang lebih penting.

“Bagi saya, tak kisahlah sama ada Malaysia diletakkan dalam kumpulan mana. Dalam bola sepak, kita perlu sentiasa menghormati mana-mana pasukan tanpa mengira mereka kuat atau lemah.

“Apa pun, perlawanan pertama di Guangzhou nanti sangat penting untuk kita mencari satu keputusan yang baik untuk mencerahkan peluang mara ke peringkat seterusnya,” kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada saingan Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar, skuad negara yang ketika itu dibimbing Norizan Bakar tewas 1-3 kepada Oman pada perlawanan pertama sebelum tewas dalam dua lagi baki aksi Kumpulan E iaitu kepada China (1-3) dan Iraq (0-4).

Menurut laporan laman web rasmi Sukan Asia 2010, www.gz2010.cn semalam, sebanyak 24 pasukan telah mengesahkan pendaftaran untuk acara bola sepak iaitu Bahrain, Bangladesh, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), China, Hong Kong, India, Iran.

Jepun, Jordan, Korea Selatan, Korea Utara, Kuwait, Kyrgyzstan, Malaysia, Maldives, Oman, Pakistan, Palestin, Qatar, Singapura, Thailand, Turkmenistan, Uzbekistan dan Vietnam.

24 pasukan ini akan diletakkan dalam enam kumpulan pada majlis undian hari ini bagi saingan tersebut yang hanya membenarkan setiap pasukan menyenaraikan tiga pemain senior melebihi usia 23 tahun.

Rajagobal turut meminta para penyokong bola sepak negara faham dengan situasinya dalam memilih 20 pemain terbaik untuk dibawa ke Guangzhou pada 5 November depan.

“Peminat kena tahu, saya perlu hantar senarai awal nama 45 pemain sebelum senarai itu dikecilkan pula kepada 30 pemain. Ketika kejohanan sudah hampir nanti, saya perlu hantar pula senarai akhir 20 pemain.

“Jadi saya tak boleh nak selitkan mana-mana pemain baru yang tiba-tiba menyinar pada Piala Malaysia sedangkan sepanjang saingan Liga Super aksinya tidak begitu memberangsangkan,” jelas Rajagobal.
Read More

Pendedahan berguna di Vietnam

HO CHI MINH CITY - Andai dinilai keputusan dicatat skuad bola sepak kebangsaan sepanjang Piala Eximbank Millenium Thang Long 2010 yang berakhir kelmarin, ramai yang mungkin kecewa dan menganggap prestasi mereka semakin merosot.

Namun keputusan yang diraih bukanlah penanda aras bagi kejohanan bertaraf jemputan atau sekadar perlawanan persahabatan ini kerana ia lebih dianggap sebagai medan membina pasukan mantap.

Biarpun Malaysia menamatkan saingan di tangga tercorot daripada empat pasukan bertanding di belakang Vietnam, Iran dan Singapura menerusi pencapaian sekali seri dan dua kali tewas, persembahan skuad bimbingan K. Rajagobal ini terutama dari segi penguasaan perlawanan wajar dipuji.

Pada aksi sulung di Stadium Thong Nhat, Selasa lalu, Malaysia tewas 1-2 kepada tuan rumah, Vietnam.

Jika tidak kerana kesilapan barisan pertahanan melepaskan dua gol awal pada 25 minit pertama, keputusan perlawanan pasti berubah.

Ini kerana, bermula minit ke-30 hingga minit ke-90, skuad negara telah mendominasi perlawanan tetapi hanya satu gol berjaya dijaringkan menerusi Norshahrul Idlan Talaha.
Pada aksi kedua Khamis lalu pula, Malaysia tewas 0-2 kepada Iran.

Kekalahan kepada Iran tidak boleh dijadikan ukuran kerana skuad negara meneruskan baki 32 minit permainan dengan 10 pemain selepas Nasriq Baharom dilayangkan kad merah.

Jika tidak kerana 'bantuan' pengadil tuan rumah, Phung Dinh Dung yang mendakwa jaringan Safee Sali pada minit ke-30 ofsaid dan hadangannya terhadap sepakan Safiq Rahim yang menghasilkan gol pertama Iran pada minit ke-41, anak-anak buah Rajagobal boleh menang berdasarkan deretan peluang terutama pada babak pertama.

Pada aksi terakhir kelmarin, bukan keputusan seri 0-0 dengan Singapura sepatutnya dicatat skuad kebangsaan kerana mereka bukan saja menguasai sepenuhnya perlawanan, malah dihidangkan deretan peluang sama ada sipi atau digagalkan oleh kecekapan penjaga gol lawan, Lionel Lewis.

Bagi Rajagobal, peluang untuk mencuba semua 20 pemain yang dibawa serta memberi pendedahan kepada mereka menghadapi tekanan pada perlawanan kompetitif adalah lebih penting.

Menurutnya, tempoh persiapan semakin singkat kerana saingan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China hanya berbaki sebulan lagi manakala saingan Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta, Indonesia akan menyusul pada 1 Disember depan.

"Memang kita datang ke Vietnam ini bukan dengan sasaran untuk muncul juara. Apa yang lebih penting adlaah untuk menilai, memberi peluang dan memilih pemain. Saya cuma mahu lihat mereka mempamerkan permainan baik.

"Ketika bertemu Vietnam dan Iran, biarpun ketinggalan kita boleh nampak pemain mampu bangkit semula. Cuma pada kejohanan ini kita kurang bernasib baik untuk menjaringkan gol biarpun banyak peluang dicipta.

"Bahagian serangan kita ada menunjukkan peningkatan, cuma kita kurang kemas dengan tindakan penyudah. Kita boleh bersaing dengan pasukan lain.

"Saya juga memang kesuntukan masa untuk menilai pemain sebelum memilih skuad 20 pemain ke Sukan Asia nanti.

"Jadi di Vietnam inilah menjadi landasan terbaik untuk saya menilai watak dan kemampuan setiap pemain dalam menghadapi tekanan perlawanan," kata Rajagobal ketika ditemui sebelum berlepas pulang ke tanah air pagi semalam.

Daripada 20 pemain yang dibawa Rajagobal ke Vietnam, empat pemain senior sedang merebut tiga slot pemain lebih usia 23 tahun untuk ke Sukan Asia iaitu penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, S. Kunanlan, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali.

Berdasarkan susunan pemain dan prestasi mereka sepanjang tiga perlawanan menentang Vietnam, Iran dan Singapura, bayangan pemain yang bakal dibawa Rajagobal ke Guangzhou sudah boleh diramal.

Posisi penjaga gol telah menampakkan keyakinan apabila kedua-dua penjaga gol sama ada Sharbinee, 24, atau penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, 21, beraksi cemerlang.

Posisi pertahanan tengah menampilkan gandingan kukuh ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak dan Nasriq Baharom. Namun gandingan Aidil dan Muslim Ahmad pada aksi bertemu Singapura selepas Nasriq digantung perlawanan juga nampak mantap.

Sabre Mat Abu dan Mahali Jasuli pula bergilir-gilir mengemudi posisi pertahanan kanan manakala Asraruddin Putra Omar perlu berasa bimbang kerana Fadhli Shas turut beraksi cemerlang ketika diletakkan di posisi pertahanan kiri.

Jentera tengah hampir pasti menjadi milik Safiq Rahim dan Amar Rohidan.

Gary Steven Robbat yang dimasukkan pada 10 minit terakhir belum menampakkan kredibilitinya. Mungkin kehadiran semula K. Gurusamy yang tidak dibawa kerana cedera mampu memantapkan posisi ini.

Bagi posisi sayap kiri atau kanan, Rajagobal memiliki banyak pilihan kerana pemain yang ada seperti Kunanlan, Baddrol Bakhtiar, Fandi Othman, Faizal Abu Bakar dan Ahmad Fakri Saarani mampu memikul tugas yang diberikan dengan berkesan.

Jentera serangan pula yang diketuai Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha perlu memperkemaskan sentuhan penyudah sambil penyerang berusia 20 tahun, Izzaq Faris Ramlan perlu diberi lebih peluang berdasarkan prestasi baik ditunjukkannya pada aksi bertemu Singapura.

Kata Rajagobal: "Saya kini cuma boleh berharap dan berdoa supaya tiada lagi kecederaan menimpa para pemain. Cukuplah saya sudah kehilangan Farizal Marlias, Zaquan Adha Radzak dan Bunyamin Umar akibat kecederaan panjang.

"Selain itu, saya juga mahu melihat Khyril Muhymeen Zambri menampilkan semula aksi sebenarnya pada baki saingan Piala Malaysia untuk membolehkan saya memanggilnya kembali."

Majlis undian acara bola sepak bagi saingan Sukan Asia dijangka akan berlangsung pada Khamis ini bagi menentukan kedudukan kumpulan pasukan.

"Situasi bukan senang. Pemain kini kembali bersama negeri masing-masing untuk Piala Malaysia dan final akan berlangsung pada 30 Oktober. Saya hanya dapat kumpul semula pemain pada 31 Oktober dan kita akan berlepas ke Guangzhou pada 5 November," jelas Rajagobal.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal berharap para peminat bola sepak tempatan menerima kekalahan atau kegagalan skuad negara untuk mencatat keputusan baik pada Piala Eximbank Millenium Thang Long 2010 dengan realistik.

"Tujuan kita datang ke Vietnam ini adalah untuk pendedahan dan persiapan ke Sukan Asia. Jadi soal menang atau kalah di sini tidak terlalu penting.

"Apa yang lebih penting, kita mendapat satu proses persiapan yang cukup memuaskan di sini dan berusaha untuk mencapai keputusan terbaik apabila beraksi pada Sukan Asia nanti.

"Kita akan baiki segala kelemahan dan kekurangan yang dapat dilihat sepanjang tiga perlawanan di sini.

"Saya juga berkeyakinan bahawa Rajagobal mampu menghasilkan satu gandingan pemain yang terbaik," kata Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


INFO:

JUMLAH MINIT PERLAWANAN SETIAP PEMAIN:

Pemain / Lawan Vietnam Iran Singapura Jumlah (minit)

Penjaga gol:
1. Khairul Fahmi Che Mat 90 0 90 180
2. Sharbinee Allawee Ramli 0 90 0 90

Pertahanan:
3. Aidil Zafuan Radzak 90 90 90 270
4. Nasriq Baharom 80 58 0 138
5. Muslim Ahmad 10 32 90 132
6. Sabre Mat Abu 51 64 68 183
7. Mahali Jasuli 39 26 22 87
8. Asraruddin Putra Omar 90 55 32 177
9. Fadhli Shas 0 35 58 93

Tengah
10. Safiq Rahim 90 90 79 259
11. Amar Rohidan 79 58 31 168
12. Gary Steven Robbat 11 10 11 32

Sayap:
13. S. Kunanlan 90 74 90 254
14. Baddrol Bakhtiar 25 67 25 117
15. Faizal Abu Bakar 0 23 65 88
16. Fandi Othman 65 16 0 81
17. Ahmad Fakri Saarani 19 0 59 78

Penyerang
18. Safee Sali 71 90 65 226
19. Norshahrul Idlan Talaha 82 80 90 252
20. Izzaq Faris Ramlan 8 0 25 33
Read More